Monthly Archives: Mei 2009

Rancangan Pembinaan Madrasah Khairu Ummah

Rancangan Pembinaan Madrasah Khairu Ummah

(Suatu Agenda Pertubuhan Khairu Ummah) 

Mukadimah

Telah menjadi ketetapan sunnatullah bahawa pembentukan umat setiap zaman terletak dibahu para anbiya’, sebagaimana yang dijelaskan oleh FirmanNya yang bermaksud: ”Tidaklah kami mengazabkan suatu umat manusia sehinggalah kami utuskan Rasul”(Al-isra’:15).

Tugas para anbiya’ adalah mengarahkan masyarakat supaya berpegang dengan syariat yang ditetapkan oleh Alllah SWT. Justeru itu, sifat-sifat seorang nabi sebagai pendakwah merangkumi ilmu yang mantap dan  keperibadiaan luhur untuk dicontohi serta menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Selepas tamat pangkat kenabian, tanggungjawab mendidik umat manusia diserahkan kepada  para ulama’. Ini sejajar dengan hadis Nabi SAW, Maksudnya: “Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para anbiya’. Mereka itu mewarisi keilmuan….”(Riwayat Bukhari, Turmizi dan lain-lain)

Untuk membentuk ciri-ciri ulama’ sebagai pewaris nabi yang sebenar adalah tertakluk di bawah suatu pendidikan dan pentarbiahan yang mantap. Pembentukan ini bermula dalam satu kelompok di bawah satu sistem yang tersusun. Hal demikian dapat direalisasikan  dengan pembinaan sebuah madrasah. Usaha ini merupakan warisan halaqah pengajian Rasulullah SAW bersama Ahli Suffah dan seterusnya berterusan di setiap zaman bersesuaian dengan keadaan semasa.

Objektif Penubuhan Madrasah

Melahirkan ulama’ yang memenuhi ciri-ciri berikut:

  • Ilmu yang mantap seterusnya dapat menyelesaikan permasalahan umat
  • Beramal dengan ilmu
  • Mempunyai keperibadian tinggi lantas menjadi contoh teladan
  • Berdakwah membimbing masyarakat

Perancangan

Terbahagi kepada tiga fasa:

  • Fasa Pertama:Pembelian Tapak Tanah
  • Fasa Kedua:Pembinaan Bangunan
  • Fasa Ketiga:Mengumpul Dana

Fasa Pertama:Pembelian Tapak Tanah

  • Memungut derma umum daripada orang-ramai, sumbangan perseorangan, syarikat-syarikat dan institusi-institusi
  • Keluasan tanah sekurang-kurangnya 15 ekar
  • Tapak tanah madrasah diwakafkan 100% di bawah naungan Pertubuhan Umat Cemerlang Kelantan yang dimasyhurkan dengan nama ‘KHAIRU UMMAH’

Fasa Kedua:Pembinaaan Bangunan

Keluasan tanah madrasah mencakupi:

  • Asrama lelaki
  • Pondok @ rumah teres bagi pelajar dan warga emas lelaki
  • Asrama wanita
  • Pondok @ rumah teres bagi pelajar dan warga emas wanita
  • Beberapa rumah guru
  • Beberapa rumah pertugas
  • Masjid
  • Kelas-kelas pengajian kitab dan tahfiz
  • Beberapa rumah tamu
  • Dewan
  • Pejabat

Fasa Ketiga:Mengumpul Dana

  • Bertujuan menguruskan madrasah dan segala aktivitinya
  • Bagi menjalankan program-program ilmu, keagamaan dan tarbiyyah kepada segala lapisan masyarakat
  • Bagi mengadakan kursus intersif @ jangka masa pendek untuk pelajar sekolah dan pelajar IPT
  • Dana berbentuk tanah perladangan, bangunan sewaan, perumahan, perniagaan, perkilangan dan lain-lain
  • Permulaan hasil dana dikumpul daripada pungutan derma umum seterusnya dijadikan modal untuk membeli harta-harta tetap dan sebagainya seperti yang tersebut
  • Menghulurkan bantuan kebajikan bagi golongan daif
  • Pengurusan dana di kendalikan oleh PERTUBUHAN KHAIRU UMMAH

Penutup

Sehubungan dengan itu, pihak kami amat berbesar hati sekiranya penubuhan madrasah ini mendapat sokongan dari pihak tuan sama ada berupa tenaga ataupun wang ringgit dan lain-lain. Sokongan tersebut menyambut saranan supaya saling bantu-membantu memartabatkan  agama Allah Taala. Semoga bantuan pihak tuan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang besar di dunia dan akhirat.

Firman Allah Taala, bermaksud: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, di setiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Allah menggandakan (pahala) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas ( kurniaanNya), lagi Maha Mengetahui.” (AL-Baqarah:261)

FirmanNya lagi, bermaksud: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang yang dibelanjakan itu dengan mengungkit-ngungkit pemberiannya dan tidak menyakiti (perasaan sipenerima), bagi mereka itu ganjaran pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka berdukacita.” (AL-Baqarah:262)

#Segala sumbangan hendaklah disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad di bawah nama:-

PERTUBUHAN UMAT CEMERLANG KELANTAN (KHAIRU UMMAH). No akaun : 0302-0000656-71-8

Perhubungan 

1) Yang Dipertua : Ustaz Nik Mohd Nazimuddin Bin Nik Ibrahim

      H/P: 012-9463992 & 0139723118  Email: din_lngr@yahoo.com

2) Naib Yang Dipertua:Ustaz Lias Bin Jalil

      H/P 012-3623851 Email:

3) Setiausaha: Ustaz Puad Bin Abd wahab

      H/P: 019-9409870

4) Bendahari:       Ustaz Mohamad Izwan Bin Abdul Ghafaruddin

H/P: 0193009907

# Alamat surat-menyurat:

PERTUBUHAN UMAT CEMERLANG KELANTAN (KHAIRU UMMAH).

4657C Jalan Masjid Langgar 15200 Kota Bharu, Kelantan.

 

 

 

Kelebihan Rasullah Yang tiada tolok Banding

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين و الصلاة و السلام على رسوله المؤيد ببرهان القرآن, سيدنا و حبيبنا محمد و على آله و أصحابه أجمعين

PENDAHULUAN
Kesilapan dan keterlanjuran bukanlah suatu perkara yang asing bagi setiap orang sehingga para ulama yang merupakan pewaris nabi sekalipun. Ini adalah suatu hakikat yang telah dinyatakan oleh agama bahawa sifat maksum (terpelihara daripada kesilapan) hanyalah milik para nabi dan rasul. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Thobarani dengan sanad yang hasan berbunyi:

” ما من أحد إلا يؤخذ من قوله و يترك غير رسول الله “

Ertinya: “ Tiada seorang pun melainkan diambil dan ditinggalkan perkataannya selain Rasulullah صلى الله عليه وسلم “.
Imam Malik رحمه الله berkata:

” كل أحد يؤخذ من قوله و يرد عليه إلا صاحب هذا القبر يعنى رسول الله”

Yang bererti: “Setiap orang dipegangi perkataannya dan ditolak melainkan tuan empunya makam ini ( iaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم ).
Para ulama silam ditegur dan dikritik oleh ulama yang sezaman atau kemudian, merupakan realiti yang diketahui umum, malah perkara ini pun berlaku di zaman para sahabat رضى الله عنهم . Kritikan dan teguran itu bukanlah bertujuan memburuk-burukkan dan mengaibkan peribadi tetapi sebagai menzahirkan kebenaran yang wajib dianuti demi amanah ilmu yang dipikulkan ke atas bahu ahli ilmu.

Di antara mereka yang menerima teguran dan kritikan hebat daripada para ulama setiap zaman ialah Ibnu Taimiyah disebabkan fatwa-fatwanya yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fatwanya yang mengharamkan bermusafir untuk menziarahi Maqam Rasulullah صلى الله عليه وسلم jelas sekali bertentangan dengan nas syarak lagi membawa kepada merendah-rendahkan kehormatan Nabi s.a.w.
Sesungguhnya umat ini tidak dapat menerima apa-apa sahaja yang boleh mengurangkan kemuliaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم kerana sejak daripada zaman salaf lagi mereka diasuh dan dididik agar mencintai baginda صلى الله عليه وسلم . Apabila perasaan ini semakin malap daripada jiwa umat Islam, maka para ulama bertungkus lumus mengarang dan menyusun kitab-kitab sirah dan maulid di samping para umara (pemerintah) menghidupkan majlis sambutan kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dengan tujuan supaya perasaan kasih sayang terhadap baginda tidak terhakis.

Para ulama mengambil perhatian yang serius terhadap perkara ini kerana kehidupan yang berlandaskan syariat dan sunnah tidak akan tertegak di kalangan muslimin tanpa wujudnya sifat mahabbah kepada Nabi s.a.w. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, berbunyi:

” لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب اليه من أهله وماله والناس أجمعين “

Ertinya: “ Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya daripada keluarganya, hartanya dan manusia sekaliannya.”
Kecintaan yang subur di dalam diri para sahabat r.a.d adalah melalui pergaulan mereka dengan Nabi s.a.w. Mereka menyaksikan sendiri ketinggian dan keluhuran peribadi baginda. Jenerasi terkemudian memupuk sifat tersebut dengan mendengar serta menghayati kelebihan dan keistimewaan Nabi s.a.w, seperti yang dilakukan di dalam majlis Maulid.
Keistimewaan Rasulullah s.a.w amat banyak sekali, memadailah firman Allah Taala (Al-Anbiyaa 107) menjadi bukti bagi hati-hati yang bersih daripada syak dan keraguan:

” وما أرسلناك الا رحمة للعالمين “

Adakah kemuliaan lain lagi setelah baginda diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam dan bagaimanakah dapat digambarkan sekiranya alam ini tidak dinaungi rahmat ilahi?

Sungguhpun Nabi s.a.w dibangkitkan dari kalangan manusia, akan tetapi martabat baginda melebihi kedudukan manusia biasa seperti kata pujangga:

محمد بشر لا كالبشر* بل الياقوت بين الحجر

Bermaksud:
“Muhammad itu seorang manusia tidak seperti segala manusia
Bahkan dia permata delima Di antara batu-batu biasa”

Kelebihan Nabi Muhammad s.a.w bermula sejak di alam ruh lagi dimana baginda sudah bergelar seorang nabi seterusnya dalam kandungan, selepas kelahiran, di zaman kanak-kanak dan di alam dewasa sehingga baginda dilantik sebagai Rasul akhir zaman, bahkan kelebihannya mengatasi para malaikat dan para rasulNya yang lain. Maka bagaimanakah mungkin disamakan baginda dengan manusia biasa?

Di Alam Ruh

Nabi Muhammad s.a.w ketika di alam ruh dipanggil ‘Nur’ dimana Allah Taala telah pun memberi pangkat kenabian kepadanya.Perlantikan baginda sebagai nabi di alam ruh adalah termasuk di antara sifat-sifat keistimewaan (خصوصيات) yang dikhususkan kepada Nabi akhir zaman ini.Daripada Nur inilah, dijadikan perkara-perkara lain dan dengannya, Allah Taala mengikat perjanjian dengan para nabi yang lain.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُمْ مِنْ كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنْصُرُنَّهُ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَى ذَلِكُمْ إِصْرِي قَالُوا أَقْرَرْنَا قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُمْ مِنْ الشَّاهِدِينَ * آل عمران (81)

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

قال على: ” لم يبعث الله نبيا من آدم فمن بعده الا أخذ عليه العهد في محمد صلى الله عليه وسلم لئن بعث وهو حي ليؤمنن به ولينصرنه ويأخذ العهد بذلك على قومه.”

