Monthly Archives: Ogos 2009

Tapak Pondok Yang Baru Diserah Kepada Pertubuhan Khairu Ummah.

Masjid dan sebuah bilik air
Masjid dan sebuah bilik air

Diatas tapak Pondok hanya ada sebuah masjid dan bilik air. Kami memerlukan bantuan umat islam untuk menjayakan Pusat Pengajian Pondok di atas tapak ini.

Tapak ini seluas enam ekar di Maahad Tahfis Al-Quran Darul Hikmah Kg Bukit Hangus Mukim Jeram Pasir Puteh Kelantan. Ajk Maahad Tafiz tersebut telah bersetuju menyerah tapak ini kepada Pertubuhan Khairu Ummah. Tapak ini telah diserah kepada kami pada 15 hb ogos 2009.

Rancangan Pembenaan Madrasah (klik di sini)

Tapak tanah untuk di jadikan pondok

Tapak tanah untuk di jadikan pondok

 

Dalam Masjid

Dalam Masjid

Memerlukan derma orang ramai supaya dapat menyiap masjid ini

Bangunan yang tak siap

Bangunan yang tak siap

geran tapak pondok

Kami memerlukan sumbanggan anda untuk menjayakan pembenaan pondok ini.

#Segala sumbangan hendaklah disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad No akaun : 0302-0000656-71-8 dan Maybank Islamic Berhad No akaun: 55310 4411 805

di bawah nama:-PERTUBUHAN UMAT CEMERLANG KELANTAN (KHAIRU UMMAH).

MUSIBAH PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN

MUQADIMAH

Dengan nama Allah yang Maha pemurah & Maha mengasihani. Segala pujian hanya berhak bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat & salam keatas Nabi Muhammad s.a.w, keatas keluarga & para sahabatnya serta sekalian yang mengikuti mereka itu hingga ke akhir zaman.

AL-KISAH

Telah maklum diketahui umum bahawa menyatukan pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam institusi pengajian, sama ada dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi adalah kebiasaan yang menular di Negara kita ini. Tambah pula segala aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran & kokurikulum pun sedemikian jua. Lebih-lebih teruk lagi, Asrama lelaki & perempuan berdekatan tanpa ada apa-apa penghadang. Cerita-cerita yang pernah saya dengar sendiri daripada murid-murid saya dari kalangan pelajar-pelajar universiti tempatan dalam aliran agama bahawa mereka menyatakan perkara yang tidak enak didengari apabila kita timbangkan dengan neraca syariat.

Pelajar-pelajar jurusan agama ini menyatakan bahawa menjadi kebiasaan pelajar-pelajar membuat hubungan istimewa sesama mereka. Ini kerana, bila setiap hari melihat pelajar perempuan di dalam satu kelas atau pelajar perempuan yang lain pada sesuatu tempat dalam kampus.

Lebih-lebih lagi pelajar perempuan yang mempunyai rupa paras menawan, menjadi rebutan di kalangan pelajar-pelajar lelaki. Sehinggakan ada yang mengirim bunga untuk menawan hati sigadis jelita tersebut. Perhubungan begitu mudah, dengan telefon bimbit memainkan peranan yang penting dalam misi menakluki hati pelajar yang diminati serta sebagai alat yang dapat melayan perasaan pasangan-pasangan yang bercinta ini. Terdapat juga pelajar yang menjalin hubungan ‘istimewa’ dengan pensyarah muda yang memiliki rupa, yang baru menjawat tugas sebagai seorang pensyarah. Dalam kelas menghormatinya sebagai pendidik, dalam telefon bimbit dijadikannya sebagai seorang kekasih yang dirindui.

Lebih parah lagi ada yang berdating sambil berpegangan tangan dan terdapat kes ditangkap berdua-duaan dalam tandas. MasyaAllah!! Na’uuzibillah min zalik! Bukanlah semata-mata saya membongkar perkara-perkara aib sedemikian untuk melekeh & mencela. Saya terpaksa berbuat demikian, hanyalah bertujuan menyatakan hukum syariat tentang pencampuran pelajar lelaki & perempuan. Harap maaf!!! ‘Perkara yang baik dijadikan teladan dan perkara yang buruk dijadikan sempadan.’ Inilah realiti yang berlaku serta diakui sendiri oleh pelajar-pelajar IPT, baik dari aliran agama mahupun aliran biasa (lebih parah). Ini kerana, jawapan yang saya terima adalah sama di kalangan pelajar IPT yakni pencampuran pelajar lelaki-perempuan itu membawa kepada elemen-elemen yang tidak baik.Terdapat juga pelajar lelaki menyusup masuk ke dalam bilik pelajar perempuan dan sebaliknya.

Takutilah bala bencana Allah Taala yang berbentuk bencana alam seperti ‘Tsunami’, gempa bumi yang melenyapkan dan membinasakan apa saja atau berbentuk wabak penyakit seperti wabak ‘Je’, selsema burung, selsema khinzir dan lain-lain, datangnya tiada diduga. Ianya disebabkan oleh maksiat-maksiat yang dilakukan oleh penduduk bumi itu sendiri. Hadis yang bermaksud:

“Tiadalah timbul @ nyata (secara terang-terangan) pada sesuatu kaum manusia, penzinaan dan amalan riba melainkan mereka sendiri meluluskan AZAB ALLAH (BALA BENCANA ALLAH).”

PUNCA-PUNCANYA

Kenapakah perkara ini tidak boleh berlaku? sedangkan semenjak dari kecil lagi muda-mudi kita dikotori fikiran mereka itu dengan tunjuk ajar yang negatif di sisi agama oleh syaitan yang besar iaitu TV & seumpamanya melalui rancangan-rancangan & filem-filem yang dipertontonkan. Didikan buruk yang menyalahi dengan syara’ yang terdapat di dalamnya seperti budaya berasyik-asyik dalam percintaan, adengan-adengan pergaulan bebas yang terbabas daripada batasan-batasan agama Allah Taala. Tidak kurang juga didikan membuka aurat dengan berpakaian yang ketat, singkat & menyingkap segala yang sepatutnya ditutup. Sehingga maruah harga diri seorang muslimat tidak kelihatan lagi melainkan dilihat seperti ciri-ciri perempuan orang kafir yang seperti binatang, bebas tanpa ikatan agama. Begitu juga dengan bahan-bahan cetak yang memainkan peranan penting dalam merosakkan moral muda-mudi kita.

