Monthly Archives: September 2009

HADITH MAUDHU’ الحديث الموضوع

Disediakan oleh Ust. Husin bn. Abdul Kadir

Ust. Husin

بسم الله الرحمن الرحيم …

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …

Risalah kecil ini adalah untuk membetulkan beberapa fahaman yang membingungkan masyarakat islam pada kurun ke-14 Hijriah ini, iaitu berkenaan hadith maudhu’. Pihak yang tidak bertanggungjawab suka melarang amalan-amalan islam yang mempunyai asal itu dengan menggunakan taktik memaudhu’kan hadith terhadap hadith hasan dan dhaif.Taktik-taktik sedemekian itu mendorong kearah memecahbelahkan umat islam. Disini saya ingin memberi penjelasan mengenai fahaman patut berpegang teguh berdasarkan sikap tidak melampau. 

DEFINISI HADITH MAUDHU’:

Hadith yang diada-adakan terhadap nabi baik berupa perkataan, perbuatan, pengiktirafan mahupun lain-lainnya dengan sengaja.

 

CARA-CARA PEMBUATAN HADITH MAUDHU’:

1)      Perawi membuat sesuatu perkataan daripada dirinya sendiri.

2)      Perawi mengambil perkataan orang lain.

 

SEBAB-SEBAB YANG MENDORONG PEMBUATAN HADITH MAUDHU’:

1)      Menimbulkan kekacauan dalam agama islam.

2)      Tidak tahu tentang hal-ehwal hadith.

3)      Untuk membela kebenaran kefahamannya.

4)      Untuk memperoleh kekayaan.

5)      Mengikuti kehendak pembesar-pembesar supaya dapat mendampingi mereka.

6)      Untuk menarik perhatian orang.

HUKUM MERIWAYATKAN HADITH MAUDHU’:

            Meriwayatkan hadith maudhu’ secara mutlaknya adalah haram bagi orang yang mengetahui bahawa hadith tersebut maudhu’, kecuali jika disertai penjelasan tentang kepalsuannya. Oleh kerana itu

1)      Jika tidak mengetahui bahawa hadith itu maudhu’ dan secara tidak sengaja meriwayatkannya  maka tidaklah berdosa.

2)      Meriwayatkannya dengan tujuan mengingatkan orang bahawa ini adalah hadith palsu, maka tidaklah berdosa.

 

ISTILAH-ISTILAH DIGUNAKAN UNTUK HADITH MAUDHU’

1)      لا أصل له           : tidak ada asalnya

2)      لا يوجد له أصل    : tidak terdapat asal hadith ini

3)      لم أقف عليه          : saya tidak dapati hadith ini

4)      لم يعلم من أخرجه : tidak diketahui siapa yang mengeluarkan hadith ini

 

MENGENALI TANDA-TANDA PEMALSUAN HADITH

Terdapat beberapa tanda-tanda pemalsuan hadith dan pembohongan perawi-perawi diterangkan dalam kitab العجالة النافعة oleh muhaddith hindi Syah Abdul Aziz Bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi:

1)      Dengan pengakuan perawinya itu sendiri, seperti pengakuan dibuat oleh  Abu ismah Nuh bin Abi Maryam yang mengaku memalsukan hadith-hadith berkenaan dengan kelebihan membaca Al-Quran.

2)      Dengan tanda-tanda yang didapati daripada diri keadaan perawi itu sendiri, seperti hanya:

a)      Ingin memuaskan hati sebahagian para pembesarnya dalam berdusta.

b)      Ingin menarik perhatian terhadap mereka (perawi).

c)      Ingin mencari dunia melalui menjual agama.

3)      Dengan tanda-tanda yang didapati daripada yang diriwayatnya seperti buruk susunan dan pengertiannya.

4)      Menyalahi dengan sebahagian keterangan Al-Quran, Hadith Mutawatir, Ijma’ Qat’ie{muktamad} atau dengan akal yang sejahtera.

5)      Perawi menyalahi dalam riwayatnya dengan sejarah yang masyhur.

Contoh:

a)      Berkata seseorang mengenai peperangan Siffin pada tahun 33H bahawa Abdullah bin Mas’ud berkata …….., “sedangkan Abdullah bin Mas’ud wafat sebelum peperangan Siffin pada zaman pemerintahan Uthman (R.A).

b)      Mua’wiyah (R.A) menumpahkan darah orang ramai semasa beliau melarikan diri daripada peperangan Jamal, sedangkan peperangan itu berakhir dengan secara damai. Jenis maudhu’ seperti ini dapat dikesan dengan mudah.

6)      Perawi adalah seorang rafedhi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci sahabat.

7)      Perawi adalah seorang nasebi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci keluarga nabi. Teruskanlah kiasan demikian itu.

8)      Perawi meriwayatkan hadith mengenai satu perkara yang wajib mengetahuinya dan beramal dengannya padahal dia menjadi tunggal meriwayatkan hadith itu, hanya ini adalah satu pendekatan yang amat ketara mengenai rawi itu pembohong atau pemalsu hadith.

9)      Perkara yang diriwayatkan oleh perawi bersalah-salahan dengan tuntutan agama dan akal. Dan juga dasar-dasar agama menyalahkannya seperti riwayat:

“لا تأكلوا البطيخ حتى تذبحوه”   

“Janganlah kamu makan buah tembikai sehinggakan kamu menyembelihinya”

10)  Dinyatakan dalam riwayat mengenai ancaman yang bersangatan terhadap dosa kecil atau janji pahala amat besar terhadap sedikit amalan yang baik, seperti:

a)      Menyebut pahala haji dan umrah bagi amalan yang terlalu sedikit.

b)      Barangsiapa sembahyang sunat dua raka’at, maka ia akan diberi 70, 000 buah rumah, pada setiap rumah ada 70, 000 katil. Di atas tiap-tiap satu katil berada 70, 000 anak dara. Maka hadith-hadith yang datang seperti cara-cara tersebut samada mengenai pahala dan dosa kesemuanya dianggap hadith maudhu’.

