MUSIBAH PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN

MUQADIMAH

Dengan nama Allah yang Maha pemurah & Maha mengasihani. Segala pujian hanya berhak bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat & salam keatas Nabi Muhammad s.a.w, keatas keluarga & para sahabatnya serta sekalian yang mengikuti mereka itu hingga ke akhir zaman.

AL-KISAH

Telah maklum diketahui umum bahawa menyatukan pelajar lelaki dengan pelajar perempuan dalam institusi pengajian, sama ada dari peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi adalah kebiasaan yang menular di Negara kita ini. Tambah pula segala aktiviti yang berkaitan dengan pembelajaran & kokurikulum pun sedemikian jua. Lebih-lebih teruk lagi, Asrama lelaki & perempuan berdekatan tanpa ada apa-apa penghadang. Cerita-cerita yang pernah saya dengar sendiri daripada murid-murid saya dari kalangan pelajar-pelajar universiti tempatan dalam aliran agama bahawa mereka menyatakan perkara yang tidak enak didengari apabila kita timbangkan dengan neraca syariat.

Pelajar-pelajar jurusan agama ini menyatakan bahawa menjadi kebiasaan pelajar-pelajar membuat hubungan istimewa sesama mereka. Ini kerana, bila setiap hari melihat pelajar perempuan di dalam satu kelas atau pelajar perempuan yang lain pada sesuatu tempat dalam kampus.

Lebih-lebih lagi pelajar perempuan yang mempunyai rupa paras menawan, menjadi rebutan di kalangan pelajar-pelajar lelaki. Sehinggakan ada yang mengirim bunga untuk menawan hati sigadis jelita tersebut. Perhubungan begitu mudah, dengan telefon bimbit memainkan peranan yang penting dalam misi menakluki hati pelajar yang diminati serta sebagai alat yang dapat melayan perasaan pasangan-pasangan yang bercinta ini. Terdapat juga pelajar yang menjalin hubungan ‘istimewa’ dengan pensyarah muda yang memiliki rupa, yang baru menjawat tugas sebagai seorang pensyarah. Dalam kelas menghormatinya sebagai pendidik, dalam telefon bimbit dijadikannya sebagai seorang kekasih yang dirindui.

Lebih parah lagi ada yang berdating sambil berpegangan tangan dan terdapat kes ditangkap berdua-duaan dalam tandas. MasyaAllah!! Na’uuzibillah min zalik! Bukanlah semata-mata saya membongkar perkara-perkara aib sedemikian untuk melekeh & mencela. Saya terpaksa berbuat demikian, hanyalah bertujuan menyatakan hukum syariat tentang pencampuran pelajar lelaki & perempuan. Harap maaf!!! ‘Perkara yang baik dijadikan teladan dan perkara yang buruk dijadikan sempadan.’ Inilah realiti yang berlaku serta diakui sendiri oleh pelajar-pelajar IPT, baik dari aliran agama mahupun aliran biasa (lebih parah). Ini kerana, jawapan yang saya terima adalah sama di kalangan pelajar IPT yakni pencampuran pelajar lelaki-perempuan itu membawa kepada elemen-elemen yang tidak baik.Terdapat juga pelajar lelaki menyusup masuk ke dalam bilik pelajar perempuan dan sebaliknya.

Takutilah bala bencana Allah Taala yang berbentuk bencana alam seperti ‘Tsunami’, gempa bumi yang melenyapkan dan membinasakan apa saja atau berbentuk wabak penyakit seperti wabak ‘Je’, selsema burung, selsema khinzir dan lain-lain, datangnya tiada diduga. Ianya disebabkan oleh maksiat-maksiat yang dilakukan oleh penduduk bumi itu sendiri. Hadis yang bermaksud:

“Tiadalah timbul @ nyata (secara terang-terangan) pada sesuatu kaum manusia, penzinaan dan amalan riba melainkan mereka sendiri meluluskan AZAB ALLAH (BALA BENCANA ALLAH).”