Ertinya: Saidina Ali Abi Talib berkata: “Tidak pernah sebelum ini, Allah Taala mengutuskan nabi semenjak daripada Adam dan para nabi selepasnya melainkan Allah Taala mengikat perjanjian keatas mereka dengan Nabi Muhammad s.a.w iaitu jika ia dibangkitkan semasa hidup maka hendaklah kamu beriman dengannya serta membantunya.Allah juga akan mengikat perjanjian tersebut keatas umatnya.”

عبدالرزاق عن معمر عن ابن المنكدرعن جابر قال: سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن أول شيء خلقه الله تعالى؟ فقال : هو نور نبيك يا جابر! خلقه الله ثم خلق فيه كل خير و خلق بعده كل شيء….”

Ertinya: Abdul Razzak meriwayatkan daripada Mua’ammar daripada Ibnu Munkadir seterusnya daripada Jabir berkata:” Aku bertanya kepada Rasululallah S.A.W tentang seawal-awal sesuatu yang dijadikan oleh Allah Taala? Baginda menjawab: “Iaitu Nur nabi engkau wahai Jabir! Allah Taala telah menjadikannya kemudian menjadikan padanya segala kebaikan dan menjadikan selepas itu setiap sesuatu……..”

عن ابن عباس ان قريشا كانت نورا بين يدي الله تعالى قبل أن يخلق آدم بألفى عام و يسبح ذلك النور و تسبح الملائكة بتسبيحه فلما خلق الله آدم ألقى ذلك النور فى صلبه فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم فأهبطنى الله الى الأرض فى صلب أدم
وجعلني فى صلب نوح وقذف بى فى صلب ابراهيم ثم لم يزل الله تعالى ينقلني من الأصلاب الكريمة والأرحام الطاهرة حتى أخرجنى من بين أبوي لم يلتقا على سفاح قط.”

Ertinya: Daripada Ibnu Abbas: ” Sesungguhnya bangsa Quraish adalah ia satu nur di sisi Allah Taala sebelum Dia menjadikan Adam di antara jarak dua ribu tahun. Nur tersebut bertasbih memuji Allah dan para malaikat bertasbih dengan sebab tasbihnya itu. Setelah Allah mencipta Adam, Dia melontarkan nur itu ke dalam sulbinya, maka Rasulullah S.A.W bersabda: Allah menurunkan daku ke muka bumi kepada sulbi Adam dan Dia menjadikan daku ke dalam sulbi Nuh seterusnya melontarkan daku ke sulbi Ibrahim. Kemudian sentiasalah Allah Taala memindahkan daku daripada sulbi-sulbi orang yang mulia dan rahim-rahim perempuan yang suci sehinggakan Dia mengeluarkan daku daripada keturunan kedua ibubapaku yang terpelihara daripada zina.”

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى وَجَبَتْ لَكَ النُّبُوَّةُ قَالَ وَآدَمُ بَيْنَ الرُّوحِ وَالْجَسَدِ قَالَ أَبو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ…..

Ertinya: Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: ” Nabi S.A.W pernah ditanya: Bilakah ditetapkan bagi engkau pangkat kenabian? Baginda menjawab: Ditetapkan bagi ku kenabian antara diciptakan Adam dan ditiupkan ruh padanya.” Imam Turmizi menyatakan:” Hadis ini Hadis Hasan-Sahih yang Gharib…..”

عن ميسرة الفجر قال: قلت : ” يا رسول الله ! متى كنت نبيا؟ قال: وآدم بين الروح والجسد.”

Ertinya: Daripada Maisarah Al-Fajri katanya :” Kataku : Wahai Rasulallah! Bilakah engkau jadi nabi? Baginda menjawab: Aku menjadi nabi sedangkan Adam masih di antara ruh dan jasad.”

رواه أبو نعيم في الدلائل وغيره من حديث أبى هريرة مرفوعا :” كنت أول النبيين في الخلق وآخرهم في البعث.”

Ertinya:”Abu Nu’aim meriwayatkan di dalam kitab Ad-Dalaail dan selainnya ada meriwayatkan daripada hadis Marfu’ Abu Hurairah: ” Aku adalah seawal-awal kejadian di kalangan para nabi dan terakhir diutuskan di kalangan mereka.”

Abdul Razzaq berkata: “ Ibnu Uyainah mengkhabarkan kepadaku daripada Malik yang sentiasa berselawat :

اللهم صل على سيدنا محمد السابق للخلق نوره

Ertinya: “ Ya Allah! Rahmatkan keatas Saidina Muhammad yang terdahulu Nurnya daripada makhluk lain.”

Imam Qasthallani menerangkan tentang sifat ketentuan baginda: “Adalah Muhammad s.a.w sudah menjadi nabi ketika Adam masih di antara ruh dan jasad.Para nabi yang lain tidak dilantik menjadi nabi melainkan pada ketika perlantikan sebagai nabi dan waktu diutuskan menjadi rasul.”

Dalam Kandungan

عن إبن عباس أن أمنة بنت وهب قالت لقد علقت به تعني رسول الله صلى الله عليه وسلم فما وجدت له مشقة حتي وضعته

Ertinya: Daripada Ibnu Abbas: ” Bahawa Siti Aminah Binti Wahb berkata: Demi Allah! Sesungguhnya Aku mengandungkannya (yakni Rasulullah s.a.w) maka aku sedikitpun tidak merasai kesulitan sehinggakan aku melahirkannya”.

ورؤيا أمي الذي رأت حين حمل بي كأنه خرج منها نور أضاءت له قصور الشام

Ertinya: ” Mimpi bondaku yang melihat ketika mengandungkan daku, seolah-olah keluar daripadanya cahaya yang menerangi istana-istana negeri Syam”.

Siti Aminah Mengetahui Kandungannya Adalah Nabi

عن يزيد بن عبد الله بن زمعة عن عمته قالت كنا نسمع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لما حملت به آمنة بنت وهب كانت تقول إني ما شعرت أني حملت به ولا وجدت له ثقلا كما تجد النساء الا أني أنكرت رفع حيضي وربما كانت ترفعني وتعود وأتاني آت وأنا بين النائم واليقظان فقال هل شعرت أنك حملت فكأني أقول ما أدري فقال انك قد حملت بسيد هذه الأمة ونبيها وذلك يوم الإثنين

Ertinya:” Daripada Yazid Bin Abdullah Bin Zam’ah daripada ibu saudaranya berkata:” Kami mendengar bahawa Rasulullah صلى الله عليه و سلم ketika dalam kandungan ibunya, Aminah Binti Wahb berkata:” Aku tidak terasa mengandungkannya dan tidak merasa bebanannya (seperti yang dirasai oleh perempuan-perempuan yang mengandung) melainkan aku tidak mengetahui berhentinya haidku, barangkali ia berhenti daripadaku dan kembali pula. Aku telah didatangi seseorang ketika antara tidur dan sedar, ia berkata:” Adakah engkau sedar bahawa engkau sedang mengandung? Seolah-olah aku menjawab: Aku tidak tahu! Lantas ia berkata: Sesungguhnya engkau mengandungkan penghulu dan nabi umat ini. Demikian itu pada hari Isnin.” (Hadis ini telah dikeluarkan oleh Ibnu Sa’ad)

Saat kelahiran

لما كانت الليلة التي ولد فيها رسول الله صلى الله عليه وسلم إرتجس إيوان كسرى وسقطت منه أربع عشرة شرفة وخمدت نار فارس ولم تخمد قبل ذلك بألف عام وغاضت بحيرة ساوة ورأى الموبذان إبلا صعابا تقود خيلا عرابا قد قطعت دجلة وانتشرت في بلادها

Ertinya:” Ketika malam kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وسلم , bergoncang istana Kisra (Raja Parsi) dan gugur daripadanya empat belas anjung serta padam api yang disembah oleh penganut Majusi Negeri Parsi yang mana tidak pernah padam sebelumnya sejak seribu tahun dan kering tasik bandar Sawah (sebuah tempat di negeri Parsi), di mana seorang Pendita Majusi yang bijaksana bermimpi unta-unta yang tidak ditunggangi, diekori belakangnya oleh kuda-kuda arab merentasi sungai Dajlah dan bertebaran keseluruh pelusuk negerinya.”

فلما فصل مني خرج معه نور أضاء له ما بين المشرق والمغرب ثم وقع على الأرض معتمدا على يديه ثم أخذ قبضة من تراب فقبضها ورفع رأسه إلى السماء: أخرجه أبن سعد

Ertinya:” Tatakala ia dilahirkan, keluar bersamanya cahaya yang menerangi di antara timur dan barat. Kemudian ia duduk di atas tanah bertelekan di atas dua tangan kemudian ia mengambil segenggam tanah lalu menggenggamnya dan mendongakkan kepalanya ke langit.” (Dikeluarkan oleh Ibnu Saad)

عن أنس قال: ” قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من كرامتي على الله أني ولدت مختونا و لم ير سوأتى أحد ” رواه ابن عساكر

Ertinya:” Daripada Anas berkata: “ Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara kemuliaanku di sisi Allah bahawa aku dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan dan tidak seorang pun melihat auratku.” (Riwayat Ibnu Asaakir)

عن ابن عباس عن أبيه العباس قال: ” ولد رسول الله صلى الله عليه وسلم مختونا مسرورا ” رواه أبو نعيم

Ertinya:” Riwayat Ibnu Abbas daripada bapanya berkata: “Dilahirkan Nabi صلى الله عليه و سلم berkeadaan sudah berkhitan dan tertanggal tali pusat.” (Riwayat Abu Nu’aim)

Di Zaman Kanak-Kanak

” فما هو الا أن أخذته فجئت به إلى رحلي فأقبل عليه ثدياى بما شاء من لبن فشرب حتى روي وشرب أخوه حتى روي وقام صاحبي الى شارفنا تلك فاذا انها لحافل فحلب ما شرب وشرب حتى روينا فبتنا بخير ليلة فقال صاحبي يا حليمة والله ! اني لأراك قد أخذت نسمة مباركة ألم ترى ما بتنا به الليلة من الخير والبركة حين أخذناه ؟ فلم يزل الله عز وجل يزيدنا خيرا حتى خرجنا راجعين الى بلادنا فوالله لقطعت أتاني بالركب حتى ما يتعلق بها حمار حتى أن صواحباتي ليقلن ويلك! يا إبنة أبي ذؤيب ! هذه أتانك التي خرجت عليها معنا؟ فأقول نعم والله ! انها لهي فقلن والله ان لها لشانا حتى قدمنا أرض بني سعد وما أعلم أرضا من أرض الله أجدب منها فان كانت غنمي لتسرح ثم تروح شباعا لبنا فنحلب ما شئنا وما حولنا أحد تبض له شاة بقطرة لبن….”