MUQADIMAH ZINA

Bemula dari muqadimah zina atau dipanggil sebagai perkara yang membawa kearahnya (zina) iaitu percampuran antara lelaki & perempuan, aktiviti bersama-sama, pandang-memandang, membuat hubungan, bersentuh-sentuhan dan lain-lain, seterusnya boleh membawa kearah melakukan penzinaan itu sendiri.

Allah Taala melarang keras hambanya melakukan muqadimah zina dan zina itu sendiri dalam firmanNya, yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina!”(surah al- Israa:32)

Imam Ibnu Kastir menafsirkan ayat ini dalam kitab tafsir beliau dengan katanya: “Allah Taala berfirman (dengan ayat ini) yang mana Dia melarang hambaNya daripada melakukan zina, menghampiri zina, melakukan sebab-sebab kearah zina serta segala perkara yang boleh membawa kepada penzinaan.”

Tersebut dalam kitab Hasyiah Futuhat ilahiyah pada menerangkan ayat ini: “Kerana ayat ini memberi pergertian larangan daripada melakukan muqadimah zina seperti bersentuhan, bercium, melihat (lelaki pandang kepada perempuan atau perempuan melihat kepada lelaki)…”

Pandang-memandang

Firman Allah Taala, yang bermaksud: “Katakan kepada kaum muslimin, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”. (surah AN-Nur:30)

FirmanNya lagi, yang bererti: “Katakanlah kepada kaum muslimat, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”(surah AN-Nur:31)

Al-Hafiz Ibnu Qayim Aljauziah menyatakan dalam kitab Addaa Wa ddawaa’ m/s 163, bahawa ‘pandangan’ merupakan salah satu daripada punca-punca kemasukkan maksiat pada hamba Allah. Beliau menerangkan hal tersebut dengan katanya: “Adapun pandangan-pandangan itu ianya menarik kepada syahwat & utusannya (syahwat). Kawalan pandangan ialah asas bagi penjagaan alat kelamin (daripada melakukan perkara haram), maka sesiapa melepaskan pandangannya tanpa kawalan nescaya ia meletakkan dirinya ke tempat kebinasaan-kebinasaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, bermaksud: “Janganlah engkau ikutkan satu pandangan dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya tidak mengapa bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak harus (haram) bagi engkau pandangan kali kedua.”

Ibnu Qayim menjelaskan lagi: “Pandangan itu asal kebanyakkan terjadinya bala bencana yang menimpa manusia. Ini kerana, ianya mendatangkan lintasan, seterusnya lintasan itu mendatangkan ingatan, seterusnya ingatan itu menerbitkan syahwat, seterusnya syahwat menerbitkan keinginan yang kuat maka jadilah azam yang teguh, lantas berlakulah perbuatan (zina) selagi tiada sesuatu yang menghalangnya. Kerana inilah, dimadahkan: “Sabar pada memejam mata (tiada melihat perkara haram) ialah terlebih mudah daripada sabar terhadap kesakitan yang akan terjadi selepasnya…”

Bersentuhan

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban & Ishak bin Rahawaih daripada Asmaa binti Yazid, yang bermaksud: “Bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan…” Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan hadis ini adalah hadis hasan.

Hadis yang bermaksud: “Demi Allah! Bahawa dicucuk seseorang daripada kalangan kamu di kepalanya dengan jarum besi adalah terlebih baik daripada ia bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya.”(Riwayat Tabarani). Al-Hafiz Ibnu Hajar membilang hadis ini sebagai hadis hasan.

Hubungan percintaan

Membuat hubungan percintaan di antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah terlebih dahulu adalah haram. Allah Taala melarang hambaNya daripada apa bentuk perkara, sama ada dengan melihat, membuat hubungan, menyentuh dan lain-lain yang merupakan habuan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan. Membuat hubungan intim hingga asyik dalam percintaan adalah merupakan muqadimah zina. Keasyikkan dan mabuk di alam percintaan ini membawa kekancah yang terlebih keji.

Ibnu Qayim menyatakan bahawa keasyikkan cinta pada sesuatu itu tidak dapat memberi kemaslahatan kepada dunia dan akhirat bahkan kemudaratannya bersangatan.

Beliau menerangkan di antara beberapa sebab keburukan yang terjadi daripada keasyikkan itu, dengan katanya: “Bahawa kerosakkan segi keduniaan dan keakhiratan bagi orang-orang yang asyik mabuk dengan sesuatu itu (asyik percintaan lelaki dengan perempuan atau asyik mabuk dengan perkara maksiat) terlebih cepat daripada api menghanguskan kayu yang kering. Ini adalah kerana hati, setiap kali ia berdekatan dengan keasyikkan dan kuat perhubungan dengannya nescaya jauhlah ia daripada Allah. Sejauh-jauh hati daripada Allah adalah hati orang-orang yang asyik dengan sesuatu. Apabila hati itu jauh daripada Allah, maka datanglah kepadanya kerosakkan-kerosakkan dan Syaitan mengambil alih memerintah hati tersebut dari segenap segi serta dapat mengerasinya. Syaitan tidak akan membiarkan dengan memberi kemudharatan yang semungkin ia dapat berikan kepada hati itu melainkan ia akan lakukannya. Maka apakah lagi diandaikan pada hati yang telah dapat musuhnya menguasainya dan bersungguh-sungguh menyesatkan dan membinasakan makhluk Allah?? Apakah yang dapat diandaikan pada hati yang jauh daripada penjaganya (Allah) sedangkan tiada ada kebahagiaan, kejayaan & kegembiraan melainkan dengan menghampiriNya serta di dalam penjagaanNya??

Disebabkan keasyikkan inilah, mereka sanggup merelakan & melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Syariat sepertimana keasyikkan cinta Zulaikha yang mendalam terhadap Nabi Yusuf, membuat ia bertindak di luar batasan.

Firman Allah, bermaksud: “Zulaikha memujuk-mujuk Yusuf untuk melakukan perbuatan sumbang ketika mana Yusuf di dalam biliknya (Zulaikha) & ia mengunci pintu biliknya itu, seterusnya berkata kepada Yusuf: “Kemarilah padaku…”(Yusuf:23). Ini adalah disebabkan keasyikkan cintanya yang mendalam terhadap Nabi Yusuf. FirmanNya Taala yang menceritakan perbualan perempuan-perempuan di Bandar Mesir terhadap Zulaikha, bermaksud: “…Sesungguhnya Zulaikha itu terlalu asyik mencintai hambanya (Yusuf)…”(Yusuf:30).