 

HADITH MAUDHU’ DITOLAK BULAT-BULAT WALAUPUN NIAT PEMALSU HADITH ITU AMAT BAIK.

 

            Perawi membuat keputusan untuk mereka-reka hadith dengan tujuan amat baik seperti berlaku dengan Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mengada-ngadakan hadith berkenaan kelebihan-kelebihan tiap-tiap surah Al-Quran. Kemudian beliau mempopularkan hadith-hadith yang direka itu di kalangan orang ramai sehingga disambut dengan baik. Pengarang Tafsir Baidhawi tersilap memasukkan hadith-hadith itu pada tiap-tiap akhir surah sambil menyatakan pahala surah itu.

            Apabila ulama’ muhaddithin menyuarakan ketiadaan sahihnya hadith-hadith itu dan ulama’ meminta syarat yang sahih di sisi Nuh, maka beliau mengakui bahawa niatnya adalah elok dan keadaan sekitar yang memaksanya mengada-adakan hadith-hadith itu. Selanjutnya beliau menceritakan bahawa beliau mendapati orang ramai membiarkan membaca Al-Quran dan mula menyibuk bermutala’ah kitab-kitab tafsir, sejarah maghazi Abi Ishaq dan feqah Abu Hanifah, maka beliau mengambil keputusan untuk mengada-adakan hadith-hadith berbentuk menarik minat dan menakutkan supaya orang ramai mengambil berat membaca Al-Quran dan beramal kerana mengharapkan pahala-pahala itu dan merasa ketakutan seksaan-seksaan itu.

            Alasan yang diberi oleh Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam dan kenyataan tentang niat baiknya itu lebih teruk dan dahsyat daripada dosa kerana didapati banyak hadith sahih mengenai kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran. Itupun sudah memadai bagi kami untuk menarik minat orang ramai.

 

PERSELISIHAN PENDAPAT ULAMA’ DALAM MENENTUKAN HADITH MAUDHU’

 

1)   حديث: من عير اخاه بذنب، لم يمت حتى يعمله

“Sesiapa yang mencela (memburuk-burukkan) saudara dengan sebab sesuatu dosa yang dilakukannya nescaya ia tidak meninggal dunia sehinggalah dia akan melakukan dosa itu.”

Ulasan:

Hadith ini dimaudhu’kan oleh setengah ulama’ sedangkan Imam Tirmizi menyatakan hadith ini sebagai hadith hasan.(الفوائد المجموعة)

2)   حديث: الموت كفارة لكل مسلم

“Kematian itu penghapus dosa bagi setiap orang muslim.”

Ulasan:

Ibnu Jauzi dan Saghani mengadakan hadith ini dalam senarai hadith maudhu’ sedangkan Ibnu Al-Arabi menegaskan hadith ini sebagai hadith sahih. Hafiz Al-Iraki pula berkata bahawa hadith ini datang dengan beberapa jalan periwayatan sehingga sampai darjat hasan.

 

 

Hafiz Ibnu Hajar berkata bahawa:

Hadith ini tidak memberi pengertian bahawa kematian itu adalah penghapus segala dosa-dosa muslim, bahkan ia membawa maksud penghapusan dosa-dosa hanya sekadar dikehendaki Allah Ta’ala sahaja. Maka hadith ini tidak bercanggah dengan nas.(الفوائد المجموعة: ص 268)

3)   حديث: القبر روضة من رياض الجنة أو حفرة من حفر النار

“Kubur itu merupakan sebuah taman di antara taman-taman syurga atau suatu lubang di antara lubang-lubang neraka.”

Ulasan:

Tidak tepat menyebutkan hadith ini dalam hadith maudhu’ kerana hadith ini diriwayatkan oleh imam Tirmizi dan Tabrani sebagai hadis dhaif. (الفوائد المجموعة: ص 269)

4)   حديث: اللهم أحيني مسكينا وأمتني مسكينا واحشرني في زمرة المساكين

“Ya Allah hidupkan daku sebagai orang miskin dan matikanlah daku sebagai orang miskin serta himpunlah daku di dalam golongan orang miskin.”

Ulasan:

Hadith yang mengandungi doa ini ditentukan maudhu’ oleh Ibnu Jauzi dan Ibnu Taimiyah kerana hadith ini bertentangan dengan hadith yang meminta perlindungan daripada kemiskinan di sisi Allah s.w.t. Hadith yang dikandung doa di atas itu diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Sa’id Al-Khudri dan Tabrani meriwayatkan daripada A’ta dengan sanad dhaif.   

Lafaz hadith ialah:

5)   حديث: اللهم توفني اليك فقيرا ولا توفني غنيا واحشرني في زمرة المساكين يوم القيامة

“Ya Allah wafatkan daku berjumpa dengan dikau sebagai orang yang fakir dan janganlah wafatkan daku sebagai orang yang kaya serta hidupkanlah daku dalam golongan orang-orang miskin di hari akhirat.”