Ertinya: “Aku (Halimatus-Sa’diah) mengambilnya (Muhammad) dan membawa ke tempat singgahanku. Kedua buah dadaku (yang kekeringan) menjadi penuh lalu ia meminumnya sehingga puas dan adik susuannya meminum pula sehingga puas juga. Suamiku pergi kepada unta betina tua kepunyaan kami tiba-tiba penuh labu susunya lalu dia memerah serta meminumnya, aku juga meminumnya sehingga puas. Kami bermalam di dalam kebaikan. Suamiku berkata: “Wahai Halimah! Demi Allah! Sesungguhnya aku berpendapat bahawa engkau telah mengambil seseorang diberkati.Tidakkah engkau melihat apa yang kita dapati pada malam ini daripada kebaikan dan keberkatan?”

Sentiasalah Allah menambah kepada kami dengan kebaikan sehingga kami keluar pulang ke negeri kami. Demi Allah! Keldai tungganganku mendahului tunggangan-tunggangan lain sehinggakan teman-temanku berkata: “Wahai anak perempuan Abu Zuaib!Inikah keldai yang engkau tunggangi ketika keluar bersama kami tadi?” Aku menjawab: “Ya! Demi Allah! Lalu mereka berkata: “Demi Allah! Ia sungguh bertuah.” Sehinggalah kami sampai perkampungan Bani Saad. Tidak pernah aku ketahui suatu kawasan daripada bumi Allah yang terlebih gersang daripadanya. Sesungguhnya kambing-kambingku keluar mencari makan dan balik dalam keadaan gemuk kekenyangan lagi penuh dengan susu, lalu kami memerahnya sekehendak kami.Adapun penduduk sekitar kami , tidak ada seorang pun kambingnya mengeluarkan setitik susu……”

فبينما أنا مع أخ لي خلف بيوتنا نرعى بهما إذ أتاني رجلان عليهما ثياب بيض بطست من ذهب مملوءة ثلجا ثم أخذاني فشقا بطني واستخرجا قلبي فشقاه فاستخرجا منه علقة سوداء فطرحاها ثم غسلا قلبي و بطني بذلك الثلج حتى أنقياه ثم قال أحدهما لصاحبه زنه عشرة من أمته فوزنني بهم فوزنتهم ثم قال زنه بمائة من أمته فوزنني بهم فوزنتهم ثم قال زنه بألف من أمته فوزنني بهم فوزنتهم فقال دعه فوالله لو وزنته بأمته لوزنها

Ertinya: ” Sedang aku (nabi s.a.w) mengembala ternakan bersama saudaraku di belakang rumah kami, tiba-tiba didatang kepadaku dua orang lelaki berpakaian putih membawa bekas daripada emas yang dipenuhi salji, kemudian kedua-duanya memegangku lalu membelah perutku dan mengeluarkan jantungku. Mereka membelahnya lalu mengeluarkan satu darah hitam dan membuangnya. Mereka kemudiannya membasuh jantung dan perutku dengan salji tersebut sehingga bersih, kemudian salah seorang daripada mereka berkata kepada rakannya:” Timbanglah ia dengan sepuluh orang umatnya.” Lalu ia menimbang aku dengan mereka maka bersamaan timbangan aku dengan mereka itu, kemudian ia berkata:” Timbanglah ia dengan seratus orang umatnya.” Lalu ia menimbang aku dengan mereka maka bersamaan timbangannya, kemudian ia berkata lagi:” Timbanglah ia dengan seribu orang umatnya lalu ia menimbang aku dengan mereka maka timbangannya bersamaan. Kemudian ia berkata:” Tinggalkan dia, demi Allah! sekiranya engkau menimbangnya dengan sekalian umatnya nescaya timbangan bersamaan dengan mereka itu.”

قال الواقدي…: ” لما توفى عبد المطلب قبض أبو طالب رسول الله صلى الله عليه وسلم فكان يكون معه وكان أبو طالب لا مال له وكان يحبه حبا شديدا لا يحبه ولده وكان لا ينام الا الى جنبه ويخرج فيخرج معه وصب به أبو طالب صبابة لم يصب مثلها بشىء قط وكان يخصه بالطعام وكان اذا أكل عيال ابي طالب جميعا أو فرادى يشبعوا واذا أكل معهم رسول الله صلى الله عليه وسلم شبعوا….”

Al-Waqidi menyebut: “Tatakala Abu Muttalib meninggal dunia, Rasulullah s.a.w diambil oleh Abu Talib lalu sentiasalah ia bersamanya. Adalah Abu Talib tidak mempunyai harta dan ia sangat menyayangi Rasulullah melebihi anaknya sendiri, dia tidak tidur melainkan baginda di sisinya. Apabila baginda keluar, ia pun turut keluar bersamanya. Abu Talib menyayanginya di mana tidak pernah dia menyayangi suatu pun seperti itu sebelum ini. Abu Talib mengkhususkan makanan kepada baginda. Apabila keluarga Abu Talib makan beramai-ramai atau berasingan, mereka tidak kenyang, tetapi bila Rasulullah makan bersama-sama, mereka kekenyangan.”

وذكر الواقدي بأسانيده أن النبي صلى الله عليه وسلم خرجت به أمه الى المدينة ومعها أم أيمن وله ست سنين فزارت أخواله قالت أم أيمن فجاءني ذات يوم رجلان من يهود المدينة فقالا لي أخرجي الينا أحمد ننظر اليه فنظرا اليه وقلباه فقال أحدهما لصاحبه هذا نبي هذه الأمة وهذه دار هجرته وسيكون بها من القتل والسبي أمر عظيم فلما سمعت أمه خافت وانصرفت به فماتت بالأبواء وهى راجعة”

Al-Waqidi menyebut dengan sanad-sanadnya bahawa Nabi s.a.w keluar bersama ibunya ke negeri Madinah, menyertai bersamanya Ummu Aiman, bertujuan menziarahi ibu-ibu saudaranya sedangkan ketika itu baginda berumur enam tahun. Ummu Aiman berkata: “Suatu hari aku didatangi oleh dua lelaki daripada kalangan yahudi Madinah. Mereka berkata kepadaku: “Bawakan Ahmad kepada kami, ingin kami melihatnya.” Maka mereka melihat kepadanya dan membeleknya lalu salah seorang daripada mereka berkata kepada rakannya: “Ini adalah nabi umat ini! Di sinilah tempat hijrahnya.Akan berlaku padanya peperangan dan tawanan yang dahsyat!” Tatakala Ibu baginda mendengar, ia merasa takut lalu membawanya beredar dan dia meninggal dunia di Abwa’ ketika perjalanan pulang ke Mekah.”

Pemeliharaan Allah Taala

عن علي ابن أبي طالب: ” قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ما هممت بشىء مما كان أهل الجاهلية يهمون به من النساء الا ليلتين كلتاهما عصمني الله عز وجل فيهما قلت ليلة لبعض فتيان مكة ونحن في رعاء غنم أهلها فقلت لصاحبي أبصر لي غنمي حتى أدخل مكة أسمر فيها كما يسمر الفتيان فقال بلى قال فدخلت حتى جئت أول دار من دور مكة سمعت عزفا بالغرابيل والمزامير فقلت ما هذا؟ قالوا تزوج فلان فلانة فجلست أنظر وضرب الله على أذني فوالله ما أيقظني الا مس الشمس فرجعت الى صاحبي فقال ما فعلت؟ فقلت ما فعلت شيئا ثم أخبرته بالذي رأيت ثم قلت له ليلة أخرى أبصر لي غنمي حتى أسمر ففعل فدخلت فلما جئت مكة سمعت مثل الذي سمعت تلك الليلة فسألت فقيل نكح فلان فلانة فجلست أنظر وضرب الله على أذني فوالله ما أيقظني الا مس الشمس فرجعت الى صاحبي فقال ما فعلت؟ فقلت لا شىء ثم أخبرته الخبر فوالله ما هممت ولا عدت بعدهما لشىء من ذلك حتى أكرمني الله عز وجل بنبوته”

Ertinya: Daripada Ali bin Abi Talib berkata: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: “Tidaklah aku ingin kepada apa yang digemari oleh masyarakat jahiliah terhadap hiburan yang dimainkan oleh kaum perempuan mereka, kecuali dua malam sahaja, di mana Allah memeliharaku daripadanya. Suatu malam, aku berkata kepada sesetengah pemuda Mekah ketika kami sedang menggembala kambing penduduk Mekah. Ujarku kepada temanku: “Tolonglah tengok-tengokkan kambingku, aku ingin memasuki Mekah untuk bersiar-siar seperti pemuda-pemuda lain.” Lalu ia menjawab: “Baiklah!” Maka aku pun memasuki Mekah, sampai saja aku pada rumah yang pertama di sekitar Mekah, aku mendengar bunyi gendang dan seruling, lalu aku bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Sifulan telah berkahwin dengan sifulan, lantas aku pun duduk melihat, tiba-tiba Allah menutup kedua telingaku dan demi Allah!tidaklah aku sedar melainkan cahaya matahari mengenaiku. Maka aku kembali kepada temanku, lalu ia bertanya: “Apa yang engkau buat?” Jawabku: “Aku tiada buat suatu pun.” Kemudian aku ceritakan kepadanya apa yang aku lihat. Di malam lain pula, aku berkata kepadanya: “Tolong tengok kambingku, aku ingin pergi bersiar-siar.” Tatakala aku memasuki Mekah, aku mendengar seperti yang telah aku dengar pada malam sebelumnya. Aku bertanya lalu dijawab bagiku: “Sifulan telah berkahwin dengan sifulan, lantas aku pun duduk melihat, tiba-tiba Allah menutup kedua telingaku dan demi Allah! Tidaklah aku sedar melainkan cahaya matahari mengenaiku. Maka aku kembali kepada temanku, lalu ia bertanya: “Apa yang engkau buat?” Jawabku: “Aku tiada buat suatu pun.” Demi Allah aku tidak ingin lagi dan tidak akan mengulangi selepas dari peristiwa itu sehingga Allah memuliakan daku dengan kenabian.”

Rasulullah Mengetahui Dirinya Nabi

عن أبي ذر الغفاري قال: ” قلت: يا رسول الله! كيف علمت أنك نبي حين علمت ذلك واستيقنت أنك نبي؟ قال: يا أبا ذر أتاني ملكان وأنا ببعض بطحاء مكة فوقع أحدهما على الأرض وكان الآخر بين السماء والأرض فقال أحدهما لصاحبه أهو هو؟ قال هو هو؟ قال زنه برجل فوزنني برجل فرجحته”

Daripada Abu Zar Al-Ghifari berkata: “Aku bertanya: Wahai Rasulallah! Bagaimanakah engkau mengetahui bahawa engkau seorang nabi dan merasa yakin tentangnya? Nabi menjawab: “ Wahai Abu Zar! Aku didatangi oleh dua orang malaikat ketika aku di suatu kawasan di Mekah, yang mana salah seorang daripadanya berada di atas tanah manakala seorang lagi di antara langit dan bumi, maka salah seorang berkata kepada rakannya: “Adakah ini orangnya?” Lalu ia menjawab: “Dialah orangnya.” Ia berkata lagi: “Timbanglah dia dengan seorang lelaki.” Maka ia menimbang aku dengan seorang lelaki, lalu aku melebihi timbangannya…….”