BAHAYA PERCAMPURAN DAN HIJAB PENGASINGAN

Bertitik mulai daripada ‘percampuran lelaki dengan perempuan’ itulah yang membawa kepada muqadimah-muqadimah zina yang lain seperti melihat, membuat hubungan, bersentuhan dan lain-lain serta boleh membawa kearah penzinaan itu sendiri. Kerana inilah, Allah Taala melarang hambaNya daripada pencampuran antara lelaki dengan perempuan melalui penurunan ‘Ayat Hijab’.

FirmanNya, bererti: “ Apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka itu (isteri-isteri Nabi), maka pintalah kepada mereka melalui belakang tabir (penghadang). Demikian itu, terlebih membaiki & membersihkan hati kamu & hati mereka (isteri-isteri Nabi).” (Al-Ahzab:53).

Imam Qurtubi berkata: “Allah Taala menghendaki dengan ayat ini bahawa (meminta melalui belakang tabir) terlebih membersihkan hati daripada segala lintasan yang tidak baik, yang mendatangi bagi kaum lelaki pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum wanita & yang mendatangi bagi kaum wanita pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum lelaki. Yakni, demikian itu terlebih menafi & menjauhkan daripada tomahan serta terlebih teguh pada kawalan (daripada berlaku perkara yang ditegah)…”

Ayat Hijab bersifat umum

Ayat Hijab ini umum hukumnya bagi sekalian Muslimat, bukan hanya untuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Ini kerana, apabila golongan sebaik-baik umat iaitu para sahabat & isteri-isteri baginda disyarakan hijab penghadang antara mereka maka umat yang terkemudian, yang mana kemungkaran berleluasan terlebih utama lagi dengan hukum ini. Lebih-lebih lagi, telah diyakini dengan secara umum bahawa berlakunya muqadimah zina & seterusnya penzinaan, apabila tiada mengasingkan antara lelaki dengan perempuan seperti yang berlaku di insitusi-insitusi pengajian.

Imam Qurtubi menjelaskan bahawa ayat Hijab ini umum hukumnya, dengan katanya: “Pada ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Taala membenarkan meminta kepada isteri-isteri Nabi s.a.w disebalik tabir, apabila terdapat sesuatu hajat atau pun masalah agama yang diminta fatwa daripada isteri-isteri baginda. Termasuklah sekalian perempuan (tidak hanya isteri-isteri Nabi) dalam hukum sedemikian dengan pergertian yang difahami daripada ayat tersebut&juga dengan apa yang terdapat di dalamnya asas-asas syariat iaitu dari segi diri wanita itu adalah aurat, sama ada badannya&suaranya (di sisi mazhab Syafie: suaranya aurat jika seseorang lelaki terasa enak apabila mendengarnya)…”

Sokongan bahawa Ayat Hijab bersifat umum

Sebagai menguatkan bahawa ayat Hijab ini bersifat umum, terdapat di antara beberapa riwayat hadis tentang sebab turunnya ayat ini, riwayat yang menunjukkan bahawa pencampuran itu membawa kepada perkara-perkara yang tidak elok. Hadis yang dikeluarkan oleh Nasaie daripada Mujahid seterusnya daripada Aisyah, yang bererti: “Adalah aku makan ‘Haisan’(bubur yang dibuat daripada tamar,minyak sapi&gandum) bersama Nabi s.a.w di dalam satu mangkuk maka Umar melewati kami lalu baginda menjemputnya&ia pun makan bersama. Kemudian, tersentuh tangan Umar dengan tanganku lantas ia berkata: “Bagus-bagus!!” atau “Wah-wah!!”(nada tidak menyukai). Umar menambah lagi: “Jika diikutkan kehendakku terhadap isteri-isteri Nabi ini, aku harap mereka tidak dilihat oleh mata manusia, lalu diturunkan ayat Hijab.”

Nabi saw memandang serius tentang percampuran

Nabi s.a.w mengambil perhatian serius dan memberi penekanan yang berat terhadap percampuran tersebut sehinggakan kelibat kaum Hawa ini pun, baginda tidak membenarkannya. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih Bukhari daripada sanadnya yang berhubung kepada Az-Zuhri daripada Hindun Bt. Haris seterusnya daripada Ummu Salamah radhiyallah -anha, berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila memberi salam (di dalam solat), lalu kaum perempuan bangun berdiri ketika telah selesai salam baginda. Baginda tetap sejenak di tempat duduknya sebelum bangun berdiri. Kata Perawi (Az-Zuhri): “Kami berpendapat (wallahu ‘aklam) perbuatan Nabi tersebut supaya kaum wanita beredar sebelum dapat dilihat oleh seorang pun daripada kaum lelaki.” (Sahih Bukhari: bab solat kaum wanita di belakang kaum lelaki)

AZAB DAHSYAT BAGI PEREMPUAN YANG TIDAK MENUTUP AURAT DAN BERPAKAIAN MENJOLOK MATA

Wahai kaum perempuan yang tidak menutup aurat atau berpakaian seluar dan baju ketat @ singkat yang boleh membangkitkan nafsu lelaki! takutilah kamu azab sengsara yang Allah Taala sediakan di akhirat kelak. Janganlah dituruti cara berpakaian perempuan kafir dan artis-artis yang fasik.