            Hakim mengeluarkan dalam mustadraknya dengan tambahan sedikit lafaz hadith dan ia berkata sanad hadith ini sahih. Tabrani juga meriwayatkannya daripada Ubadah bin Samit dengan sanad di mana perawi-perawinya thiqah (yang dipercayai) dengan adanya beberapa jalan periwayatan bagi hadith tersebut, sewenang-wenangnya menghukum maudhu’ terhadap hadith itu dianggap melampau. Maka ditolak bulat-bulat dakwaan maudhu’ oleh Ibnu Jauzi dan IbnuTaimiyah  mengenai hadith tersebut.

            Dijawab oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya ‘tuhfah’ berkenaan dengan maksud kemiskinan dalam hadith tersebut sambil menyatakan darjat hadith. Beliau berkata bahawa sesungguhnya hadith itu dhaif dan bertentangan dengan hadith yang meminta perlindungan daripada kemiskinan, kemudian beliau menta’wilkan makna meminta kemiskinan itu kepada makna meminta ketenangan hati. Syaikhul Islam Zakaria Al-Ansari pula berkata bahawa maksud sebenar bagi meminta kemiskinan dalam hadith tersebut ialah meminta merendah diri supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang-orang kaya yang mempunyai sikap bongkak diri.

(كشف الخفاء ومزيل الإلباس عما اشتهر من الأحاديث على ألسنة الناس: ج 1، ص 207)

            Berdasarkan perselisihan pendapat mengenai sesetengah hadith maudhu’ seperti yang disebut sebelum ini, maka janganlah tergesa-gesa memaudhu’kan hadith. Bahkan perlu meneliti secara halusi supaya dapat memastikan dengan tepat yang mana maudhu’ dan tidak maudhu’.

 

JANGANLAH MUDAH MENGHUKUM  (كذب موضوع) لا أصل له

            Imam Jalaluddin Sayuti berkata  كذب موضوع بالاتفاق(hadith ini merupakan satu pembohongan lagi yang direka-reka dan perkara ini disepakati ulama’) di dalam kitabnya الدرر المنتثرة في الأحاديث المشتهرة terhadap hadith:

” لما خلق الله العقل قال له: أقبل فأقبل، ثم قال له: أدبر فأدبر، فقال ما خلقت خلقا أشرف منك فبك آخذ وبك أعطى”

Maksudnya: tatkala Allah s.w.t menciptakan akal, Allah s.w.t berfirman (perintah) kepadanya ‘maju ke hadapan atau hadaplah engkau’maka ia (akal) terus maju, kemudian Allah s.w.t berfirman lagi ‘pusing belakang atau undurlah engkau’ maka ia (akal) pun terus undur. Kemudian Allah s.w.t berfirman ‘aku tidak menciptakan suatu ciptaan yang lebih mulia daripadamu. Maka melaluimulah aku akan mengambil (tindakan) dan memberi (pemberian).

            Imam Zarkasyi juga menuruti pendapat Imam Ibnu Taimiyah di mana beliau berkata ‘لا أصل له’ (tidak menerima punca datangnya hadith itu) terhadap hadith tersebut.

            Imam Muhaqqiq (pengkaji halus)  Abdul Haiyi Lakhnawi Al-Hindi berkata dalam kitabnya (الأجوبة الفاضلة) وقد وجدت له اصلا صالحا أخرجه عبد الله بن أحمد في زوائد الزهد  maksudnya: aku dah pun menemui punca yang begitu elok datangnya hadith tersebut yang dikeluarkannya oleh Abdullah bin Ahmad (bin Hambal) di dalam kitabnya Zawaid Al-Zuhd.Hafiz ibnu hajar Al-Haitami juga menemui asal yang diriwayatkan oleh tabrani dan Al-haitami menyatakan bahawa;-

رواه الطبراني في الكبير والأوسط، وفيه عمر بن أبي صالح، قال الذهبي: لا يعرف (مجمع الزوائد 8: 28)

 

PERINGATAN!

            Semestinya diketahui apabila didapati di dalam sesetengah kitab ulama’ mutaqaddimin (yang dahulu) yang ada menyatakan: “لم يصح في هذا الباب حديث” yang bererti: “tidak sah satu hadith pun di dalam bab ini (masalah ini)”, apa yang dimaksudkan ialah adanya Hadith Hasan dan Dhaif di dalamnya bukan mereka maksudkan setiap hadith di dalam bab tersebut adalah maudhu’ atau dusta.

(وظيفة الحديث الضعيف، ص 39)

PERHATIAN!

Di kalangan muhaddithin terdapat sekumpulan yang terlalu keras menentukan maudhu’ terhadap hadith hasan dan dhaif.

1)      (ابن الجوزي):- Beliau menuduh Imam Tirmizi memuatkan tujuh belas buah hadith maudhu’ didalam kitabnya sunan tirmizi. Ibnu Hajar mempertahankan hadith-hadith itu sebagai. Hadith hasan dan dhaif.

2)      (ابن تيمية):- Beliau menjadikan sesetengah hadith hasan  dan kebanyakan hadith dhaif sebagai hadith  maudhu’. Beliau menuruti Ibnu Jauzi.

3)      (صغاني):- Beliau juga terkenal sebagai yang terlalu keras menentukan maudhu’ terhadap hadith-hadith Hasan dan dhaif.

4)      (السيوطي):- Beliau dikenali sebagai yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith.

5)      (جوزقاني):- Beliau menghukum maudhu’ terhadap hadith-hadith yang begitu banyak dengan hanya menyalahi sedikit dengan sunnah. Hafiz Ibnu Hajar berkata itu adalah satu kesalahan yang di lakukan oleh beliau.

6)      (ابن حبان):- Beliau dianggap yang melampau mengenai mengkritik rawi-rawi hadith sehingga beliau sanggup mencacatkan rawi-rawi yang di percayai, seolah-olah beliau tidak sedar apa yang keluar dari fikirannya.