Hukum merendahkan martabat Nabi s.a.w

Al-Qadi Eiyad menegaskan: “Sesiapa yang mencela Nabi s.a.w atau mengaibkannya atau menghubungkan kekurangan pada dirinya, keturunannya, agamanya dan salah satu daripada kelakuan-kelakuannya atau dengan sindiran atau menyamakannya dengan sesuatu bertujuan untuk mencela dan meremehkannya atau mengurangkan kedudukkannya, merendahkan dan mengaibkannya maka orang tersebut dikira sebagai mencela, sama ada secara kiasan atau terang-terangan.

Seperti juga orang yang melaknat atau mendoakan sesuatu yang tidak baik terhadapnya atau mengharapkan berlaku kemudharatan ke atasnya atau menyandarkan kepadanya perkara-perkara yang tidak layak dengan martabatnya sebagai menghinanya atau berseloroh terhadapnya dengan perkataan yang tidak sopan atau dengan sesuatu musibah atau ujian yang pernah menimpanya ataupun merendah-rendahkannya dengan suatu daripada sifat-sifat kemanusiaan pada dirinya, nescaya orang yang melakukan perbuatan tersebut mesti dihukum bunuh (kerana murtad). Ini merupakan pendapat yang disepakati oleh para ulama dan imam-imam yang mengeluarkan fatwa semenjak zaman sahabat r.a.d hingga ke zaman seterusnya.”

As-Syarqawi menyatakan dalam kitab Hasyiah Tahrirnya: “Di antara perkara-perkara yang menjatuhkan di dalam kekufuran ialah seseorang itu berkata: Nabi s.a.w telah kalah (peperangan). Sekiranya ia bertaubat nescaya dilepaskannya, jika tidak bertaubat maka dihukum dengan dipenggalkan lehernya. Para ulama mazhab Maliki dan Hanafi berpendapat bahawa tetap dihukum bunuh sebagai Hukum Had sekali pun dia bertaubat (serta taubatnya diterima).

Jika ia berkata: Nabi berpaling lari atau cabut lari atau bertempiran lari atau lari bersembunyi atau umpamanya maka jelasnya, hukum perkataan tersebut samalah seperti perkataan: Nabi telah kalah (peperangan) kerana sama dari segi pergertiannya. Kemudian aku merujuk pendapat As-Syeikh Ali Syabramalisi di dalam syarah Mawahib dimana beliau menerangkan perkara itu serta membuat alasan bahawa perkataan tersebut adalah sama dari segi membawa kekurangan kepada Nabi s.a.w.”

Keterangan
1) Apabila nyata kelebihan dan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w itu semenjak dari alam ruh lagi hingga seterusnya, tidak seharusnya mengeluarkan perkataan yang menyamakan baginda setaraf dengan manusia biasa. Ini boleh membawa kepada mengurangkan pangkat kemuliaan dan kelebihannya yang tertinggi di sisi Allah Taala.

2) Hubungan kita sebagai makhluk Allah dengan Nabi Muhammad s.a.w bermula semenjak daripada Nur baginda. Ini kerana setiap kejadian dicipta daripada Nurnya s.a.w malah Allah Taala telah mengikat suatu perjanjian di antara Nabi Adam dan sekalian nabi-nabi dengan Nur tersebut. Perjanjian ini bertujuan supaya para anbia beriman dengan Nur Muhammad s.a.w serta membantunya jika diutuskan ke dunia.

3) Sambutan Maulidurrasul telah difatwakan keharusannya oleh para ulama yang muktabar seperti Al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani yang bergelar ‘Amirul Mukminin’ dalam ilmu hadis, Al-Hafiz Abu Syamah (guru Imam Nawawi), Al-Hafiz Imam Suyuti, Al-Allamah Ibnu Hajar Haitami dan lain-lain. Penekanan para ulama sebagai pewaris nabi terhadap keperluan mengadakan sambutan maulid ini ialah untuk menanamkan rasa kecintaan ke dalam jiwa umat Islam terhadap Rasulullah s.a.w seterusnya membawa kepada menjunjung syariat Allah Taala serta dapat mengalahkan golongan musyrikin. Perasaan cinta yang sangat mendalam terhadap baginda adalah sifat yang sebati dalam diri para salafussoleh dan merupakan kesempurnaan iman bagi mereka yang memilikinya.

4) Kesan daripada sambutan maulid adalah terletak di atas individu umat islam itu sendiri. Ianya bergantung kepada cara pengisian dan sejauhmana penghayatannya untuk melahirkan kecintaan terhadap baginda s.a.w. Keberkesanan sambutan ini boleh diumpamakan dengan nilai solat lima waktu terhadap individu kaum muslim itu sendiri. Bagaimanakah cara ia melaksanakannya serta sejauh mana penghayatannya terhadap solatnya itu. Adakah solatnya berkesan pada mencegah dirinya daripada melakukan perkara mungkar?? Walaubagaimana sekalipun, solat itu mesti dilaksanakan.

5) Di antara upacara sambutan maulid ialah membaca sejarah Nabi akhir zaman dan peristiwa-peristiwa yang berkenaan dengan kerasulanNya seperti penurunan Al-Quran, Israk Mikraj, Hijrah dan lain-lain. Kesemuanya itu terkandung di dalam Al-Quran dengan secara umum. Dengan mengadakan sambutan maulid yang mengandungi di dalamnya perkara-perkara tersebut, secara tidak langsung ianya berhubung rapat dengan Al-Quran itu sendiri. Oleh yang demikian, tidak timbullah saranan bahawa ‘Hari Nuzul Al-Quran’ terlebih utama disambut daripada ‘Maulidurrasul’.

Justeru Nabi s.a.w yang diutuskan bersamanya Al-Quran dan ajaran syariat maka seolah-olah peribadi baginda s.a.w merupakan Al-Quran dan syariat itu sendiri. Ini terbukti di mana segala tingkah-laku dan akhlak Nabi s.a.w adalah gambaran serta terjemahan daripada isi kandungan Al-Quran untuk dijadikan contoh tauladan.

Haram hukumnya mengeluarkan perkataan yang boleh menjejaskan ketinggian martabat Nabi Muhammad s.a.w serta boleh merosakkan akidah, sekalipun tanpa niat.

وان الرجل ليتكلم بالكلمة من سخط الله ما يظن أن تبلغ به ما بلغت, فيكتب الله عليه بها سخطه الى يوم القيامة

Ertinya: “Sesungguhnya seseorang lelaki yang berkata dengan perkataan yang dimurkai Allah dimana dia tiada menyangka perkataannya boleh pergi sejauh itu (mengundang kemurkaanNya), lalu Allah menetapkan kemurkaanNya dengan sebab perkataan itu hingga hari Qiamat kelak.”(Al-Hadis)

Kesatuan Ummah

Sebagai peringatan dan muhasabah bagi pihak-pihak yang berkenaan supaya berhati-hati dalam segala tindakan dan mengeluarkan pendapat yang boleh mengeruhkan dan merenggangkan perpaduan di kalangan umat Islam di kala mereka sedang berusaha menegakkan ‘Kalimah Allah Taala’ di atas muka bumi ini.

Jangan membangkitkan isu-isu sensitif yang menafikan kesahihan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan isu-isu yang ternyata menyalahi syara’ atau boleh merosakkan akidah. Kita patut mengambil iktibar dengan isu yang pernah ditimbulkan yang meresahkan sebahagian umat Islam yang beraqidah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti isu ‘Tidak Wajib Pelajari Sifat Dua Puluh’, ‘Sifat Dua Puluh Ialah Falsafah Yunani’ dan sebagainya.

Hendaklah kita memberikan penekanan terhadap apa-apa jua sambutan yang dapat membangkitkan semangat keagamaan di dalam diri umat Islam seperti Israk Mikraj, Nuzul Al-Quran, dan lain-lain, lebih-lebih lagi Maulidurrasul s.a.w kerana di dalamnya melengkapi sambutan-sambutan yang lain.

Adakah wajar mengatakan sambutan maulid itu bukanlah perkara penting dan menganggap sama sahaja samada ianya diraikan ataupun tidak sedangkan baginda semulia-mulia Nabi untuk dijadikan model yang sempurna. Allah Taala berfirman:

” لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر “

(Al-Ahzab : 21)

Ertinya: “ Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah merupakan contoh tauladan yang begitu baik untuk mereka yang mengkehendaki Allah dan hari akhirat.”

Kita sepatutnya mengwar-warkan tentang kelebihan Nabi s.a.w sebagai membenarkan firman Allah Taala: ” ” ورفعنا لك ذكرك (Al-Insyirah:4) Ertinya: “Kami meninggikan sebutan tentang diri engkau.” Tersebut di dalam tafsir Qurtubi: “Ditafsirkan ayat ini: “Kami meninggikan sebutan tentang dirimu di kalangan para malaikat, di kalangan orang mukmin di atas muka bumi dan Kami meninggikan sebutan tentang dirimu di Akhirat dengan mengurniakan kedudukan yang terpuji dan darajat-darajat yang mulia.”

Siapakah lagi yang akan membela Nabi s.a.w dan mengagungkan kedudukannya ketika musuh Islam mencemar kehormatannya dengan tohmahan-tohmahan yang biadap sekiranya kita sebagai umatnya sendiri memandang remeh terhadap kemuliaannya?

DISEDIAKAN OLEH:
MAJLIS AHLI ILMU KESATUAN MADRASAH ISLAMIYAH MALAYSIA (ITMAM)
JUN 2008M/JUMADAS SANIYAH 1429H

Penjelasan Kekeliruan

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه ومن تبعهم الى يوم

 القيامة , أما بعد:

 Disusunkan artikel ini bertujuan menerangkan kepada masyarakat tentang beberapa hukum yang dikelirukan oleh sesetengah pihak yang menggunakan zahir lafaz hadis tanpa merujuk kepada huraian ulama mujtahid yang berkelayakkan dalam menghuraikan hukum-hakam yang tersirat di dalam sesebuah hadis. Para ulama yang muktabar memperincikan lagi maksud sebenar huraian imam ikutan mereka itu. Maka mantaplah segala hukum dan terhindar daripada huraian mengikut hawa nafsu, ilmu yang cetek serta akal yang dangkal. Ini kerana, tidak semua diberikan ilmu yang seperti ulama-ulama tersebut. Merekalah pewaris nabi yang beramanah dalam menjaga agama ini.

ان العلماء ورثة الأنبياء ورثوا علما…

Ertinya: “ Sesungguhnya para ulama adalah pewaris kepada para anbia dan mereka itu mewarisi keilmuan.…” (Al-Hadis)

Hukum Binaan Di atas Kubur

Tentang hadis larangan binaan di atas kubur, Imam Syafie menerangkan hukum dan sebab larangan tersebut di dalam kitab Ummnya (bab jenazah):

” ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس “

Ertinya: “ Aku melihat pembesar di Mekah meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan aku tidak melihat para Fuqaha (Mujtahid) yang mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.”