PUNCA-PUNCANYA

Kenapakah perkara ini tidak boleh berlaku? sedangkan semenjak dari kecil lagi muda-mudi kita dikotori fikiran mereka itu dengan tunjuk ajar yang negatif di sisi agama oleh syaitan yang besar iaitu TV & seumpamanya melalui rancangan-rancangan & filem-filem yang dipertontonkan. Didikan buruk yang menyalahi dengan syara’ yang terdapat di dalamnya seperti budaya berasyik-asyik dalam percintaan, adengan-adengan pergaulan bebas yang terbabas daripada batasan-batasan agama Allah Taala. Tidak kurang juga didikan membuka aurat dengan berpakaian yang ketat, singkat & menyingkap segala yang sepatutnya ditutup. Sehingga maruah harga diri seorang muslimat tidak kelihatan lagi melainkan dilihat seperti ciri-ciri perempuan orang kafir yang seperti binatang, bebas tanpa ikatan agama. Begitu juga dengan bahan-bahan cetak yang memainkan peranan penting dalam merosakkan moral muda-mudi kita.

MUQADIMAH ZINA

Bemula dari muqadimah zina atau dipanggil sebagai perkara yang membawa kearahnya (zina) iaitu percampuran antara lelaki & perempuan, aktiviti bersama-sama, pandang-memandang, membuat hubungan, bersentuh-sentuhan dan lain-lain, seterusnya boleh membawa kearah melakukan penzinaan itu sendiri.

Allah Taala melarang keras hambanya melakukan muqadimah zina dan zina itu sendiri dalam firmanNya, yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina!”(surah al- Israa:32)

Imam Ibnu Kastir menafsirkan ayat ini dalam kitab tafsir beliau dengan katanya: “Allah Taala berfirman (dengan ayat ini) yang mana Dia melarang hambaNya daripada melakukan zina, menghampiri zina, melakukan sebab-sebab kearah zina serta segala perkara yang boleh membawa kepada penzinaan.”

Tersebut dalam kitab Hasyiah Futuhat ilahiyah pada menerangkan ayat ini: “Kerana ayat ini memberi pergertian larangan daripada melakukan muqadimah zina seperti bersentuhan, bercium, melihat (lelaki pandang kepada perempuan atau perempuan melihat kepada lelaki)…”

Pandang-memandang

Firman Allah Taala, yang bermaksud: “Katakan kepada kaum muslimin, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”. (surah AN-Nur:30)

FirmanNya lagi, yang bererti: “Katakanlah kepada kaum muslimat, Ya Muhammad! Pejamkanlah mata mereka (daripada melihat perkara-perkara yang tidak halal dilihat) dan kawallah alat kelamin mereka itu (daripada melakukan perkara yang tidak halal dilakukan)”(surah AN-Nur:31)

Al-Hafiz Ibnu Qayim Aljauziah menyatakan dalam kitab Addaa Wa ddawaa’ m/s 163, bahawa ‘pandangan’ merupakan salah satu daripada punca-punca kemasukkan maksiat pada hamba Allah. Beliau menerangkan hal tersebut dengan katanya: “Adapun pandangan-pandangan itu ianya menarik kepada syahwat & utusannya (syahwat). Kawalan pandangan ialah asas bagi penjagaan alat kelamin (daripada melakukan perkara haram), maka sesiapa melepaskan pandangannya tanpa kawalan nescaya ia meletakkan dirinya ke tempat kebinasaan-kebinasaan. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, bermaksud: “Janganlah engkau ikutkan satu pandangan dengan pandangan yang seterusnya, kerana sesungguhnya tidak mengapa bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak harus (haram) bagi engkau pandangan kali kedua.”

Ibnu Qayim menjelaskan lagi: “Pandangan itu asal kebanyakkan terjadinya bala bencana yang menimpa manusia. Ini kerana, ianya mendatangkan lintasan, seterusnya lintasan itu mendatangkan ingatan, seterusnya ingatan itu menerbitkan syahwat, seterusnya syahwat menerbitkan keinginan yang kuat maka jadilah azam yang teguh, lantas berlakulah perbuatan (zina) selagi tiada sesuatu yang menghalangnya. Kerana inilah, dimadahkan: “Sabar pada memejam mata (tiada melihat perkara haram) ialah terlebih mudah daripada sabar terhadap kesakitan yang akan terjadi selepasnya…”

Bersentuhan

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban & Ishak bin Rahawaih daripada Asmaa binti Yazid, yang bermaksud: “Bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan perempuan…” Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan hadis ini adalah hadis hasan.