Ambillah iktibar dengan perkhabaran Junjungan Besar Nabi kita saw yang menceritakan kepada Saidina Ali tentang perempuan yang diazabkan ketika malam ‘Isra’ & Mikraj’, maksudnya: “Wahai Ali! Ketika malam diisra’kan daku ke langit, aku melihat perempuan daripada kalangan umatku yang diazabkan dengan berbagai-bagai azab maka aku menangis takala melihat bersangat azab mereka itu. Aku melihat perempuan yang digantung dengan rambutnya hingga mengelegak otaknya…” Kemudian Saidatina  Fatimah menanyakan sebab diazabkan sedemikian, Nabi menerangkan, maksudnya: “Wahai anak kesayanganku! Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu disebabkan dia (di dunia dahulu), tidak menutup rambutnya daripada kaum lelaki….”(Azzawajir, m/s 67)

Nabi saw menceritakan di antara sifat @ kelakuan salah satu daripada empat golongan perempuan yang menjadi ahli neraka, bermaksud: “…Seseorang perempuan yang tidak menutup aurat dirinya daripada lelaki (ajnabi) dan dia keluar daripada rumahnya dengan ‘Tabaruj’(menzahirkan keelokan/berhias-hias untuk menarik pandangan/keinginan/perhatian kaum lelaki)..”(Azzawajir Ibnu Hajar Al-Haitami, m/s 66)

Sabdanya lagi, bermaksud: “Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi masih bertelanjang (tidak menutup aurat dengan sempurna), yang menjadikan dirinya sebagai contoh ikutan terhadap perbuatan keji mereka (membuka aurat), yang menyimpang daripada ketaatan terhadap Allah (tidak menunaikan kewajipan ke atas mereka), rambut kepala mereka seperti ungguh unta Khurasan, mereka tidak akan masuk surga dan tidak dapat mencium baunya (surga).” (Riwayat Muslim: Kitab Al-Libas, bab an-nisa al-kasiyat al-‘aariyaat)

Jangan terlampau bebas keluar & menzahirkan diri di khalayak lelaki

Kebebasan seseorang perempuan dari sudut syariat Islam adalah terbatas, tidak seperti lelaki. Mereka tidak digalakkan bebas keluar rumah dengan menzahirkan diri di khayalak ramai. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab:33, bermaksud: “ Hendaklah mereka (perempuan) tetap di dalam rumah mereka dan janganlah bertabarruj sebagaimana bertabarruj perempuan-perempuan jahiliah yang dahulu.”

Makna ‘Tabarruj’ ialah menzahirkan keelokkan/perhiasan/berhias-hias/menarik perhatian kepada lelaki ajnabi (asing yang bukan mahram). Mujahid, murid Ibnu Abbas, berpendapat bahawa perempuan-perempuan berjalan mundar-mandir bersama-sama dalam khalayak kaum lelaki maka itulah dinamakan ‘Tabarruj’.

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani, bermaksud: “Tidaklah Perempuan berhak keluar dari rumahnya melainkan terpaksa (perkara yang mustahak/tidak dapat tiada) dan tidaklah mereka berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepi jalan sahaja.”

Tersebut dalam kitab Azzawajir bagi Ibnu Hajar Al-Haitami, Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka apabila ia keluar daripada rumahnya, nescaya syaitan mendongak melihat kepadanya. Terlebih menghampiri diri seseorang perempuan kepada Allah Taala ialah apabila ia berada di dalam rumahnya.”

Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka kamu tahanlah mereka di dalam rumah-rumah…. .(dalam kitab Azzawajir :m/s 66)

Saidina Ali berkata: “Adakah kamu tidak malu?, adakah kamu tidak cemburu? Seseorang daripada kalangan kamu membiarkan isterinya keluar di khalayak lelaki. Isterinya melihat mereka. Mereka melihatnya.”

Saidina Ali bertanya kepada isterinya, Fatimah: “Apakah sesuatu yang terbaik bagi seseorang perempuan?Fatimah menjawab: “ Bahawa dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak dapat melihatnya.” .(dalam kitab Azzawajir: m/s 66)

AKHIR KALAM

Lantaran itu, kembalilah! kearah Tuhan Rabul ‘izzah, Tuhan semesta alam, yang mencipta serta mentadbirkan kita dengan sifat RahmanNya, dengan membaiki segala kesilapan, kealpaan dan kegelinciran kita yang tersimpang jauh daripada landasan SyariatNya. Hendaklah kita berpegang teguh dengan syariat Allah, walau apa jua keadaan sekalipun.

WALLAHU’ALAM….

Disusun oleh:-

Nik Mohd Nazimuddin Bin Nik Ibrahim Bin Nik Yaacob Bin Nik Yusuf (Imam Masjid Langgar) Bin Wan Abd. Rahman Bin Wan Taib Bin Wan Mohd Said Bin Wan Abd. Salam Bin Wan Su Bin Wan Abu Bakar Bin Tok Kaya Pandik Wan Ismail Bin Faqih @ Andik @ Ne’ @ Nik Ali (Mufti Kerajaan Islam Patani Darussalam&pengarang kitab Tarikh Patani) Bin Wan Muhammad (Orang Kaya Seri Akar Maha Puteri Bagi Sultan Ismail Zhilullah Fil Alam) Bin Dato’ Seri Raja Faqih (Syeikhul Islam) Syeikh Shafiyyuddin (Pendakwah dari Pasai yg datang ke Patani Darussalam sekitar thn 1400M).

SIRI KEDUA: ‘RAHMAT SELURUH ALAM DI DALAM KITAB-KITAB UMAT DAHULU’

Saringan Buah Pena Al-Ustadz Dr Ali Jumaat (Mufti Negara Mesir)

Khabar-khabar Gembira Tentang Nabi saw di dalam Perjanjian Baru.

          Kitab Perjanjian Baru merupakan baki kitab suci bagi umat Nasrani (Kristian), ia adalah bahagian yang terpenting di sisi mereka. Ia dipanggil dengan nama Injil kerana ia disandarkan kepada Nabi Isa as. Tidak beriman dengan Kitab Perjanjian Baru ini seorang pun di kalangan Bangsa Israel melainkan dari kaum Nasrani. Golongan Nasrani membahagikan Kitab Suci itu dua bahagian, Perjanjingan Lama seperti yang telah lalu dan Perjanjian Baru.