Katanya lagi: ” فان كانت القبور في الأرض يملكها الموتى في حياتهم أو ورثتهم بعدهم , لم يهدم شىء يبنى منها وانما يهدم ان هدم ما لا يملكه أحد فهدمه لئلا يحجر على الناس “ 

Ertinya: “ Maka jika adalah perkuburan di dalam tanah yang dimiliki oleh  orang-orang mati semasa hidup mereka atau diwarisi oleh pewaris selepas kematian mereka, nescaya tidak boleh diruntuhi sesuatu binaan di dalamnya. Hanya diruntuhi sesuatu binaan di dalam tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun maka hendaklah diruntuhinya supaya tidak menegah orang ramai untuk tanam mayat yang lain.”

Bila ditanyakan fatwa kepada Ibnu Hajar Haitami tentang suatu binaan, beliau menghukumkan haram binaan itu dan menyatakan sebab ( ألعلة ) pengharaman tersebut dengan katanya (Fatawa Kubra, bab jenazah):

” ولوجود علة تحريم البناء في ذلك وهى تحجير الأرض على من يدفن بعد بلاء الميت اذ الغالب أن البناء يمكث الى ما بعد البلى وأن الناس يهابون فتح القبر المبني فكان في البناء تضييق للمقبرة ومنع الناس من الانتفاع بها فحرم “

Ertinya: “Kerana terdapat sebab pengharaman binaan pada binaan yang berkenaan iaitu menegah tanah kubur daripada ditanamkan mayat lain selepas hancur mayat di dalam kubur itu. Ini kerana, kebiasaannya binaan di atas kubur menjadi kekal sehinggakan selepas masa hancurnya mayat, dan orang ramai takut hendak membuka kubur yang dibinakan di atasnya. Maka binaan itu menyempitkan tanah perkuburan dan menegah orang ramai daripada mengambil manfaat dengannya lalu ia menjadi haram.”

Beberapa perkara yang difahami daripada huraian Imam Syafie adalah:-

1)     Binaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri

2)     Binaan di dalam tanah perkuburan disabilkan

3)     Binaan yang menyebabkan:

a)         terhalang daripada ditanamkan mayat lain (bila berlaku   kesesakan)

b)          menyempitkan tanah perkuburan dengan perkara yang berlebih-lebihan

Para ulama yang mengikuti Imam Syafie menghuraikan maksud sebenar perkataan Imam mereka tentang Hukum Binaan tersebut, adalah seperti berikut:-

Maksud sebenar Binaan tersebut dan dimakruhkan di tanah perkuburan milik sendiri

Binaan yang di maksudkan itu ialah binaan yang sama betul dengan liang lahad mayat (tidak memakan ruang yang terlebih luas) dan juga binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripada itu seperti kubah, masjid, bilik dan lain-lain. Binaan tersebut dimakruhkan di dalam kawasan tanah kubur milik persendirian. Ini adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie.

Tersebut di dalam kitab Tuhfah bagi Ibnu Hajar Haitami ketika mensyarahkan matan Minhaj Imam Nawawi (bab jenazah) :

” (ويكره تجصيص القبر والبناء) عليه في حريمه وخارجه, نعم ان خشي نبش أو حفر سبع أو هدم سيل لم يكره “

Ertinya: “{Dimakruhkan (dalam tanah perkuburan milik sendiri) memutihkan kubur dengan kapur dan membuat binaan} di atas kubur pada permukaan liang lahadnya dan ruang yang terlebih luas daripada itu, sungguh pun begitu tiada makruh jika takut dibongkari (oleh pencuri kain kapan atau dibongkari untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur jasadnya), digali binatang buas atau diruntuhi air banjir yang deras.

As-Syarwani menjelaskan lagi perkataan Ibnu Hajar itu di dalam Hasyiahnya:

” أي ويكره على القبر في حريمه وهو ما قرب منه جدا وخارج الحريم هذا في غير المسبلة “ 

Ertinya: “ Iaitu dimakruhkan binaan di atas kubur pada permukaan liang kubur iaitu ruang atau tanah yang betul-betul hampir dengan liang lahad kubur dan dimakruhkan juga pada ruang atau tanah yang terlebih luas daripada liang kubur tersebut. Hukum makruh terbabit adalah di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan

( iaitu tanah perkuburan milik sendiri).” 

Terdapat Pendapat yang lemah di dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa dimakruhkan binaan yang tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada permukaan liang lahad kubur dan diharamkan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripadanya, sama ada binaan berkenaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri atau tanah perkuburan yang disabilkan.

Di dalam kitab Murghni Muhtaj, bab jenazah: “ Sesetengah ulama mazhab Syafie menyesuaikan perkataan Imam Nawawi di dalam matan Minhaj dan perkataannya di dalam Majmuk dan lain-lain, dengan memberi maksud bahawa dimakruhkan apabila dibina hanya di atas kubur, dengan makna  adalah binaan itu berada sama betul dengan permukaan liang kubur. Diharamkan binaan itu apabila didirikan di atas kubur kubah atau bilik yang didiami. Pendapat yang muktamad adalah haram semata-mata (tanpa membezakan di antara binaan sama betul dengan liang lahad dan binaan yang terlebih luas daripada itu).”

Di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam  tanah perkuburan milik sendiri

Binaan seperti kubah, bilik, masjid dan lain-lain, tiada haram serta tiada makruh sekiranya dibina di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri. Tujuan didirikan binaan tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai datang menziarahi kubur mereka dan sempena mengambil berkat. 

Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226):

” قال بعضهم الا في صحابي ومشهور الولاية فلا يجوز وان انمحق ويؤيده تصريحهم بجواز الوصية بعمارة قبور الصلحاء أي في غير المسبلة على ما يأتي في الوصية لما فيه من احياء الزيارة والتبرك “ 

Ertinya: “ Sesetengah ulama syafie berkata: “ Melainkan pada kubur sahabat dan mereka yang masyhur dengan kewalian maka tiada harus membongkarkan kuburnya, sekalipun telah hancur jasadnya. Pendapat mereka dikuatkan dengan kenyataan fuqaha bahawa diharuskan berwasiat supaya dibangunkan binaan di atas kubur orang yang soleh, iaitu di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan, mengikut keterangan yang akan datang pada bab wasiat. Keharusan itu bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan ziarah dan sempena mengambil berkat.”

Binaan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan

Di dalam tanah perkuburan yang disabilkan atau diwakafkan, haram membina kubah, bilik, rumah atau masjid di atasnya. Wajib diruntuhkan binaan tersebut walaupun didirikan atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada. Ini adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie.

Tersebut di dalam kitab Nihayah bagi Syeikh Ramli ketika mensyarahkan Minhaj Imam Nawawi, bab jenazah:

“( ولو بني في مقبرة مسبلة, هدم) البناء وجوبا لحرمته ولما فيه من تضييق على الناس وسواء أبني قبة أو بيتا أو مسجدا أم غيرها “ 

Ertinya: “ (Jika dibinakan di atas kubur di dalam kawasan perkuburan yang disabilkan nescaya mesti diruntuhkan) binaan itu sebagai hukum yang wajib. Ini kerana binaan tersebut adalah haram dan kerana terdapat padanya sebab (العلة) pengharaman iaitu menyempitkan (tanah perkuburan yang disabilkan). Hukumnya tetap seperti itu, sama ada dibinakan kubah, bilik (rumah), masjid atau lainnya.”

Diharamkan binaan tersebut walaupun di atas kubur  para nabi, wali, ulama dan lain-lain di dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana kenyataan Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226) yang telah lalu mengikut beliau binaan seperti kubah, bilik, rumah dan masjid tidak dimakruhkan di atas kubur mereka sekiranya di dalam kawasan tanah perkuburan milik persendirian. Maka difahami daripada perkataan beliau bahawa binaan tersebut diharamkan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan.

Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan

Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan ialah hanya binaan seperti simen, marmar dan lain-lain dimana binaan itu tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada liang lahad kubur.

Ini ada dinyatakan di dalam Nihayah karangan Syeikh Ramli bab jenazah (jili 3, m/s 41,عند قول المتن لا للتكفين على الأصح ) ketika membahaskan larangan membongkar kubur sahabat dan wali setelah hancur jasad mereka untuk ditanam jenazah lain. Kerana larangan inilah, diharuskan binaan di atas liang lahad kubur mereka supaya tidak dibongkarkan untuk ditanam jenazah lain.Beliau menukilkan perkataan Muwaffiq bin Hamzah yang mengharuskan berwasiat untuk membina binaan di atas kubur sahabat dan wali bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan menziarahi dan mengambil berkat.

Binaan yang dimaksudkan oleh nukilan Syeikh Ramli itu ialah hanya binaan di atas liang lahad kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya sahaja seperti disimen dan dipasangkan marmar, bukan binaan yang memakan ruang lebih luas daripada itu, seperti kubah, bilik, rumah, masjid dan lain-lain. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Al-Allamah Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah Nihayah (jilid 3 : m/s 41 bab jenazah) dengan katanya:

” والمراد بعمارة ذلك بناء محل الميت فقط لا بناء القباب ونحوها “

Ertinya: “ Dimaksudkan dengan mendirikan binaan tersebut ialah binaan  di tempat liang lahad simati (nabi, wali, ulama dan seumpamanya) sahaja, bukannya binaan segala kubah dan seumpamanya.”

Al-Allamah Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah  Nihayah juga menegaskan: “ Pendapat yang muktamad ialah apa yang dikatakan oleh Syeikh Ramli di dalam bab jenazah iaitu harus berwasiat untuk meratakan tanah kubur para nabi dan orang soleh serta membangunkan binaan (yakni binaan seperti simen, marmar) di atas kubur mereka di dalam tanah kubur yang disabilkan.”

(حاشية الشرواني على التحفة : كتاب الوصايا وما يتعلق به عند قول المتن واذا أوصى لجهة عامة فالشرط أن لا تكون معصية : ج 3/ ص 6)  

Terdapat pendapat yang lemah di dalam mazhab syafie bahawa diharuskan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas seperti kubah, bilik dan lain-lain di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana yang tersebut di dalam kitab ‘Iaanah AtThalibin (Fasal : solat ke atas simati, jilid 2 : m/s120) :

” وقال البجيرمي : واستثنى بعضهم قبور الأنبياء والشهداء والصالحين ونحوها (برماوي) , وعبارة الرحماني : نعم قبور الصالحين يجوز بناؤها ولو قبة لاحياء الزيارة والتبرك , قال الحلبي : ولو في مسبلة وأفتى به وقد أمر به الشيخ الزيادي مع ولايته…”

Ertinya: “ Al-Bujairimi berkata: Sesetengah ulama mazhab syafie mengecualikan (daripada hukum haram) kubur para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi). Teks Ar-Rahmani menyebut: Sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina di atasnya, sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah dan mengambil berkat. Al-Halabi berkata: Walaupun di dalam tanah perkuburan yang disabilkan dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan binaan tersebut ketika beliau berkuasa…..”

Kenduri Arwah

Mulla Ali Qari di dalam syarah kitab hadis Misykat (bab Mukjizat, jilid 5, m/s 482) mensabitkan hadis ‘Asim bin Kulaib  bahawa Nabi s.a.w menerima jemputan daripada isteri simati serta memakan kenduri itu.