Hadis yang bermaksud: “Demi Allah! Bahawa dicucuk seseorang daripada kalangan kamu di kepalanya dengan jarum besi adalah terlebih baik daripada ia bersentuhan dengan perempuan yang tidak halal baginya.”(Riwayat Tabarani). Al-Hafiz Ibnu Hajar membilang hadis ini sebagai hadis hasan.

Hubungan percintaan

Membuat hubungan percintaan di antara lelaki dengan perempuan tanpa ikatan yang sah terlebih dahulu adalah haram. Allah Taala melarang hambaNya daripada apa bentuk perkara, sama ada dengan melihat, membuat hubungan, menyentuh dan lain-lain yang merupakan habuan nafsu syahwat antara lelaki dan perempuan. Membuat hubungan intim hingga asyik dalam percintaan adalah merupakan muqadimah zina. Keasyikkan dan mabuk di alam percintaan ini membawa kekancah yang terlebih keji.

Ibnu Qayim menyatakan bahawa keasyikkan cinta pada sesuatu itu tidak dapat memberi kemaslahatan kepada dunia dan akhirat bahkan kemudaratannya bersangatan.

Beliau menerangkan di antara beberapa sebab keburukan yang terjadi daripada keasyikkan itu, dengan katanya: “Bahawa kerosakkan segi keduniaan dan keakhiratan bagi orang-orang yang asyik mabuk dengan sesuatu itu (asyik percintaan lelaki dengan perempuan atau asyik mabuk dengan perkara maksiat) terlebih cepat daripada api menghanguskan kayu yang kering. Ini adalah kerana hati, setiap kali ia berdekatan dengan keasyikkan dan kuat perhubungan dengannya nescaya jauhlah ia daripada Allah. Sejauh-jauh hati daripada Allah adalah hati orang-orang yang asyik dengan sesuatu. Apabila hati itu jauh daripada Allah, maka datanglah kepadanya kerosakkan-kerosakkan dan Syaitan mengambil alih memerintah hati tersebut dari segenap segi serta dapat mengerasinya. Syaitan tidak akan membiarkan dengan memberi kemudharatan yang semungkin ia dapat berikan kepada hati itu melainkan ia akan lakukannya. Maka apakah lagi diandaikan pada hati yang telah dapat musuhnya menguasainya dan bersungguh-sungguh menyesatkan dan membinasakan makhluk Allah?? Apakah yang dapat diandaikan pada hati yang jauh daripada penjaganya (Allah) sedangkan tiada ada kebahagiaan, kejayaan & kegembiraan melainkan dengan menghampiriNya serta di dalam penjagaanNya??

Disebabkan keasyikkan inilah, mereka sanggup merelakan & melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Syariat sepertimana keasyikkan cinta Zulaikha yang mendalam terhadap Nabi Yusuf, membuat ia bertindak di luar batasan.

Firman Allah, bermaksud: “Zulaikha memujuk-mujuk Yusuf untuk melakukan perbuatan sumbang ketika mana Yusuf di dalam biliknya (Zulaikha) & ia mengunci pintu biliknya itu, seterusnya berkata kepada Yusuf: “Kemarilah padaku…”(Yusuf:23). Ini adalah disebabkan keasyikkan cintanya yang mendalam terhadap Nabi Yusuf. FirmanNya Taala yang menceritakan perbualan perempuan-perempuan di Bandar Mesir terhadap Zulaikha, bermaksud: “…Sesungguhnya Zulaikha itu terlalu asyik mencintai hambanya (Yusuf)…”(Yusuf:30).

BAHAYA PERCAMPURAN DAN HIJAB PENGASINGAN

Bertitik mulai daripada ‘percampuran lelaki dengan perempuan’ itulah yang membawa kepada muqadimah-muqadimah zina yang lain seperti melihat, membuat hubungan, bersentuhan dan lain-lain serta boleh membawa kearah penzinaan itu sendiri. Kerana inilah, Allah Taala melarang hambaNya daripada pencampuran antara lelaki dengan perempuan melalui penurunan ‘Ayat Hijab’.

FirmanNya, bererti: “ Apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka itu (isteri-isteri Nabi), maka pintalah kepada mereka melalui belakang tabir (penghadang). Demikian itu, terlebih membaiki & membersihkan hati kamu & hati mereka (isteri-isteri Nabi).” (Al-Ahzab:53).