(الأجوبة الفاضلة، ص 170 – 179)             

KESIMPULAN:         

1)Jangan terlalu ghairah  menghukum maudhu’ terhadap mana-mana hadith.

2)Perlu mengambil kira perselisihan pendapat muhaddithin mengenai menentukan                       maudhu.’

.           3)Berhati-hatilah dengan muhaddithin yang mempunyai sikap terlalu keras menentukan 

            maudhu’ terhadap hadith hasan dan dhaif.

Semoga Allah jadikan penjelasan ini bermanafaat bagi saya dan anda semua.

                                                      SEKIAN  WASSALAM

HADITH DHAIF الحديث الضعيف

:Sidang Pengarang Utama

Ustaz Nik Mohd Nazimuddin B Nik Ibrahim

 

Ust. Husin bn. Abdul Kadir

 

 Ustaz Muhammad Fuad B Abdul Wahab

 

Ustaz Nik Mohd Shahrail B Nik Ibrahim 

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم …

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …

MUQADDIMAH

Pokok perbincangan kami di dalam risalah ini ialah tentang hadith dhaif kerana sejak kebelakangan ini ada pihak yang sering mempertikaikan hadith dhaif sehingga mereka menganggap bahawa beramal dengan hadith dhaif adalah perkara mungkar dan ia adalah hadith yang dusta. Hadith dhaif ini hanya tidak memenuhi syarat-syarat hadith sahih dan hasan. Pengertian ini tidak membawa maksud bahawa tidak boleh beramal dengan hadith dhaif.

DEFINISI HADITH DHAIF:

            Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mencukupi syarat untuk diterima. (منحة المغيث) Al-Hafiz Ibnu Solah telah mentakrifkan hadith dhaif dengan katanya bahawa: “setiap hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith sahih dan tidak juga mencukupi syarat-syarat hadith hasan, maka itulah hadith dhaif”. (139(تدريب الراوي :ص 

Hadith yang makbul (yang diterima) ialah hadith yang mencukupi enam syarat iaitu:

1)      Sanad yang bersambung

2)      Para perawinya bersifat adil (mempunyai ketaqwaan dan menjauhkan diri daripada kefasikan)

3)      Para perawinya dhabit (pengingat melalui catatan dan hafazan)

4)      Tiada syaz (seorang perawi yang tidak menyalahi dengan perawi-perawi yang lebih dipercayai daripadanya)

5)      Tiada illah (tiada didapati kecacatan pada matan dan sanad hadith)

6)      Ada sanad yang menyokong atau menguatkan ketika diperlukan. (14: (مصطلح الحديث

PEMBAHAGIAN HADITH DHAIF

            Hadith dhaif secara umum terbahagi kepada tiga iaitu:

1)      Hadith yang mana kedhaifannya boleh ditampung dengan muafakat para ulama’ kerana dikuatkan oleh kemasyhurannya yang datang daripada riwayat yang lain ataupun ianya disokong oleh sokongan yang diterima, lebih-lebih lagi apabila perawinya adalah seorang yang lemah hafazan atau kedhaifannya disebabkan ianya diriwayatkan secara mursal (gugur sahabat nabi di dalam sanad), ataupun tidak diketahui keadilan perawinya, maka hadith ini tarafnya naik ke peringkat hadith hasan li gharih (hadith menjadi kuat disebabkan ada sokongan). Maka jadilah ia hadith yang diterima pakai untuk dibuat sebagai hujah sehingga di dalam hukum hakam. Hadith ini juga dinamakan hadith mudho’af.

2)      Hadith yang mana kedhaifannya tidak boleh ditampung walaupun jalan-jalan periwayatannya banyak. Ia dinamakan hadith WAAHI (bersangatan dhaif). Ini disebabkan perawinya seorang fasik atau dituduh sebagai pembohong.

3)      Hadith waahi tersebut yang mempunyai sokongan daripada riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik kepada peringkat yang lebih tinggi melebihi martabat hadith munkar (hadith yang bersangatan lemah dan hadith yang tiada asal). Pada ketika ini diharuskan beramal dengannya di dalam soal-soal fadhilah (kelebihan) amalan-amalan, tetapi tidak boleh diamalkan di dalam soal aqidah dan hukum hakam. Sesetengah ulama’ menyatakan juga bahawa tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran Al-Quran.

(11-10: (وظيفة الحديث الضعيف

HUKUM BERAMAL DAN BERHUJAH DENGAN HADITH DHAIF

            Para ulama’ telah berselisih pada keharusan beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat:

Pendapat pertama

            Tidak boleh beramal dengannya semata-mata samada pada hukum-hakam atau fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu. Ini adalah pendapat Ibnu Arabi Al-Maliki. Sesetengah karangan memasukkan Imam Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu Taimiyah di dalam golongan pertama ini. Demikian itu adalah kesilapan besar yang akan kami nyatakan sebab-sebabnya dalam tajuk ulasan pendapat yang pertama.

Pendapat kedua

            Boleh beramal dalam semua keadaan apabila tidak didapati hadith yang lain pada sesuatu bab melainkan hanya hadis dhaif. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Daud.