Beliau menegaskan: “ Hadis ini melalui zahir lafaznya, menolak pendapat yang telah dihuraikan oleh Ashab Mazhab kami (pengikut-pengikut mazhab hanafi) iaitu:

1)     Makruh mengadakan kenduri  pada hari pertama, ketiga atau  selepas seminggu  kematian seperti yang dinyatakan di dalam kitab Bazzaziyah.

2)     Tersebut di dalam kitab Khulasah bahawa tiada harus mengambil tetamu semasa tiga hari kematian. Az-Zaila’ie menyatakan: “ Tiada mengapa (diharuskan) keluarga simati menanti-nanti orang ramai kerana musibah kematian tanpa membuat perkara yang diharamkan seperti diletakkan hamparan-hamparan dan diadakan kenduri daripada pihak keluarga simati. Ibnu Himmam berkata:

     “ Dimakruhkan keluarga simati  mengambil tetamu.”

“ Sekalian ulama tersebut berhujah pendapat masing-masing dengan  alasan bahawa kenduri itu disyarakan pada perkara kegembiraan bukannya perkara yang tidak elok (kematian). Kesemuanya itu adalah bidaah yang dicela. Imam Ahmad dan Ibnu Hibban meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Jarir bin Abdullah berkata: Adalah kami (golongan sahabat) mengira bahawa berhimpun kepada keluarga simati dan mereka itu (keluarga simati) menyediakan jamuan termasuk di dalam ‘Niyahah’ (meratapi serta menyebut-nyebut kebaikan mayat).”

Mulla Ali Qari mentakwilkan fatwa-fatwa ulama mazhab hanafi tersebut dengan beberapa sebab terjadinya hukum itu. Beliau menghuraikan maksud sebenar fatwa-fatwa tersebut yang bersandarkan kepada hadis Jabir yang melarang keluarga simati mengadakan jamuan supaya tidak bercanggah dengan hadis ‘Asim bin Kulaib yang menyatakan bahawa Nabi memakan kenduri keluarga simati, beliau berkata:

“ Sayugia (sepatutnya) diselaraskan fatwa-fatwa mereka dengan suatu cabangan huraian yang tertentu, iaitu:-

1)      Berhimpun bersama keluarga simati itu menyebabkan mereka (keluarga simati) terasa malu lalu terpaksa mengadakan kenduri untuk orang ramai.

2)      Atau dimaksudkan bahawa  perbelanjaan kenduri diambil daripada harta simati sedangkan salah seorang pewarisnya adalah kanak-kanak (iaitu terdiri daripada mereka yang tidak dibenarkan oleh syara untuk menguruskan harta peninggalan) atau tidak diketahui dimana pewaris itu berada ataupun tidak diketahui persetujuan pewaris terhadap perbelanjaan kenduri yang diambil daripada harta simati.

3)      Atau kenduri tersebut, bukan daripada harta peribadi (selain pewaris), lagi perbelanjaan kenduri diambil daripada harta simati  sebelum dibahagikan kepada pewaris dan seumpamanya (Ini kerana diharuskan keluarga simati mengadakan kenduri apabila pembelanjaannya daripada harta orang lain dan dilarang kenduri daripada harta simati sebelum dibahagikan kepada pewaris)

Beliau menambah lagi: “ Di atas huraian inilah, difahami maksud  sebenar pendapat Qadi Khan (ulama hanafi) yang berfatwa: Makruh keluarga simati mengambil tetamu di hari musibah kematian kerana ianya hari dukacita. Maka tidak layak dengannya diadakan kenduri sepertimana diadakan pada hari-hari kegembiraan. Jika keluarga simati mengadakan jamuan untuk orang miskin maka ianya perbuatan yang elok.”

Huraian Mulla Ali Qari sebagai ulama yang bermazhab hanafi ini bersamaan dengan huraian  para ulama yang bermazhab syafie tentang kenduri yang diadakan oleh keluarga simati bagaimanakah ia menjadi haram atau makruh.

Ulama yang mengikuti Imam Syafie, menghuraikan masalah ini dengan berdasarkan penelitian mereka terhadap penafsiran Imam Syafie sendiri dimana pada suatu ketika beliau menghukumkan makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati jika tiada bertujuan meratapi (Niyahah) dan membilang-bilang keelokan simati. Bukanlah setiap kenduri yang diadakan oleh mereka adalah haram semata-mata. Oleh itu, tiada kemusykilan berkenaan hadis ‘Asim bin Kulaib, sama ada Nabi s.a.w memakan jamuan yang disediakan oleh isteri simati ataupun disediakan oleh perempuan lain seperti yang cuba dikelirukan oleh sesetengah pihak.

Kenduri yang diharamkan

Diharamkan kenduri yang diadakan oleh keluarga simati atau jamuan  yang disediakan untuk mereka bertujuan meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati (Niyahah). Pengharaman kenduri tersebut adalah kerana ‘Niyahah’ itu sendiri diharamkan oleh jumhur ulama yang bersandarkan dengan hadis-hadis sahih. Di antaranya:-

” وروى عبد الله بن مسعود رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم : ليس منا من لطم الخدود وشق الجيوب ودعا بدعوى الجاهلية “ 

Ertinya: “ Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan daripada Nabi s.a.w bersabda: Bukanlah daripada kalangan kami, mereka yang menampar-nampar pipinya (ketika meratapi kematian), mencarik-carikan leher baju atau menyebut-nyebut (ketika dukacita) dengan sebutan yang diucapkan oleh orang-orang jahiliyah.” (Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Imam Nawawi menjelaskan di dalam kitab Majmuknya (bab jenazah, jilid 5, m/s 272): “ Adapun membilang-bilang keelokan simati (Nadbu), meninggikan suara kerana meratapi (Niyahah), menampar-nampar pipi, mencarik-carikan leher baju, melukakan wajah, melepas serta mengusutkan rambut atau mengucapkan ucapan celaka dan binasa, kesemuanya itu diharamkan dengan persetujuan pengikut-pengikut Syafie serta jumhur ulama menyatakan haram perkara tersebut.”

Kerana inilah, Imam Nawawi berkata di dalam Minhajnya (lihat Syarah Mahalli, jilid 1: m/s 353) :

” ( وتحرم تهيئته للنائحات والله أعلم)  لأنه اعانة على معصية “

Ertinya: “ (Haram menyediakan jamuan makanan kepada segala perempuan yang meratapi dan menyebut-nyebutkan keelokan simati, wallahu ‘aalam). Ini adalah kerana menyediakan jamuan tersebut bertolong-tolongan di atas perkara maksiat.”

Keterangan

Hukum haram kenduri daripada keluarga simati apabila diadakan untuk tujuan perkara-perkara yang dilarang oleh syara berkenaan dengan kematian seperti bertujuan meratapi dan membilang-bilang keelokan simati dan lain-lain sepertimana yang diterangkan oleh Mulla Ali Qari di atas. Tinggal lagi satu sebab yang menjadikan haram kenduri tersebut seperti yang terdapat di dalam kitab-kitab muktabar mazhab syafie iaitu:- Perbelanjaan jamuan diambil daripada harta peninggalan sedangkan simati mempunyai hutang belum berbayar (sila rujuk buku kami yang  bertajuk ‘Berkuburnya Kesangsian…’). Bukannya semata-mata diadakan jamuan oleh keluarga simati itu haram hukumnya.

Kenduri yang dimakruhkan

Kenduri yang diadakan oleh keluarga simati dimakruhkan apabila disediakan bagi orang ramai yang datang untuk mengucapkan takziah. Hukum ini difahami daripada perkataan Imam Syafie di dalam  kitab Ummnya:

” وأكره المآتم وهي الجماعة وان لم يكن لهم بكاء فان ذلك يجدد الحزن وكلف المؤنة….”

Ertinya: “ Aku menghukumkan makruh beberapa jamuan iaitu perhimpunan, sekalipun ketiadaan tangisi (meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati- ‘Niyahah’ & ‘Nadbu’). Ini adalah disebabkan jamuan tersebut memperbaharui (mengingati kembali) dukacita kematian dan memaksa-maksa di atas mengeluarkan pembelanjaan….”

Imam Nawawi menerangkan perkataan Imam Agung ini bahawa dimakruhkan bagi keluarga simati menanti-nanti orang ramai datang mengucapkan takziah dan dimakruhkan juga mengadakan jamuan untuk mereka. Beliau menjelaskan di dalam kitab Majmuknya (bab jenazah, jilid 5, m/s 270-271):

Adapun keluarga simati menanti-nanti kedatangan orang ramai untuk mengucapkan takziah maka terdapat nas perkataan Imam Syafie (seperti yang termaktub di atas), nas pengarang (As-Syirazi) dan nas sekalian pengikut Imam Syafie yang menyatakan makruh hukumnya….”

Ibnu Hajar Al-Haitami menyatakan di dalam kitab Tuhfahnya (bab jenazah, jilid 3, m/s 227-228) hukum makruh kenduri yang diadakan oleh  keluarga simati dengan bersandarkan hadis Jarir yang berbunyi:

” كنا نعد الاجتماع الى أهل الميت وصنعهم الطعام بعد دفنه من النياحة “ 

Ertinya: “ Adalah kami (para sahabat) mengira bahawa berhimpun kepada keluarga simati dan mereka itu (keluarga simati) menyediakan jamuan selepas dikebumikannya, termasuk di dalam ‘Niyahah’ (meratapi serta menyebut-nyebut kebaikan mayat).”

Beliau menjelaskan: “ Sebab dikira mengadakan jamuan oleh keluarga simati termasuk dalam ‘Niyahah’ kerana ada unsur terlampau mengambil berat soal dukacita kematian. Kerana inilah, dimakruhkan bagi mereka yang sengaja berhimpun bertujuan menunggu-nunggu kedatangan orang ramai untuk mengucap takziah…”

Terdapat beberapa sebab lagi yang menjadikan makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati seperti yang dinyatakan oleh Al-Allamah Ali Syabramalisi (lihat hasyiah Syarwani, jilid 3, m/s 227): “ Diantara hukum makruh kenduri yang diadakan oleh keluarga simati ialah kenduri yang masyur dikenali dengan ‘Wahsyah’ (jamuan yang diadakan bertujuan menghilangkan rasa sunyi dan dukacita disebabkan kematian) yang diketahui oleh masyarakat (pada zaman itu di kalangan masyarakat Arab).”

Tinggal lagi satu sebab yang menjadikan makruh kenduri tersebut sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-kitab muktabar ulama mazhab syafie ialah apabila diadakan jamuan tanpa apa-apa tujuan atau kerana kematian semata-mata mengikut kebiasaan sesuatu tempat pada hari-hari ditentukan tanpa disertai dengan meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati.(Sila rujuk buku kami yang bertajuk ‘Berkuburnya Kesangsian….’)

Kenduri yang diharuskan

Ahli keluarga simati menyediakan jamuan bagi orang ramai yang datang bertahlil dan membaca Al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada simati adalah diharuskan. Tujuan jamuan ini hanyalah mengalakkan orang ramai datang serta membalas budi mereka kerana menolong simati dengan menghadiahkan pahala zikir dan tilawah Al-Quran kepadanya.

Justeru itu, jamuan sebegini tiada diharamkan atau dimakruhkan kerana tidak bertujuan mengingati kembali dukacita kematian dan tiada unsur mengambil berat soal dukacita.