Imam Qurtubi berkata: “Allah Taala menghendaki dengan ayat ini bahawa (meminta melalui belakang tabir) terlebih membersihkan hati daripada segala lintasan yang tidak baik, yang mendatangi bagi kaum lelaki pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum wanita & yang mendatangi bagi kaum wanita pada lintasan perkara-perkara yang berkaitan dengan kaum lelaki. Yakni, demikian itu terlebih menafi & menjauhkan daripada tomahan serta terlebih teguh pada kawalan (daripada berlaku perkara yang ditegah)…”

Ayat Hijab bersifat umum

Ayat Hijab ini umum hukumnya bagi sekalian Muslimat, bukan hanya untuk isteri-isteri Nabi s.a.w. Ini kerana, apabila golongan sebaik-baik umat iaitu para sahabat & isteri-isteri baginda disyarakan hijab penghadang antara mereka maka umat yang terkemudian, yang mana kemungkaran berleluasan terlebih utama lagi dengan hukum ini. Lebih-lebih lagi, telah diyakini dengan secara umum bahawa berlakunya muqadimah zina & seterusnya penzinaan, apabila tiada mengasingkan antara lelaki dengan perempuan seperti yang berlaku di insitusi-insitusi pengajian.

Imam Qurtubi menjelaskan bahawa ayat Hijab ini umum hukumnya, dengan katanya: “Pada ayat ini menjadi dalil bahawa Allah Taala membenarkan meminta kepada isteri-isteri Nabi s.a.w disebalik tabir, apabila terdapat sesuatu hajat atau pun masalah agama yang diminta fatwa daripada isteri-isteri baginda. Termasuklah sekalian perempuan (tidak hanya isteri-isteri Nabi) dalam hukum sedemikian dengan pergertian yang difahami daripada ayat tersebut&juga dengan apa yang terdapat di dalamnya asas-asas syariat iaitu dari segi diri wanita itu adalah aurat, sama ada badannya&suaranya (di sisi mazhab Syafie: suaranya aurat jika seseorang lelaki terasa enak apabila mendengarnya)…”

Sokongan bahawa Ayat Hijab bersifat umum

Sebagai menguatkan bahawa ayat Hijab ini bersifat umum, terdapat di antara beberapa riwayat hadis tentang sebab turunnya ayat ini, riwayat yang menunjukkan bahawa pencampuran itu membawa kepada perkara-perkara yang tidak elok. Hadis yang dikeluarkan oleh Nasaie daripada Mujahid seterusnya daripada Aisyah, yang bererti: “Adalah aku makan ‘Haisan’(bubur yang dibuat daripada tamar,minyak sapi&gandum) bersama Nabi s.a.w di dalam satu mangkuk maka Umar melewati kami lalu baginda menjemputnya&ia pun makan bersama. Kemudian, tersentuh tangan Umar dengan tanganku lantas ia berkata: “Bagus-bagus!!” atau “Wah-wah!!”(nada tidak menyukai). Umar menambah lagi: “Jika diikutkan kehendakku terhadap isteri-isteri Nabi ini, aku harap mereka tidak dilihat oleh mata manusia, lalu diturunkan ayat Hijab.”

Nabi saw memandang serius tentang percampuran

Nabi s.a.w mengambil perhatian serius dan memberi penekanan yang berat terhadap percampuran tersebut sehinggakan kelibat kaum Hawa ini pun, baginda tidak membenarkannya. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih Bukhari daripada sanadnya yang berhubung kepada Az-Zuhri daripada Hindun Bt. Haris seterusnya daripada Ummu Salamah radhiyallah -anha, berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w, apabila memberi salam (di dalam solat), lalu kaum perempuan bangun berdiri ketika telah selesai salam baginda. Baginda tetap sejenak di tempat duduknya sebelum bangun berdiri. Kata Perawi (Az-Zuhri): “Kami berpendapat (wallahu ‘aklam) perbuatan Nabi tersebut supaya kaum wanita beredar sebelum dapat dilihat oleh seorang pun daripada kaum lelaki.” (Sahih Bukhari: bab solat kaum wanita di belakang kaum lelaki)

AZAB DAHSYAT BAGI PEREMPUAN YANG TIDAK MENUTUP AURAT DAN BERPAKAIAN MENJOLOK MATA

Wahai kaum perempuan yang tidak menutup aurat atau berpakaian seluar dan baju ketat @ singkat yang boleh membangkitkan nafsu lelaki! takutilah kamu azab sengsara yang Allah Taala sediakan di akhirat kelak. Janganlah dituruti cara berpakaian perempuan kafir dan artis-artis yang fasik.