Pendapat ketiga

            Boleh beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu tetapi dengan beberapa syarat. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Di antaranya Amirul Mukminin Fil Hadith Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Al-Hafiz Imam Nawawi, Imam Al-Suyuti, Al-Hafiz Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan lain-lain. Pendapat ini adalah yang muktamad di sisi Imam Muhaddithin kerana ianya disokong oleh Syeikhul Islam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi pernah menyatakan dalam kitab beliau ‘Qawaid Al-Tahdis’ m/s 113: “”هذا هو المعتمد عند الأئمة Ertinya: “Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi imam-imam hadith”. (255-257: (الحديث الضعيف أسبابه وأحكامه

            Adapun syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam kitabnya, Al-Qaul Al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.h.m memberitahu berulang kali bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif itu ada tiga:

1)      Bahawa kedhaifan hadith itu tidak bersangatan. Hadith yang bersangatan dhaif ialah perawinya pendusta atau yang dituduh dengan dusta. Syarat ini disepakati oleh ulama.

2)      Bahawa sesuatu hadith dhaif itu termasuk di dalam asal (Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias) yang umum.

3)      Bahawa tidak mengiktikadkan datang daripada nabi s.a.w ketika beramal dengannya supaya tidak disandarkan kepada baginda s.a.w dengan apa yang tidak dikatakan”.

ULASAN PENDAPAT YANG PERTAMA

1)      Timbul kemusykilan memasukkan Imam Bukhari dalam golongan pertama kerana telah diketahui bahawa Imam Bukhari telah memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad. Oleh kerana itu, bagaimana boleh diterima dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Imam Bukhari tidak membenarkan beramal dengan hadith dhaif. (35:  (وظيفة الحديث الضعيف.

2)      Begitu juga Imam Bukhari memasukkan hadith-hadith dhaif dalam kitab sahihnya sebagai penerangan bagi sesuatu tajuk ataupun sebagai hadith “Mutaba’ah” (hadith yang dijadikan sokongan bagi hadith-hadith sahih).

3)      Tersebut dalam mukqaddimah kitab Sahih Muslim, Imam Muslim ada menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh beramal pada fadhail amal, menggemarkan dan menakutkan sesuatu perkara adalah hanya sebagai syarat untuk memuatkan hadith-hadith sahih di dalam kitab sahihnya. Oleh itu, memasukkan beliau di dalam golongan pertama ini adalah suatu kesilapan besar.

4)      Imam Muslim ada memuatkan hadith-hadith yang diriwayat oleh Ibnu Ishaq yang dituduh dengan dhaif oleh sesetengah muhaddithin. Riwayat Ibnu Ishaq tersebut dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahih beliau sebagai hadith ‘Mutaba’ah’ (hadith yang menyokong hadith-hadith sahih yang diutarakan). Ini menunjukkan bahawa beliau beramal dengan riwayat-riwayat dhaif dalam fadhail, menggemar dan menakuti sesuatu perkara itu. Lagi pula, untuk beramal dengan hadith-hadith Ibnu Ishaq ini, sesetengah para muhaddithin meletakkan beberapa syarat, itupun tidak dapat dipenuhi oleh mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zahid Kaustari dalam ‘Maqalatnya’ pada kisah Khalid bin Walid r.d.h.

5)      Ibnu Taimiyah ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya الكلم الطيب untuk menggemarkan beramal walaupun beliau menolak pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif. (30: (وظيفة الحديث الضعيف. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya تلبيس الإبليس. (73 ص: درس الترمذي)

6)      Setengah ulama’ menerangkan maksud sebenar perkataan Ibnu Arabi yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadith dhaif ialah hadith yang bersangatan dhaif bukan semata-mata dhaif kerana beliau ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya syarah Tirmizi  عارضة الأحوذي(وظيفة الحديث الضعيف: 15)

ULASAN PENDAPAT YANG KEDUA

1)      Perkataan Imam Ahmad Bin Hambal: “Hadith dhaif lebih disukai di sisiku daripada pendapat Mujtahid” telah ditafsirkan oleh Ibnu Taimiyah dengan katanya: “Sesungguhnya perkataan kami bahawa hadith dhaif itu lebih baik daripada pendapat imam mujtahid bukan bermaksud dhaif yang matruk (perawinya dituduh berbohong) tetapi maksudnya dhaif hasan”. (مجموع الفتاوى: الجزء الأول: ص 251)

Maksud sebenar perkataan Ibnu Taimiyyah yang menafsirkan perkataan Imam Ahmad Bin Hambal itu, difahami dengan meneliti perkataan Ibnu Qaiyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyyah di mana beliau menyebut bukanlah maksud hadith dhaif di sisi Imam Ahmad itu hadith yang batil, hadith munkar dan hadith yang terdapat perawi yang ditohmah sebagai pendusta sehingga tidak harus berpegang dan beramal dengannya bahkan hadith dhaif tersebut di sisi Imam Ahmad adalah saudara bagi sahih dan satu bahagian daripada hadith hasan (اعلام الموقعين: الجزء الأول: ص 31)

Keterangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyim terhadap perkataan Imam Ahmad itu adalah mengenai hadith dhaif yang di gunakan di dalam hukum-hukum feqah di sisinya adalah hadith-hadith dhaif yang mana diterima pakai oleh imam-imam mujtahid yang lain bukan ia menggunakan hadith dhaif yang tidak diakui dan ditolak, seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qaiyim di dalam kitabnya اعلام الموقعين .