Perlu mengetahui bahawa setiap hukum yang diputuskan dengan haram atau makruh berdasarkan sebab(العلة)  yang mencetuskan hukum tersebut.

Contohnya seperti sebab diharamkan kenduri daripada keluarga simati yang bertujuan meratapi dan membilang-bilang kebaikan simati ialah ‘Niyahah’ (meninggikan suara dengan meratapi) dan ‘Nudbah’ (membilang-bilang keelokan simati) yang diharamkan oleh syara. Sebab dimakruhkan kenduri tersebut pula ialah ada unsur mengingati kembali dukacita kematian dan unsur mengambil berat soal dukacita. Maka jamuan yang diadakan bagi orang ramai yang bertahlil dan bertilawah itu tiada unsur-unsur tersebut untuk dihukumkan sebagai makruh  sebagaimana yang terdapat di dalam kenduri bagi orang ramai yang datang mengucapkan takziah. Jauh sekali untuk dihukumkan dengan haram kerana tiada  terdapat Niyahah atau Nudbah.

Kaedah di dalam ilmu usul fiqh ada menyebut:

” ألعلة تدور مع المعلول وجودا وعدما “ 

Ertinya: “ Sebab (‘illat) terjadinya sesuatu hukum adalah selaras dengan masalah yang dihukumkan dari segi wujudnya sebab tersebut ataupun tiada (yakni dihukumkan haram, makruh dan sebagainya apabila ada sebab atau ‘illat hukum terbabit. Jika tiada sebab tersebut maka tidak dihukumkan dengan sedemikian).”

Kenapakah berlainan kenduri keluarga simati untuk orang ramai yang datang bertahlil dan bertilawah dengan kenduri bagi para hadirin untuk mengucapkan takziah? Cuba memahami dahulu takrif takziah iaitu sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Tuhfah Ibnu Hajar Haitami (bab jenazah, jilid 3, m/s 193): “ Takziah itu ialah memberitahu supaya bersabar menghadapi musibah kematian serta menanggung kesabaran untuk memperolehi pahala, memberi peringatan tentang dosa keluh resah (dengan takdir Allah) atau berdoa untuk mayat muslim serta berdoa untuk keluarga simati yang ditimpa musibah kematian supaya digantikan musibah kematian dengan pahala ganjaran.”

Lantaran takziah mengandungi perkara tersebut, apabila keluarga simati menyediakan jamuan untuk para hadirin yang datang untuk memberi takziah maka seolah-olah keluarga simati mengambil serius tentang soal dukacita dan memperbaharuinya. Ini disebabkan mereka seakan-akan menghendaki rasa  simpati daripada orang ramai di atas dukacita yang mereka hadapi iaitu musibah kematian lalu mereka mengharap-harapkan serta ternanti-nanti orang ramai menyabarkan mereka atau berdoa kepada mereka. Sama ada menunggu-nunggu tersebut dengan semata-mata berhimpun mahupun dengan diadakan kenduri maka kedua-duanya  adalah dimakruhkan.

Berlainan sekali dengan kenduri arwah untuk mereka yang datang bertahlil serta bertilawah untuk dihadiahkan kepada simati, semata-mata bertujuan menggalakan, membalas budi dan  menghubungkan silaturahim  dengan mereka. Ianya tiada unsur memperbaharui dan mengambil berat soal dukacita.

Pahala Bacaan Yang Dihadiahkan Kepada Simati

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang adakah sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran atau zikir kepadanya ataupun tidak. Di dalam mazhab syafie terdapat dua pendapat mengenainya:-

Pendapat yang pertama adalah pendapat sebahagian pengikut Imam Syafie yang mengatakan sampai pahala bacaan kepada orang yang telah mati. Pendapat yang kedua pula ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim (kitab zakat, bab sampai pahala sedekah kepada simati): “ Pendapat yang masyhur di dalam mazhab syafie bahawa pahala bacaan Al-Quran tidak sampai kepada  orang telah meninggal.”

Pendapat yang pertama adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie manakala pendapat yang kedua adalah pendapat yang lemah sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh Bujairimi di dalam Hasyiah Fathul Wahhab (kitab wasiat, فصل في أحكام معنوية للموصى به… , jilid 3, m/s 286).

Faktor yang menyebabkan pendapat yang masyhur di dalam mazhab syafie tersebut adalah lemah dan tidak kuat ialah bahawa ijmak para ulama yang menyatakan pahala sedekah dan doa kepada simati itu sampai kepadanya. Ini kerana makna mendapat manfaat simati dengan sedekah dan doa daripada orang yang hidup adalah sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh Ramli di dalam kitab Nihayah (kitab wasiat, jilid 6, m/s 92) :

“ Makna simati mendapat manfaat dengan sedekah ialah diletakkan kedudukan simati pada tempat orang bersedekah (yakni seolah-olah dia bersedekah)…Imam Syafie berkata: “ Keluasan rahmat Allah Taala ialah bahawa Dia memberi pahala kepada orang yang bersedekah juga.”….Makna simati mendapat manfaat dengan doa serta mendapat pahalanya ialah sampai perkara yang didoakan untuknya, apabila diperkenankan doa itu. Diperkenankan doa tersebut adalah semata-mata kurniaan Allah Taala….”

Imam Nawawi menerangkan di dalam kitab Raudah (kitab jenazah, jilid 2, m/s 58): “…..Maka berdoa selepas saja membaca Al-Quran adalah terlebih hampir diperkenankan dan doa itu memberi manfaat kepada simati (secara ijmak ulama).”

Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan di dalam Fatwa Kubranya (bab wasiat, jilid 4, m/s 20): “ Adapun berdoa untuk disampaikan seumpama pahala kepada orang lain (simati) maka tiada mengapa kerana ianya terdiri daripada perbuatan berdoa bagi saudara muslim tanpa kehadirannya (tanpa pengetahuannya). Banyak hadis-hadis yang menunjukkan di atas dimakbulkan doa ini (doa bagi saudara muslim tanpa pengetahuannya) dan selainnya. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat larangan padanya maka tiada ada satupun alasan untuk menegahannya.”

Lantaran itu, pendapat yang mengatakan secara umum bahawa tiada sampai pahala bacaan kepada simati dikira sebagai lemah. Ini jelas, apabila disedekahkan pahala bacaan atau berdoa supaya disampaikan pahala itu kepadanya nescaya dia memperolehi pahala tersebut  kerana sampainya pahala sedekah dan doa untuk simati adalah merupakan ijmak di kalangan ulama.

Oleh kerana inilah, kebanyakan ulama mazhab syafie telah mentakwil serta menerangkan maksud sebenar pendapat yang kedua yang dinukilkan oleh Imam Nawawi itu, di mana mereka menjelaskan bahawa tidak sampainya pahala bacaan Al-Quran, apabila dibacakan bukan di hadapan mayat atau sipembaca tidak meniatkan pahala bacaannya kepada simati serta tidak mendoakan supaya pahala itu disampaikan kepadanya (lihat Tuhfah-kitab wasiat, jilid 7, m/s 87, Nihayah-kitab wasiat, jilid 6, m/s 93 dan lain-lain).

Pendapat pertama yang menyatakan bahawa sampai hadiah pahala bacaan kepada orang yang telah meninggal dunia terbahagi kepada dua pendapat pula:-

1)      Ibnu Hajar Al-Haitami berpendapat (menyamai dengan pendapat Syeikh Zakaria Al-Ansori di dalam Fathul Wahhab) bahawa tidak memadai dengan niat semata-mata bahkan mestilah disertai dengan berdoa menyampaikan pahala bacaan kepada orang yang mati. Beliau menjelaskan masalah niat tanpa berdoa, dengan katanya: “ Mendapat pahala manfaat (keberkatan dan rahmat yang hasil daripada bacaan), tidak pahala bacaan (lihat kitab Burgyatul Mustarsyidin bab الموصى به, m/s 320).

     Ali Syabramalisi menyatakan pendapat ini adalah pendapat yang        lemah sebagaimana difahami daripada perkataan Syeikh Ahmad Bin Qasim (lihat Hasyiah Ali Syabramalisi bagi Nihayah, kitab Wasiat, jilid 6, m/s 93, Hasyiah Syarwani dan Ibnu Qasim bagi Tuhfah jilid 7, m/s 87).

2)      Pendapat Syeikh Ramli yang menyatakan bahawa memadai hanya dengan niat disampaikan pahala bacaan Al-Quran kepada orang telah meninggal dunia. Pendapat ini bertepatan dengan pendapat mazhab Maliki, Hanafi dan Hambali (lihat kitab Burgyatul Mustarsyidin bab الموصى به, m/s 320).

Kesimpulan yang dijelaskan oleh Syeikh Ramli tentang sampai pahala bacaan Al-Quran kepada simati itu jika terdapat salah satu keadaan berikut:-

1)     Niat menyampaikan pahala bacaan Al-Quran kepada orang yang telah mati (di hadapan jenazah ataupun tidak).

2)     Berdoa supaya disampaikan pahala bacaan itu kepada orang yang telah mati.

3)     Membaca Al-Quran di kubur.

(Lihat Hasyiah Ibnu Qasim bagi Nihayah, kitab wasiat, jilid 7, m/s 87)

*Adapun disisi Ibnu Hajar Al-Haitami, tiada memadai hanya dengan niat untuk disampaikan pahala bacaan kepada jenazah yang ada di hadapan, bahkan mesti berdoa supaya disampaikan pahala bacaan itu kepadanya. Beliau bersandarkan dengan pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi di dalam kitab Azkarnya. Tambahan lagi, beliau bersandarkan dengan perkataan Imam Syafie, dengan katanya: “ Sesungguhnya nas Imam Syafie dan  sekalian pengikutnya mengenai sunat membaca Al-Quran yang mudah (ayat atau surah yang pendek) di sisi simati serta berdoa selepas bacaan itu, bermaksud bahawasa ketika itu terlebih diharap ianya diperkenankan dan simati mendapat berkat bacaan itu sepertimana orang hidup yang hadir….” (Rujuk Tuhfah serta Hasyiah Syarwani dan Ibnu Qasim, kitab wasiat, jilid 7, m/s 88).

Penutup

Setakat ini yang dapat kami terangkan kepada masyarakat terhadap masalah yang diperbahaskan. Kami hidangkan kupasan tersebut yang  dicedok daripada gedung-gedung keilmuan yang terkandung di dalam kitab-kitab  para ulama muktabar  mazhab syafie. Semenjak dari zaman sahabat lagi, seterusnya ke zaman tabien, tabiu-tabien hingga ke hari ini, umat islam berpegang teguh dengan para imam mujtahid serta huraian para ulama yang mengikutinya. Lihat saja, bahawa imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Malik, Syafie dan Hambal) adalah termasuk di dalam golongan salafussolihin. Kewajipan mengikuti imam mujtahid  merupakan ijmak di kalangan para ulama melainkan pengingkaran daripada mereka yang menyimpang daripada manhaj salaf iaitu manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Hanya kepadaNya sahaja yang dapat memberi taufik-hidayat terhadap golongan yang sesat, disesatkan dan menyesatkan agar kembali kepada jalan yang lurus. Wala haula wala quwwata illa biLLah.

WaLLahu ‘Aklam….