Ambillah iktibar dengan perkhabaran Junjungan Besar Nabi kita saw yang menceritakan kepada Saidina Ali tentang perempuan yang diazabkan ketika malam ‘Isra’ & Mikraj’, maksudnya: “Wahai Ali! Ketika malam diisra’kan daku ke langit, aku melihat perempuan daripada kalangan umatku yang diazabkan dengan berbagai-bagai azab maka aku menangis takala melihat bersangat azab mereka itu. Aku melihat perempuan yang digantung dengan rambutnya hingga mengelegak otaknya…” Kemudian Saidatina  Fatimah menanyakan sebab diazabkan sedemikian, Nabi menerangkan, maksudnya: “Wahai anak kesayanganku! Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu disebabkan dia (di dunia dahulu), tidak menutup rambutnya daripada kaum lelaki….”(Azzawajir, m/s 67)

Nabi saw menceritakan di antara sifat @ kelakuan salah satu daripada empat golongan perempuan yang menjadi ahli neraka, bermaksud: “…Seseorang perempuan yang tidak menutup aurat dirinya daripada lelaki (ajnabi) dan dia keluar daripada rumahnya dengan ‘Tabaruj’(menzahirkan keelokan/berhias-hias untuk menarik pandangan/keinginan/perhatian kaum lelaki)..”(Azzawajir Ibnu Hajar Al-Haitami, m/s 66)

Sabdanya lagi, bermaksud: “Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi masih bertelanjang (tidak menutup aurat dengan sempurna), yang menjadikan dirinya sebagai contoh ikutan terhadap perbuatan keji mereka (membuka aurat), yang menyimpang daripada ketaatan terhadap Allah (tidak menunaikan kewajipan ke atas mereka), rambut kepala mereka seperti ungguh unta Khurasan, mereka tidak akan masuk surga dan tidak dapat mencium baunya (surga).” (Riwayat Muslim: Kitab Al-Libas, bab an-nisa al-kasiyat al-‘aariyaat)

Jangan terlampau bebas keluar & menzahirkan diri di khalayak lelaki

Kebebasan seseorang perempuan dari sudut syariat Islam adalah terbatas, tidak seperti lelaki. Mereka tidak digalakkan bebas keluar rumah dengan menzahirkan diri di khayalak ramai. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab:33, bermaksud: “ Hendaklah mereka (perempuan) tetap di dalam rumah mereka dan janganlah bertabarruj sebagaimana bertabarruj perempuan-perempuan jahiliah yang dahulu.”

Makna ‘Tabarruj’ ialah menzahirkan keelokkan/perhiasan/berhias-hias/menarik perhatian kepada lelaki ajnabi (asing yang bukan mahram). Mujahid, murid Ibnu Abbas, berpendapat bahawa perempuan-perempuan berjalan mundar-mandir bersama-sama dalam khalayak kaum lelaki maka itulah dinamakan ‘Tabarruj’.

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabarani, bermaksud: “Tidaklah Perempuan berhak keluar dari rumahnya melainkan terpaksa (perkara yang mustahak/tidak dapat tiada) dan tidaklah mereka berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepi jalan sahaja.”

Tersebut dalam kitab Azzawajir bagi Ibnu Hajar Al-Haitami, Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka apabila ia keluar daripada rumahnya, nescaya syaitan mendongak melihat kepadanya. Terlebih menghampiri diri seseorang perempuan kepada Allah Taala ialah apabila ia berada di dalam rumahnya.”

Hadis yang bermaksud: “Perempuan adalah aurat maka kamu tahanlah mereka di dalam rumah-rumah…. .(dalam kitab Azzawajir :m/s 66)

Saidina Ali berkata: “Adakah kamu tidak malu?, adakah kamu tidak cemburu? Seseorang daripada kalangan kamu membiarkan isterinya keluar di khalayak lelaki. Isterinya melihat mereka. Mereka melihatnya.”