ULASAN PENDAPAT YANG KETIGA

1)      Para ulama’ dari kalangan muhaddithin dan fuqaha’ dan selain mereka itu berkata: “Harus dan sunat beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan pada menggemarkan dan menakuti terhadap sesuatu selama hadith itu bukan mauduk”. Adapun hukum-hukum seperti halal-haram, jual-beli, nikah, talak dan lain-lain lagi tidak boleh beramal dengannya melainkan dengan hadith sahih dan hadith hasan kecuali melakukan ihtiyat (berhati-hati) pada perkara tersebut. Apabila hadith dhaif mengenai makruh setengah jualan atau pernikahan maka disunatkan menjauhinya tetapi ia bukan wajib (الأذكار: ص 24،25) (Maksudnya disunatkan beramalkan dengan hadith dhaif iaitu beramal dengan cara meninggalkan atau menjauhi larangan yang difahami daripada hadith dhaif itu) Syeikh Ibnu Hibban di dalam kitabnya (النوائب) meriwayatkan secara marfuk daripada Jabir:

“من بلغه  عن الله عز وجل شيء فيه فضيلة فأخذ به إيمانا به ورجاء لثوابه أعطاه الله ذلك وإن لم يكن كذلك”

Ertinya: “Barangsiapa yang sampai kepadanya sesuatu daripada Allah yang memuatkan sesuatu fadhilat lalu ia beramal dengan keimanan serta mengharapkan pahalanya maka Allah memberikan kepadanya yang demikian itu sekalipun sebenarnya bukan begitu”.

2)      Dengan itu penerimaan hadith daif yang diperkuatkan dengan sokongan dan riwayat yang lain di dalam perkara menggemarkan, menakutkan, peradaban, sejarah, kisah tauladan dan seumpamanya adalah diperbolehkan. Kerana inilah, Imam Al-Munziri mengumpulkan hadith-hadith tersebut dalam kitabnya (الترغيب والترهيب) Perkara ini adalah ijmak para ulama’ seperti yang di nukilakan Imam Nawawi,Imam Ramli dan lainnya.Bahkan Imam Nawawi menukilkan daripada ulama’ bahawa beramal dengan hadith tersebut adalah disunatkan. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 21،22)

3)      Segelintir masyarakat mempertikaikan orang-orang sufi kerana beramal dengan hadith dhaif, walaupun disepakati oleh para ulama’ hadith bahawa hadith dhaif sunat diamalkan. Di kalangan ulama’ sufi pula tidak kurang ramainya yang terdiri daripada ulama’ besar dalam bidang hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi seperti Imam Ghazali tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta. Inilah pendirian yang diambil oleh ulama’ tasawuf. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 19)

Peringatan:

1)      Atas pendapat ketiga inilah, periwayatan Ibnu Ishak terutama di dalam sirah dan maghazi (sejarah kebangkitan awal Islam, pemerintahan dan peperangan) diterima pakai oleh ulama’ hadith, sekalipun beliau seorang perawi yang dhaif. Ini kerana sepertimana yang telah maklum bahawa periwayatan seseorang yang dhaif itu diterima pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan aqidah dan hukum-hukum. Atas alasan   inilah, Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya manjadikan riwayat Ibnu Ishak sebagai Istisyhad (penyokong kepada hadith bab) (dan memasukkan juga di dalam terjemah bab (tajuk). Imam Muslim didalam kitab sahihnya meletakkan riwayat Ibnu Ishak sebagai mutaba’ah (penguat kepada hadith bab), di mana Imam Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pula mengeluarkan hadith daripada Ibnu Ishak di dalam sunan-sunan mereka.

Sungguhpun begitu, sekiranya terdapat periwayatan beliau (Ibnu Ishak) menyalahi dengan apa yang diriwayatkan oleh imam yang muktabar, maka periwayatan imam itulah yang mesti diutamakan. Ini bukanlah bererti Ibnu Ishak berdusta dan sengaja mereka-rekakan cerita seperti yang disangkakan oleh mereka yang tidak memahami ilmu hadith, tetapi beliau hanyalah seorang perawi yang mengambil riwayat-riwayatnya daripada orang lain. Malangnya sesetengah pihak berani menghukum bahawa tidak harus sama sekali meriwayatkan daripada Ibnu Ishak, sekalipun berkenaan dengan sirah dan maghazi dengan alasan bahawa beliau pendusta lagi bermazhab syiah. Sekiranya benar apa yang dikatakan itu, nescaya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pun turut dikira sebagai pendusta. Ini kerana meriwayatkan daripada seseorang yang diyakini sebagai pendusta bererti menyebarkan perkara dusta dan mengiakannya.

Lebih malang lagi sehingga ada yang meletakkan kedudukan sirah Ibnu Ishak dan sirah Ibnu Hisyam supaya di masukkan ke dalam tong sampah. Ini tidak lain melainkan disebabkan tunpulnya kefahaman tentang ilmu hadith atau menganggap diri mereka lebih berkaliber daripada imam-imam yang muktabar dalam bidang hadith.

2)      Abul Fadl Abdullah bin Al-Saddiq Al-Ghumari menyebut perkataan para ulama’ feqah bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan di dalam hukum-hakam bukanlah bersifat umum seperti yang difahami kebanyakan orang. Ini kerana apabila anda meneliti pada hadith-hadith yang dipakai oleh imam-imam Mujtahidin secara permuafakatan atau perseorangan anda akan mendapati hadith-hadith dhaif di dalam hukum-hakam jumlahnya mencapai separuh atau lebih. Bahkan anda akan dapati di dalamnya hadith munkar, hadith yang gugur perawinya dan hadith yang hampir kepada taraf hadith maudhu’ (yang direka-reka).

HUKUM MERIWAYATKAN HADITH DHAIF

1)      Ulama’ mengharuskan mempermudah-mudahkan pada sanad hadith dhaif, meriwayatkannya dan beramal dengannya tanpa menyatakan kedhaifannya. Oleh kerana itu hadith dhaif boleh diterima pakai di dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan, menakutkan, peradaban, kisah tauladan bukan di dalam perkara aqidah seperti sifat Allah dan hukum seperti halal haram. (تقريب النووي: ص 108)

2)      Ibnu Abdul Barri ada menyatakan hadith yang berkaitan dengan fadhilat maka kami tidak perlukan orang (perawi) yang layak untuk dijadikan hujah. (tidak semestinya perawi itu thiqah).