          Injil atau Perjanjian Baru atau juga dikenali dengan himpunan risalah –risalah ini merupakan bahagian yang baru di dalam kitab suci di mana golongan Nasrani menamakan catatan-catatan sebelum zaman kebangkitan Nabi Isa as dengan panggilan Perjanjian lama dan selepas zaman kebangkitannya dengan panggilan Perjanjian Baru. Ia mengandungi 27 kitab yang mana empat kitab pertama daripadanya dipanggil kitab-kitab Injil secara rambang iaitu Matta, Marqus, luqa dan Yuhana. Andaian yang dapat kita buat berdasarkan nama-namanya jelas bahawa kitab-kitab itu ditulis oleh pengikut-pengikut setia Nabi Isa as. Ianya merupakan himpunan sepuluh kitab-kitab lain yang tersebar pada awal-awal tahun masihi yang kemudiannya dibatalkan oleh perhimpunan Ugama Kristian kali pertama yang terkenal, diadakan di  Nicea (Izniq sekarang) di Asia Kecil pada tahun 325 Masihi di bawah kelolaan Maharaja Kaisar Rom yang bernama Qastantien yang agung di mana telah diputuskan bahawa hanya empat buah kitab ini sahaja yang dibenarkan sebagai sandaran dan selain daripadanya diperintahkan supaya dibakar. Oleh yang demikian ianya terkenal dengan nama Injil-injil Induk atau Injil-injil di sisi undang-undang.

          Kitab Injil yang disebut di dalam Al-Quran adalah lain daripada Injil-injil terbabit, tetapi yang dimaksudkan dengan Injil di dalam Al-Quran adalah wahyu asal yang diturunkan secara langsung kepada Nabi Isa as yang dikenali di kalangan orang-orang yang sezaman dengannya dengan nama di dalam bahasa Yunani sebagai “Evangelion” yang bermaksud “Khabar Gembira”.

          Himpunan kitab-kitab Perjanjian Baru adalah seperti berikut:

  1. Matta
  2. Marqus
  3. Luqa
  4. Yuhana
  5. Tugas-tugas Para Utusan
  6. Risalah Paulus Kepada Rom
  7. Risalah Paulus (1) kepada Korenses
  8. Risalah Paulus (2) kepada Korenses
  9. Risalah Paulus kepada Galaty
  10. Risalah Paulus kepada Efesus
  11. Risalah Paulus kepada Piliey
  12. Risalah Paulus kepada Kolosy
  13. Risalah Paulus (1) kepada Thesaloniky
  14. Risalah Paulus (2) kepada Thesaloniky
  15. Risalah Paulus (1) kepada Themoses
  16. Risalah Paulus (2) kepada Themoses
  17. Risalah Paulus kepada Titus
  18. Rislah Paulus kepada Pilemon
  19. Risalah Paulus kepada Ibrani
  20. Risalah James
  21. Risalah Petros (1)
  22. Risalah Petros (2)
  23. Risalah Yuhana (1)
  24. Risalah Yuhana (2)
  25. Risalah Yuhana (3)
  26. Risalah Yahuza
  27. Mimpi Yuhana
 

Tidaklah dapat disangkalkan apabila Nabi saw disebut di dalam Kitab Perjanjian Lama yang merupakan Kitab Suci bagi kaum Yahudi, secara tidak langsung ia juga menjadi bukti terhadap kaum Nasrani (Kristian) kerana mereka juga beriman dengannya dan menganggapnya sebahagian daripada kitab suci mereka. Apa yang telah dipaparkan mengenai perkhabaran-perkhabaran tentang Nabi saw di dalam Perjanjian Lama telah cukup untuk menjadi hujah ke atas Yahudi dan Nasrani dengan serentak kerana mereka semua mempercayai bahawa ianya wahyu daripada Allah swt, kecuali mereka berusaha memalingkan maksudnya kepada sebaliknya.

          Adapun perkhabaran-perkhabaran dan isyarat-isyarat mengenai Nabi saw di dalam Kitab Perjanjian Baru amatlah banyak. Sesungguhnya Nabi Isa as banyak membawa berita gembira mengenainya kerana tidak terdapat di antara Beliau dengan Nabi saw oleh nabi yang lain. Disebabkan demikian berita-berita mengenainya amat banyak sehinggakan juga terdapat di dalam Kitab-kitab Injil yang sudah diubah. Di antaranya seperti berikut:

1.  Di dalam Yuhana (16/7) Isa Al-Masih berkata: “Adalah suatu yang baik bagi kamu bahawa aku akan meninggalkan sekalian kamu jauh, kerana sekiranya tidak aku pergi sesungguhnya orang yang membawa hidayat itu tidak akan mendatangi kamu, tetapi bahawasanya apabila telahku pergi, akanku utuskan beliau kepada kamu”

2.  Kemudian Isa Al-Masih menerangkan sifat pembawa hidayat itu dengan katanya: “Sesungguhnya dia tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan daripada dirinya sendiri, tetapi dia akan berkata-kata mengikut apa yang dia dengari daripada wahyu”. (Yuhana 16/3)

Ini adalah suatu yang disifatkan oleh Allah swt mengenai Nabi saw di dalam Al-Quran di mana firmanNya bermaksud: “Tidaklah ia melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya”. (An-Najm;4)

3.  Di dalam Yuhana (14/16) berkata Isa Al-Masih: “Akan daku memohon daripada Bapa, dia akan mengurniakan kepada kamu semua Paracietus yang lain yang akan bersama kamu selama-lamanya”.

Perkataan Paracletus dari segi lafaznya bererti Ahmad (Yang Terpuji). Inilah adalah berbetulan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud:

“Daku (Isa Al-Masih) membawa khabar gembira berkenaan rasul yang akan datang selepasku bernama Ahmad” (As-Shaf:5)

4.  Di dalam Matta (11/14) berkata Isa Al-Masih: “Sekiranya kamu mahu menerima, maka inilah di Iliya yang teguh keazamannya, nanti akan tiba kedatangannya, sesiapa yang mempunyai dua telinga hendaklah dia dengar.”

Kiraan daripada jumlah huruf perkataan Iliya sama dengan kiraan jumlah perkataan Ahmad.

5.  Di dalam Matta (17/11) berkata Isa Al-Masih: “Sesungguhnya Iliya akan tiba pertama kalinya dan dia akan mendatangi segala sesuatu.”

6.  Di dalam Matta (21/32) Selepas Isa Al-Masih membuat perumpaan seorang tuan rumah yang menanam anggur dan menyerahkannya kepada penanam-penanam anggur, Isa Al-Masih seterusnya berkata: “Adakah tidak kamu baca di dalam kitab-kitab, sesungguhnya batu yang telah dipinggirkan oleh pembina-pembina binaan telah menjadi tapak kepada dinding-dinding bangunan daripada pihak tuhan. Ini merupakan suatu perkara yang pelik dan pelik pada mata-mata kita. Kerana demikian daku menegaskan kepada kamu, sesungguhnya kerajaan Allah akan dicabut daripada kamu dan akan diberikan kepada umat yang mengusahakan buah-buahnya. Barangsiapa jatuh ke atas batu tersebut dia akan hancur dan barangsiapa yang ditimpa batu itu dia akan binasa”.