وصلى الله وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم باحسان أي بايمان أو بتقوى الى يوم الدين والحمد لله رب العالمين 

Disusun oleh:

NIK MOHD NAZIMUDDIN BIN NIK IBRAHIM

PONDOK PASIR TUMBOH KOTA BHARU

KELANTAN SERAMBI MEKAH

5hb Jun 2008M Bersamaan 1hb Jumadas-Saniah 1429

Haram melantik perempuan sebagai wakil rakyat

Permasalahan yang hendak kita bincang di sini ialah adakah patut dan bolehkah perempuan mewakili sesuatu kawasan pilihan raya supaya mengenengahkan pandangan dan masalah-masalah tempat yang diwakili untuk diajukan di dalam parlimen atau dewan undangan negeri. Dengan lain perkataan mereka diberi mandat mentadbir urusan kaum yang mereka wakili.

          Takut lah dengan janji رسول الله صلى الله عليه وسلم                              

 

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَة 

Tidak berjaya sesuatu kaum itu jika urusan mereka ditadbir oleh wanita

dan sabdanya صلى الله عليه وسلم

إِذَا كَانَ أُمَرَاؤُكُمْ شِرَارَكُمْ وَأَغْنِيَاؤُكُمْ بُخَلاَءَكُمْ وَأُمُورُكُمْ إِلَى نِسَائِكُمْ فَبَطْنُ اْلأَرْضِ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ ظَهْرِهَا 

 

Sekiranya pemimpin kamu terdiri dari kalangan orang-orang yang jahat diantara kamu, sekirannya orang-orang kaya kamu terdiri dari orang-orang yang bakhil diantara kamu dan sekiranya urusan kamu diserah kepada wanita-wanita kamu, maka perut bumi adalah lebih baik dari muka bumi (ertinya mati lebih baik dari hidup). 

Diandaikan sebuah parti politik meletak seorang wanita untuk mewakili sesuatu kawasan maka parti politik itu dan orang-orang yang mengundi bagi kemenengan wanita itu tergolong dikalangan mereka yang tidak mendapat kejayaan.

Kita jangan terikut-ikut dakyah barat yang hendak merosakkan agama kita sedangkan kita telah ketahui rosaknya mereka itu dengan tidak mengikut peraturan الله dan rasulnya.

Pihak yang tidak mahu umat islam berpegang dengan ajaran islam yang sebenar mengapi-apikan umat islam dengan slogan memberi hak yang sama rata antara lelaki dan perempuan.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan itu.

 

Firman تعالى الله di dalam surah Al-Nisaa’ ayat 34

الرجال قوامون على النساء بما فضل الله بعضهم على بعض وبما أنفقوا من أموالهم

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Mengikut Tafsir Jalalain, lafaz قوامون dengan makna مسلطون yang membawa maksud memerintah.

Berkata Al qurtubi:

ودلت هذه الآية على تأديب الرجال نساءهم

Ayat ini menunjukkan wajib di atas lelaki mengajar adab terhadap kaum wanita.

Berkata Al qurtubi lagi:

. و “قوام” فعال للمبالغة; من القيام على الشيء والاستبداد بالنظر فيه وحفظه بالاجتهاد. فقيام الرجال على النساء هو على هذا الحد; وهو أن يقوم بتدبيرها وتأديبها وإمساكها في بيتها ومنعها من البروز, وأن عليها طاعته وقبول أمره ما لم تكن معصية

Perkataan “قوام” dengan makna bersangatan pada mendirikan hak di atas suatu dan memerintah dengan memerhati pada perkara itu dan memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. Maka tugas lelaki terhadap kaum wanita mengikut takrif ini ialah berusaha mengatur kehidupan harian mereka itu, mengajar adab, menyuruh mereka tinggal di rumah, menegah mereka itu mendedahkan diri di khalayak ramai, dengan itu mereka wajib mentaati dan menerima suruhan suami selama suruhan itu tiada unsur maksiat.

Berkata Ibnu katheer:

قول تعالى “الرجال قوامون على النساء” أي الرجل قيم على المرأة أي هو رئيسها وكبيرها والحاكم عليها ومؤدبها إذا اعوجت “بما فضل الله بعضهم على بعض” أي لأن الرجال أفضل من النساء والرجل خير من المرأة ولهذا كانت النبوة مختصة بالرجال وكذلك الملك الأعظم لقوله صلى الله عليه وسلم “لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة” رواه البخاري من حديث عبدالرحمن بن أبي بكرة عن أبيه وكذا منصب القضاء وغير ذلك

Firman Allah “الرجال قوامون على النساء” membawa erti lelaki menjadi pengawas kaum perempuan yakni lelaki adalah ketua-ketua mereka itu, …, yang menjadi hakim mereka itu, yang mengajar adab apabila mereka itu lari dari ajaran sebenar.

Dan firman Allah “بما فضل الله بعضهم على بعض” (Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,) kerana lelaki terlebih afdhal dari perempuan dan lelaki lebih baik dari perempuan. Oleh itu kenabian ditentukan bagi kaum lelaki, begitu juga sultan (atau yang sama erti dengannya) tertentu bagi kaum lelaki kerana sabda Nabi صلى الله عليه وسلم “لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة” Tidak berjaya sesuatu kaum itu jika urusan mereka ditadbir oleh wanita. Dan seumpama sultan orang yang hendak menghukum pada sesuatu pekara dan selain dari itu yakni segala urusan diatas muka bumi ini yang melibatkan kaum lelaki.

Persolannya adakah kita sanggup menterbalikkan ayat ini, dengan menjadikkannya الرجال قوامون على النساء. Kerana tugas seorang wakil rakyat itu bukan sahaja mengubal undang-undang tetapi dia juga orang yang menentukan dasar negara, mengawasi perlaksanaan undang-undang, membentuk kabinet dan memutus perkara yang bersangkutan dengan perang dan damai.

 

Firman تعالى الله di dalam surah Al ahzab ayat 33

وقرن في بيوتكن ولا تبرجن تبرج الجاهلية الأولى

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu;

Berkata Al-Qurtubi:

معنى هذه الآية الأمر بلزوم البيت, وإن كان الخطاب لنساء النبي صلى الله عليه وسلم فقد دخل غيرهن فيه بالمعنى. فأمر الله تعالى نساء النبي صلى الله عليه وسلم بملازمة بيوتهن, وخاطبهن بذلك تشريفا لهن, ونهاهن عن التبرج.

Makna ayat ini menyuruh kaum perempuan sentiasa berada di rumah, walaupun ayat ini dituju kepada isteri-isteri nabi adalah sekalian perempuan termasuk di dalam makna ayat ini.

Maka Allah menyuruh mereka itu tingal di rumah kerana hendak memuliakan mereka itu. Allah juga melarang mereka tabarruj yakni berhias bukan kerana suami,

Berkata Ibnu Katheer

قوله تعالى: “وقرن في بيوتكن “أي الزمن بيوتكن فلا تخرجن لغير حاجة

Firman Allah “وقرن في بيوتكن ” ertinya hendaklah mereka itu sentiasa berada di rumah maka mereka itu tidak dibenarkan keluar kecuali perkara yang penting.

Telah bercerita Sa’lab dan lainnya:

أن عائشة رضي الله عنها كانت إذا قرأت هذه الآية تبكي حتى تبل خمارها.

Sesunguhnya Aisyah menangis apabila dibacakan ayat ini kepadanya sehinga basah tudung kepalanya.

Telah berkata orang yang meriwayatkan cerita ini:

فوالله ما خرجت من باب حجرتها حتى أخرجت جنازتها. رضوان الله عليها.

Demi Allah tidak keluar Aisyah dari pintu biliknya sehinga dikeluarkan mayatnya.

Berkata Ibnu A’tiyyah:

 بكاء عائشة رضي الله عنها إنما كان بسبب سفرها أيام الجمل, وحينئذ قال لها عمار: إن الله قد أمرك أن تقري في بيتك.

Aisyah menangis kerana musafirnya pada hari perang jamal, yang mana telah berkata Ammar kepadanya “sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu tinggal tetap di rumah.

Adakah boleh orang yang dilarang keluar dari rumah, kita benarkan mewakili sesuatu kawasan untuk menguruskan permasalahan-permasalahan setempat?

 

Firman تعالى الله di dalam surah Al-ahzab ayat 53

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ

Dan apabila kamu kaum lelaki meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir.

Berkata Al-Qurtubi:

في هذه الآية دليل على أن الله تعالى أذن في مسألتهن من وراء حجاب, في حاجة تعرض, أو مسألة يستفتين فيها, ويدخل في ذلك جميع النساء بالمعنى, وبما تضمنته أصول الشريعة من أن المرأة كلها عورة, بدنها وصوتها, كما تقدم, فلا يجوز كشف, ذلك إلا لحاجة كالشهادة عليها, أو داء يكون ببدنها, أو سؤالها عما يعرض وتعين عندها.

Di dalam ayat ini ada dalil yang menunjukkan bahawa Allah mengizinkan kaum muslimin meminta daripada isteri-isteri Nabi dari sebalik dinding pada hajat yang dituntut, atau bertanyakan fatwa dari mereka itu. Masuk dalam makna suruhan itu sekalian kaum perempuan. Di dalam asal hukum syarak menyatakan bahawa perempuan sekaliannya aurat sama ada tubuh atau suaranya. Maka tiada harus mereka itu membuka yang demikian (tubuh atau suaranya) itu melainkan hajat seperti menjadi saksi atas kesalahannya, mengubati penyakit yang ada pada badannya atau  meminta dari mereka perkara yang penting sedangkan perkara itu tiada pada kaum lelaki.

Adakah patut kita melantik seseorang yang dilarang oleh syarak daripada bertemu dengan lelaki yang bukan mahram menjadi wakil rakyat?

Sedangkan kita mengetahui bahawa tugas wakil rakyat perlu berhadapan dengan sesiapa sahaja, lelaki atau perempuan, yang beragama islam atau tidak.

Akhir kata mari kita renung sepotong hadis dari رسول الله صلى الله عليه وسلم

إِذَا وُسِّدَ اْلأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ

Apabila diserahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah berlaku qiamat.

Janganlah kita terlalu ghairah hendak mengejar kemenangan sehingga melupakan prinsip-prinsip agama. Matlamat utama perjuangan kita adalah mencari keredhaan تعالى الله. Biarlah kalah dalam keredhaan تعالى  الله dari menang di dalam kemurkaannya.   

 

 

 

      (الملاكوى)  

Nantikan Kemunculan kami

Sebuah blog milik pertubuhan yang akan memuatkan kegiatan pertubuhan Khairu Ummah

 

Ulamak melayu

Tokoh-tokoh Ulamak Kelantan
Tokoh-tokoh Ulamak Kelantan

 

Tuan Guru Hj Tahir

Tuan Guru Hj Tahir

 Kelik disini

Tuan Guru Hj Hasyim Pasir Tumbuh

Tuan Guru Hj Hasyim Pasir Tumbuh

 Kelik disini

Tuan Guru Wan Mohammad

Tuan Guru Wan Mohammad

 Kelik disini

Syek Ahmad

Syek Ahmad

 

 klik disini

Pengenalan

Nantikan kemunculan kami di blog ini……..

Hello world!

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!