Saidina Ali bertanya kepada isterinya, Fatimah: “Apakah sesuatu yang terbaik bagi seseorang perempuan?Fatimah menjawab: “ Bahawa dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak dapat melihatnya.” .(dalam kitab Azzawajir: m/s 66)

AKHIR KALAM

Lantaran itu, kembalilah! kearah Tuhan Rabul ‘izzah, Tuhan semesta alam, yang mencipta serta mentadbirkan kita dengan sifat RahmanNya, dengan membaiki segala kesilapan, kealpaan dan kegelinciran kita yang tersimpang jauh daripada landasan SyariatNya. Hendaklah kita berpegang teguh dengan syariat Allah, walau apa jua keadaan sekalipun.

WALLAHU’ALAM….

Disusun oleh:-

Nik Mohd Nazimuddin Bin Nik Ibrahim Bin Nik Yaacob Bin Nik Yusuf (Imam Masjid Langgar) Bin Wan Abd. Rahman Bin Wan Taib Bin Wan Mohd Said Bin Wan Abd. Salam Bin Wan Su Bin Wan Abu Bakar Bin Tok Kaya Pandik Wan Ismail Bin Faqih @ Andik @ Ne’ @ Nik Ali (Mufti Kerajaan Islam Patani Darussalam&pengarang kitab Tarikh Patani) Bin Wan Muhammad (Orang Kaya Seri Akar Maha Puteri Bagi Sultan Ismail Zhilullah Fil Alam) Bin Dato’ Seri Raja Faqih (Syeikhul Islam) Syeikh Shafiyyuddin (Pendakwah dari Pasai yg datang ke Patani Darussalam sekitar thn 1400M).

2 responses to “MUSIBAH PERCAMPURAN LELAKI DAN PEREMPUAN

  1. Ahmad Lutfi Bin Adnan

    saya juga tidak bersetuju percampuran yang kian parah tanpa batasan yang telah digariskan oleh agama. saya amat terperanjat apabila pihak ipta di utara tanah air mencantumkan asrama lelaki dan perempuan di sebuah bangunan. meskipun kononnya dibezakan oleh aras tetapi keburukannya yang bakal berlaku pasti dasyat. bangunan tersebut mempunyai 5 tingkat. tingkat 1 dan 2 untuk muslimat manakala tingkat 3, 4 dan 5 untuk muslimin.mereka berkongsi tangga untuk ke billik masing-masing. pasti akan terlintas di hati insan apabila setiap hari berselisih dan menggunakan tangga yang sama. mula-mula menjeling, kemudian menegur, lalu berkawan dan lama-lama berani bawa ke bilik. cubalah fikirkan musibahnya. Sekian harap beri pandangan.

    • menjadi kewajipan pelajar dan pengajar di IPTA tersebut membuat bantahan terhadap pemasalahan ini. Bagi pihak pelajar , mereka hendaklah mengemukakan bantahan melalui saluran yang disediakan oleh pihak IPTA tersebut seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan sebagainya. Kemukakan dalil-dalil kenyataan yang berbentuk lojikal seperti : jika dibukakan pintu fintah ini iaitu menempatkan pelajar-pelajar yang berlainan jenis akan membawa kepada gejala sosial yang membawa permasalahan kepada pihak IPTA itu sendiri, seterusnya membawa kepada terjejasnya prestasi pelajar. Fikir-fikirkan apa-apa hujah yang boleh diterima oleh pihak IPTA itu. Ini kerana, menjauhkan tanggapan daripada mereka bhw pelajar yg membantah terpengaruh dengan golongan ekstrim. Yang pentingnya, kita mahu berjaya dan diterima bantah tersebut, seterusnya ‘Fitnah Pencampuran Ini’ dapat dibasmikan. Para Pengajar juga diwajibkan menyokong bantahan yang dikemukakan, bolehlah para pelajar mendapatkan tandatangan mrk sbg sokongan. Kita mesti mengambil sikap keperihatinan terhadap isu-isu maksiat seperti ini, di kala umat Islam sedang nyenyak tidur dan memekakkan telinga, tidak memperdulikannya. Pahala amar-maaruf berganda2 di akhir zaman ini..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s