Batu yand dimaksudkan oleh Isa Al-Masih itu merujuk kepada Nabi Ismail as yang telah dipinggirkan bersama-sama ibunya oleh Sarah  (Isteri Nabi Ibrahim as). Adalah suatu perkara yang pelik di sisi BaniIsrael bahawa kerajaan Allah akan dicabut dan diberikan kepada keturunan saudara-saudara mereka iaitu bangsa Arab, sebagaimana juga merupakan perkara pelik bagi mereka bahawa Hajar (Ibu Nabi Ismail as) bukanlah seorang yang merdeka pada mula-mulanya, dia hanyalah hamba kepada Sarah. Nabi saw yang lahir daripada keturunan Nabi Ismail as itulah yang dimaksudkan dengan batu yang menjadi tapak binaan yang Allah swt reda terhadap sesiapa yang mengikutinya dan membinasakan sesiapa yang ingkar terhadapnya di dunia dan di akhirat.

7.  Di dalam Yuhana (4/19,20,21) perbualan seorang perempuan dengan Isa Al-Masih di mana perempuan itu berkata kepada Al-Masih: “Wahai penghuluku, aku meyakini bahawa engkau seorang nabi. Sesungguhnya datuk moyang kami telah bersujud (sembahyang) pada bukit ini, dan engkau sentiasa berkata: Sesungguhnya pada Urasyalem merupakan tempat yang mesti dilakukan sujud padanya”. Lalu Al-Masih berkata kepadanya:

“Wahai perempuan, percayalah kepadaku sesungguhnya akan tiba suatu masa yang mana kamu tidak lagi bersujud padanya, tidak pada bukit ini dan tidak pada Urasyalem”.

          Ini merupakan isyarat Nabi Isa as berkenaan pemalingan kiblat dan ianya bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt yang berbunyi:

“Akan berkata orang-orang bodoh dari kalangan manusia apakah yang memalingkan mereka (orang-orang yang beriman) daripada kiblat yang telah mereka berhadap ke arahnya (al-Baqarah;142)

hingga firmanNya berbunyi:

“Sesungguhnya kerap kali kami telah melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu kearah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaa’bah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka-muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan Kitab (Yahudi dan Nasrani) megetahui bahawa ia adalah perintah benar dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang mereka lakukan (Al-Baqarah;144)

8.  Di dalam Yuhana (15/26) berkata Isa Al-Masih mengenai Nabi saw, ujarnya: “Sekiranya datang ‘Munhamana’ dialah orang yang Allah swt utuskan kepada sekalian kamu.”

Perkataan ‘Munhamana’ yang merupakan bahasa Siryani secara lafaznya bererti ‘Muhammad’. Perlu diambil perhatian bahawanya perkhabaran Nabi Isa as ini telah digugurkan daripada cetakan-cetakan baru bagi kitab Injil, tetapi ianya masih terdapat di dalam cetakan-cetakan yang lama bagi Kitab Injil.

9.  Di dalam Yuhana (16/13) berbunyi: “ Apabila tibanya ruh kebenaran itu, maka dia akan memimpin kamu kepada seluruh kebenaran kerana dia tidak mengeluarkan perkataan daripada dirinya sendiri, bahkan dia berkata-kata mengenai apa yang dia dengari dan dia akan memberitahu kamu tentang perkara-perkara yang akan berlaku.”

 

Perkhabaran di dalam Kitab Injil Barnaba

          Apa yang telah lalu merupakan isyarat-isyarat dan perkhabaran-perkhabaran yang terdapat di dalam 4 buah kitab Injil yang rasmi dan diakui di sisi kebanyakkan golongan-golongan Nasrani (Kristian). Kita tidak terdedah sehingga sekarang kepada Injil-injil yang tidak diakui oleh pihak gereja yang mana bilangannya lebih banyak, di antaranya adalah Kitab ‘Injil Barhaba’ yang terdapat di dalamnya khabar-khabar gembira mengenai Nabi Muhammad saw secara terang dan jelas. Di dalamnya juga terdapat penegasan bahasa Isa Al-Masih adalah seorang hamba Allah. Di sana terdapat kitab-kitab Injil yang lain yang wujud pada kurun pertama dan ke-dua Masihi tetapi kemudiannya dibatalkan oleh pihak gereja selain Injil Barnaba.

          Di antara Injil-injil tersebut:

–         Injil Abyon                                             – Injil Tujuh Puluh

–         Injil Yaakub                                           – Injil Dua Belas

–         Injil Thomas                                          – Injil Peringatan

–         Injil Nicodem                                        –  Injil Ibrani

–         Injil Petros                                             – Injil Mesir

–         Injil Yason                                              – Injil Many

–         Injil Marqiune.                                      –Injil Kehidupan

Yang menguatkan kewujudan Injil Barnaba dalam usia yang lama bahawa di sana terdapat catatan surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Ketua Gereja Rom yang pertama iaitu Pope Glacius, telah menduduki kerusi Ketua Gereja pada tahun 492 Masihi iaitu 79 tahun sebelum kelahiran Nabi saw., di mana Baginda dilahirkan pada 571 Masihi. Pope berkenaan telah menyenaraikan kitab-kitab Injil yang diharamkan membacanya, di antaranya ialah kitab yang dipanggil Injil Barnaba. Satu-satunya naskhah yang tekenal sekarang adalah naskah Itali yang terapat di dalam perpustakaan Di Raja Viena. Ia dianggap kesan sejarah yang paling berharga di mana naskhah ini mempunyai 225 muka surat yang tebal daripada kertas yang dibuat daripada kapas dan dijilid dengan kertas yang kukuk serta dibalut dengan kulit. Orang pertama yang menjumpai naskhah ini adalh Kremer, Menteri Raja Prusia sewaktu beliau menetap di Amsterdam. Beliau meminjam naskhah berkenaan pada tahun 1709 Masihi daripada perpustakaan salah seorang orang-orang kenamaan di Amsterdam. Selepas empat tahun kemudian pembesar Holand ini telah menghadiahkan naskhah terbabit kepada Prince Jugend Savoy yang berminat terhadap kesan-kesan sejarah. Naskhah ini kemudiannya berpindah bersama bahan-bahan perpustakaan Prince berkenaan ke perpustakaan di Raja Nemsa.