3)      Ibnu Mahdi menyebutkan dalam kitabnya Al-Madkhal: “Apabila kami meriwayatkan daripada nabi s.a.w tentang halal haram dan hukum- hakam maka kami  mengetatkan sanad-sanadnya dan kami akan membuat kritikan (pemeriksaan) terhadap rijal (nama perawi yang terdapat dalam sanad). Tetapi apabila kami meriwayatkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran pahala dan seksa maka kami mempermudahkan sanad-sanadnya dan kami bertolak ansur”.

CARA MERIWAYATKAN HADITH DHAIF

Walaupun jumhur mengharuskan meriwayatkan hadith dhaif, namun perlu di ingatkan  mereka menyatakan bahawa tidak harus menggunakan perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti “sabda Rasullalah s.aw”  ketika meriwayatkan hadith dhaif ini kerana untuk mengelakkan daripada menisbahkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang tidak disabdakannya bahkan hendaklah digunakan kalimah yang menunjukkan ketidakpastian (tamridh), seperti “diriwayatkan atau dikatakan bahawa nabi s.a.w pernah bersabda” dan seumpamanya. (تقريب النووي: ص 22)

HADITH MURSAL

Hadith Mursal ialah hadith yang didapati gugur seorang perawi (sahabat) pada sanadnya yakni hadith yang disandarkan kepada nabi s.a.w oleh tabi’in yang tidak mendengar sendiri daripada nabi s.a.w, mungkin ia meriwayatkan hadith dari sahabat nabi atau ia meriwayat daripada orang lain. Hadith mursal ini tergolong daripada hadith-hadis dhaif kerana tiada padanya sanad yang bersambung. (مصطلح الحديث: ص 22)

PENERIMAAN HADITH MURSAL DISISI PARA ULAMA MUJTAHIDIN

Pendapat yang dipilih bahawa hadith Mursal sahabat (seseorang sahabat menggugurkan sahabat yang lain dalam periwayatan hadith) adalah diterima secara ijmak. Adapun hadith Mursal kurun kedua (tabi’in) dan kurun ketiga(tabi’-tabi’in)  ianya diterima dan boleh berhujah pada hukum-hakam di sisi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal mengikut riwayat yang masyhur daripada kedua-duanya (Imam Malik dan Imam Ahmad). Mursal kurun kedua yang diriwayatkan oleh Said bin Al-Musayyab, Sya’bi dan Hasan Al-Basri adalah diterima sama sekali (tiada perselisihan pendapat). Adapun di sisi Imam Syafie hadith Mursal diterima apabila terdapat lima perkara:

1)      Terdapat riwayat lain yang bersambung sanadnya.

2)      Terdapat juga hadith mursal yang lain dengan perawi-perawi yang tersendiri.

3)      Terdapat perkataan sahabat yang menyokong.

4)      Disokong oleh kebanyakan ulama.

5)      Diketahui bahawa ianya diriwayatkan secara mursal daripada perawi yang adil.

(منحة المغيث: ص 47)

Contoh hadith mursal yang diterima oleh Imam Syafie:

حدثنا قتيبة أخبرنا عبد الله بن زيد بن أسلم عن أبيه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من نام عن وتره فليصل إذا أصبح

Ertinya: “sesiapa yang tertidur serta tertinggal daripada melakukan solat witir maka hendaklah ia sembahyang (qadha) apabila berpagi-pagi ia (selepas sembahyang subuh).

Keterangan: Imam Syafie berdalil dengan hadith ini walaupun ia adalah hadith mursal yang mana dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri. Hadith Abu Sa’id tersebut adalah hadith yang bersambung sanadnya dan dinyatakan oleh Imam Abu Daud sebagai sahih iaitu:

حدثنا محمود بن غيلان أخبرنا وكيع أخبرنا عبد الرحمن بن زيد بن أسلم عن أبيه عن عطاء بن يسار عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من نام عن الوتر أو نسيه فليصل إذا ذكر وإذا استيقظ

Ertinya: “sesiapa tertidur daripada mengerjakan witir atau ia terlupa maka hendaklah sembahyang tatkala ia ingat dan tersedar”. ((تحفة الآحوذي شرح سنن الترمذي: ج 2: ص 569   

KAEDAH MENGHUKUM SAHIH DAN DHAIF PADA SESEBUAH HADITH

1)      Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith merupakan satu bidang ilmu yang khusus di mana ulama’ usul hadith dan juga ulama Jarhu dan Ta’dil (ulama’ pengkaji sanad atau pakar pengesah hadith) telah pun menyusun ilmu tersebut semenjak beberapa kurun yang lalu. Di sini tidak mungkin kami menyatakan keseluruhan bidang ilmu itu secara terperinci. Tetapi, kami ingin menyentuh beberapa perkara yang kurang diberi perhatian oleh segelintir masyarakat.

2)      Ramai yang beranggapan bahawa hadith sahih hanya dikumpulkan di dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja tidak di dalam kitab-kitab hadith yang lain. Ini kaedah yang salah yang digunakan oleh kebanyakan orang. Kesahihan sesebuah hadith boleh ditentukan melalui kajian terhadap sanad-sanadnya. Imam Bukhari berkata: “bahawa daku tidak dapat mengumpulkan semua hadith-hadith sahih di dalam kitabku dan aku terpaksa meninggalkan beberapa banyak hadith-hadith sahih supaya dapat dielakkan daripada menjadi panjang”. Pengakuan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi hadith-hadith yang sahih yang tidak termuat di dalam Sahih Bukhari dan berkemungkinan besar terdapat hadith-hadith yang tinggi sanadnya daripada sanad hadith Sahih Bukhari.