          Sesungguhnya telah didapati naskhah yang lain di Spanyol pada awal kurun ke-18 di dalam 220 muka surat yang mengandungi 222 fasal. Naskhah ini telah sampai ke tangan seorang orientalis bernama Sale, kemudiannya berpindah ke tangan Doktor Mancius yang merupakan salah seorang anggota sebuah fakulti di Oxford. Beliau lalu menterjemahkannya ke bahasa Inggeris.

Perkhabaran-perkhabaran di dalam Kitab Injil Barnaba yang menyebut tentang Nabi saw adalah seperti berikut:

  1. Di dalam Barnaba (17/22-23) Isa Al-Masih berkata: “Akan datang selepasku kemegahan sekelian nabi-nabi dan wali-wali, dia akan keluar sebagai cahaya yang menerangi kegelapan-kegelapan yang menyulubungi perkataan para anbiya’, kerana dia adalah Rasulullah (utusan Allah).
  2. Di dalam Barnaba (36/6) Isa Al-Masih berkata: “Sesungguhnya telah datang segala anbiya’ kecuali Rasulullah yang akan datang selepasku, kerana bahawasanya Allah mengkehendaki berlakunya demikian sehinggalah aku yang akan menyediakan jalannya.”
  3. Di dalam Barnaba (42/13) ketika Isa Al-Masih di tanya adakah beliau rasul yang ditunggu-tunggukan itu? Beliau menjawab dengan katanya: “Sesunguhnya mukjizat-mukjizat yang Allah lakukan ke atas dua tanganku menunjukkan bahawa aku berkata-kata mengikut apa yang dikehendaki Allah. Tidaklah sekali-kali aku mengira diriku sebanding dengan orang yang kamu tanya mengenainya, kerana bahawasanya aku tidak layak untuk menghurai ikatan-ikatan kasut atau tali-tali sepatu Rasulullah yang kamu namakannya sebagai Mesiyyah (Utusan) itu. Dia dicipta sebelumku dan akan datang selepasku, dia akan membawa kata-kata kebenaran dan tidak ada bagi ugamanya itu kesudahan.”

Kebanyakan teks-teks di atas dan juga kesemua teks-teks Injil Barnaba menerangkan bahawa nabi yang ditunggu itu adalah Nabi Muhammad saw yang lahir daripada keturunan Nabi Ismail as dan ugamanya akan tersebar luas lagi diikuti, sedangkan kita tidak pernah mendengar tentang ugama yang tersebar serata dunia setelah Nabi Isa as melainkan ugama Islam.

 

Perkhabaran-perkhabaran di dalam kitab-kitab lain.

Bukanlah kitab-kitab umat dahulu kala hanya terbatas kepada kitab-kitab suci yang diturunkan daripada langit sahaja, bahkan termasuk di dalamnya kitab-kitab yang menjangkau usia yang lama. Diantaranya ialah kitab-kitab suci Ugama Hindu dan bilangannya amat banyak, tetapi secara umumnya ia terbahagi kepada empat bahagian:

  1. Kitab Veda, yang bererti: Pengetahuan
  2. Upanisyad
  3. Purana, yang bererti : Usia Lampau
  4. Brahmana Granat

Sesungguhnya kitab-kitab suci ini ditulis di dalam bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa India Kuno. Tidak mengetahui bahasa ini sekarang melainkan hanya sami-sami Hindu.

Kitab Veda adalah dianggap sebagai kitab yang paling suci di antara segala kitab dan ia juga dikira sebagai kitab yang tertua di mana para ahli cendiakawan mereka berselisih pendapat mengenai tarikh penulisannya. Kebanyakan pendapat rata-rata mengatakan ianya ditulis sekitar 2000 atau 3000 tahun sebelum Masihi. Kitab Veda terbahagi kepada empat iaitu: Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda.

Di dalam Sama Veda (2:6,8) terdapat sebutan mengenai Nabi saw secara terang-terangan di mana teks itu berbunyi: “Telah menerima Ahmad syariat ugamanya daripada tuhannya. Syariat ini keseluruhannya adalah hikmat. Sesungguhnya aku akan menerima daripadanya cahaya seperti cahaya matahari yang sempurna”.

Adapun Kitab Purana yang boleh kita terjemahkannya sebagai “Kitab-kitab Orang Dahulu Kala” disebabkan ertinya adalah “Usia Lampau”, ia merupakan kitab yang paling banyak tersebar di antara kitab-kitab suci lain. Ia membicarakan tentang cerita-cerita dongeng yang berkaitan dengan permulaan kejadian makhluk, kehidupan dewa-dewa dan raja-raja. Ia merupakan kitab yang paling banyak bilangannya, hampir empat puluh kitab semuanya. Di antaranya himpunan kitab yang dinamakan “Maha Purana” yang bererti Kitab Purana yang terbesar di mana ia terdiri daripada lapan belas buah kitab. Di antaranya lagi himpunan kitab yang dinamakan Upa Purana iaitu Kitab Purana  tambahan atau yang kedua dan ia terdiri daripada 18 buah kitab juga. Di sana terdapat empat buah kitab yang lain, salah satu daripadanya yang akan kita perkatakan mengenainya iaitu Kitab Pahaveshia Purana yang bererti “Purana Masa Hadapan”. Kitab ini menyebut tentang Nabi Adam as dan Hawa dengan panggilan Adaman dan Haryavati dan juga tentang keturunan mereka. Kitab ini juga menyebut tentang Nabi Isa as dengan panggilan “Anak Tuhan” dan turut menyebut tentang Nabi Muhammad saw. Golongan Hindu menganggap bahawa teks-teks tersebut suatu pembohongan yang diadakan dan dimasukkan pada zaman Raja India bernama Akbar yang berusaha untuk menyatukan semua ugama, tetapi mereka tidak mempunyai bukti terhadap perkara itu, hanya dakwaan semata-mata. Sedangkan teks tersebut masih wujud sehingga hari ini.

Berikut adalah teks mengenai perkhabaran yang menyebut nama Nabi saw di dalam kitab Pahaveshia Purana (Barti Saraj Barap ke-3: 303 ayat yang ke-5) berbunyi: “Akan muncul Malitsyaha (seorang asing yang bukan berbangsa Hindi) sebagai guru rohani bersama pengikut-pengikutnya. Beliau dikenali dengan nama Muhammad Raja, setelah dianugerahkan Mahadeva berbangsa Arab ini pembasuhan di dalam Panjajavia dan air Janaj (penyucian daripada dosa). Sesungguhnya orang yang mempersembahkan hadiah-hadiah kepadanya menguatkan lagi kebenaran, dan aku melihatnya dengan penuh penghormatan sambil berkata: “Aku jadikan bagi engkau segala kemuliaan, wahai kemegahan padang pasir! Wahai yang mendiami bumi Arab! Demi sesungguhnya engkau telah menghimpun kekuatan yang besar untuk memerangi syaitan dan engkau adalah terpelihara daripada musuh-musuh dari golongan Malitsyaha (orang-orang asing yang bukan berbangsa Hindi, yang dimaksudkan ialah golongan kafir Quraish). Wahai gambaran tuhan yang tertinggi dan tuhan yang terbesar! Aku adalah hamba kepadamu, pimpinlah daku seperti seorang yang tercampak diantara dua kakimu”.

“Sesungguhnya golongan Malitsyaha telah mengusir syaitan yang sesat (Abrahah berbangsa Habsyi) yang telahku bunuh dan akan muncul pada kali yang lain seorang yang diutuskan daripada musuh yang kuat supaya mereka dapat melihat jalan yang lurus dan supaya diberikan mereka hidayat yang diketahui melalui Muhammad yang aku berikan kepadanya gelaran Brahma. Dia seorang yang bertungkus lumus menarik golongan Bhesaji kepada jalan kebenaran”.

“Wahai Raja! Tidak perlu engkau pergi kepada bumi golongan Bhesaji yang jahil itu bahkan engkau menjadi sebagai seorang yang menyucikan dengan anugerahku di mana sahaja engkau berada”. Pada suatu malam dengan peraturan daripada langit akan adanya seorang lelaki yang bersangatan kuat. Di dalam rupa seorang Bhesaji dia berkata kepada Raja Yahuja: “Wahai Raja! Sesunggunya Aryadaharmak telah dicipta untuk menguasai seluruh ugama, tetapi sebagai menepati wasiat-wasiat Asywar Barmatama maka sesungguhnya aku akan menguatkan akidah yang teguh bagi golongan yang memakan daging. Sesungguhnya orang yang mengikutiku akan menjadi seorang lelaki yang berkhatan, tidak mempunyai ekor rambut (iaitu rambut yang dibuat oleh sami-sami di bahagian belakang seperti ekor) yang melepaskan janggut, lagi melakukan kebangkitan, yang melaungkan seruan kepada sembahyang dan dia akan menjadi seorang yang memakan yang halal, ia akan memakan semua jenis binatang kecuali khinzir. Mereka tidak mencari kesucian pada tempat-tempat suci tetapi mereka menyucikan diri melalui peperangan dengan memerangi umat-umat yang tidak berugama. Sesungguhnya mereka dipanggil sebagai golongan Muslimani dan aku akan menjadi sebagai penegak kepada ugama ini yang merupakan ugama bagi umat yang memakan daging.”

Telah benar Allah Yang Maha Agung di mana dia berfirman: “Sesungguhnya demikian itu ada tersebut di dalam kitab-kitab orang yang dahulu kala.” (As-syu’ara : 196).

Seorang pendita hindu bernama Propesor Pandit Vedaprakash Upadhyay telah mengarang sebuah buku yang diberi tajuk: ‘Penjelmaan Kalki’ dan beliau menyebut di dalamnya bahawa kitab-kitab suci mereka menyebut bahawa nama bapa “Kalki” ialah “Bhagath Vishnu” yang bermaksud: “Hamba tuhan” di mana Vishnu bererti “tuhan” dan Bhagath bererti ‘hamba’.  Ini menepati nama bapa Nabi saw iaitu Abdullah (Hamba Allah), sebagaimana nama ibu Kalki pula ialah Sumanib yang bermaksud: Ketenangan, kesejahteraan atau keamanan. Ini menepati nama ibu Nabi saw iaiti Aminah. Di antara sifat-sifat Kalki ialah beliau mempunyai kuda yang boleh terbang ke permukaan langit dan ini menepati binatang Buraq, sebagaimana Kalki adalah dilahirkan dikepulauan pada hari yang ke-12. Sesungguhnya Nabi saw juga lahir pada kepulauan Arab pada hari yang kedua belas Rabiul Awal. Disebut juga bahawa makanan Kalki adalah buah tamar dan zaitun dan beliau adalah manusia yang paling benar, paling beramanah dan beliau sentiasa membawa pedang.

Sememangnya penganut-penganut Hindu menyandarkan di dalam kitab-kitab mereka kepercayaan terhadap dewa-dewa dan kepercayaan-kepercayaan karut, mereka juga mempercayai bahawa Kalki itu adalah jelmaan dewa-dewa, dia adalah yang awal dan yang akhir di mana dia adalah dewa yang sangat berkuasa, di lahirkan dari keluarga Hindu.

Tulisan ini merupakan tinjauan terhadap perkhabaran-perkhabaran gembira yang terdapat di dalam kitab-kitab suci di sisi umat-umat yang terdahulu. Semoga Allah memberi hidayat dengannya kepada mereka yang masih tidak beriman dengan Nabi kesudahan yang dijanjikan iaitu Muhammad saw dan Semoga Allah menambahkan keyakinan kepada orang-orang yang mengikutinya terhadap ugama mereka sehingga mereka akan mewarisi bumi keseluruhannya, menepati firman Allah yang berbunyi: “Supaya menjadi yakin oleh mereka yang diberikan kitab dan bertambah keimanan orang-orang yang telah beriman dan supaya tidak merasa ragu oleh orang-orang yang diberikan kitab dan orang-orang yang beriman.” (Al-Mudassir : 31)

DARIPADA MAJALAH “AN-NUR AL-MUHAMMADI” Bilangan ke-4,2007M/1428H)

Keluaran : Maktabah Darul Jawamiul Kalim

Penterjemah:

                   Nik Mohd Shahrail Bin Nik Ibrahim

                  Jun 2009M / Jumada Akhir 1430H