Syeikh Abdul Rashid Nukmani menaqalkan di dalam kitabnya “ما تمس إليه الحاجة”, bahawa sanad bagi sesetengah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah terlebih tinggi daripada sanad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sepertimana yang disepakati oleh ulama’ hadith. Oleh kerana itu, Sahih Bukhari diberi gelaran أصح الكتب بعد كتاب الله adalah dengan mengambil kira dengan keseluruhan hadith bukan setiap hadith.

Imam Muslim berkata: “ليس كل صحيح وضعته هنا، إنما وضعته هنا ما اجتمعوا عليه”. Ertinya: “bukanlah aku dapat meletakkan semua hadith sahih di sini (dalam kitab Sahih Muslim), hanya aku memuatkan hadith-hadith sahih yang disepakati tentang kesahihannya”.

3)      Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith adalah satu kajian yang halus memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam. Hanya mereka yang mencapai darjat ijtihad dalam bidang ini sahaja layak mengkaji dan menentukan kesahihan atau kedhaifan sesebuah hadith. Menentukan sesuatu hadith samada taraf sahih atau hasan atau dhaif berdasarkan pengamatan zahir terhadap nama-nama yang terdapat dalam sanad bukan berdasarkan hakikatnya kerana yang sebenar hanya Allah s.w.t.yang mengetahui. Oleh kerana itu ulama hadis menyatakan bahawa mungkin ada di antara hadith sahih pada hakikatnya ianya adalah hadith dhaif dan beberapa banyak hadith dhaif  berkemungkinan besar pada hakikatnya ianya adalah sahih. Oleh itu keyakinan terhadap mutu hadith berdasarkan ijtihad (pengamatan yang zahir) (أوجز المسالك: ج 1: ص 228)

4)      Periwayatan hadith diambil kira berdasarkan kepada kejujuran (thiqah) dan amanah perawi bukan berdasarkan kepada mazhabnya seperti Syiah, Rafidah, Murjeah, Muktazilah dan lain-lain. Berapa ramai di kalangan perawi-perawi yang bermazhab Syiah, Khawarij dan lain di mana Imam Bukhari dan Muslim berbangga menyebutkan nama-nama mereka dalam sanad mereka berdua dan meriwayatkan hadith daripada mereka di dalam kitab sahih keduanya (ميزان الجرح والتعديل: ص 34: محمد جمال الدين القاسمي )

5)      Kebanyakan perawi yang kepercayaaan atau dipercayainya (thiqah) meriwayatkan daripada perawi-perawi yang dhaif seperti Sufyan Al-Thauri dan Syu’bah dan selain mereka. Syu’bah berkata sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith kepada kamu melainkan hanya daripada orang-orang yang kepercayaan (thiqah) neccaya aku tidak akan meriwayatkan kepada kamu melainkan daripada beberapa orang sahaja. Yahya Bin Al-Qattan berkata; “Sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada beberapa orang yang aku redha (setuju) nescaya aku tidak boleh meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada lima orang sahaja atau seumpamanya” (شرح علل الترميذي: 29  ) Menurut ulama usul hadith apabila seorang perawi yang bersifat adil meriwayat hadith yang diambil daripada perawi yang bertaraf dhaif maka ini bererti dia menganggap perawi itu bertaraf adil.

(وظيفة الحديث الضعيف: 18)

6)      Terkadang wujud perselisihan ulama terhadap sesebuah hadis atau seseorang perawi tentang sahih dan dhaif atau thiqah dan tidak thiqah. Persoalannya pendapat yang manakah yang perlu ditarjih(diutamakan), maka dengan itu Syeikh Abdul Haiyi Lakhnawi ada mengemukakan tiga pendapat di dalam kitabnya الأجوبة الفاضلة untuk menghuraikan perkara tersebut :-

  1. Apabila didapati seseorang yang memudahkan pentashihan hadith sementara yang lain pula amat berhati-hati, maka pendapat yang mempunyai sikap berhati-hati akan ditarjihkan. Contohnya Hakim mentashihkan suatu hadith dan Hafiz Zahabi pula mentad’ifkan hadith itu. Maka pendapat Imam Zahabi akan diutamakan kerana Imam Hakim digelar sebagai (متساهل في الحديث) yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith. Begitu juga Ibnu Hibban memberi pengakuan thiqah terhadap seorang perawi sementara ada tokoh lain yang lebih berwibawa pula menganggap tidak thiqah, maka pendapat Ibnu Hibban ditolak kerana beliau memasukkan perawi yang majhul kedalam senarai thiqahnya.
  2. Salah seorang diantara dua orang muhaddith mempunyai sikap terlalu ketat dalam kajian hadith (تشدد) sementara seorang lagi mempunyai sikap sederhana (معتدل). Maka pendapat yang sederhana itu akan ditarjihkan seperti Ibnu Jauzi adalah mutasyaddid sementara Ibnu Hajar dan Zahabi kedua-duanya mu’tadil maka Imam Ibnu Hajar dan Imam Zahabi diutamakan.  

Ibnu Hajar berkata bahawa mengikut peredaran masa ada empat generasi (طبقات) di kalangan Imam-Imam Pengkritik atau Pengesah Sanad (أئمة الجرح والتعديل). Al-Hafiz Ibnu Hajar mengemukakan siapa Mutasyaddid (bersikap terlampau ketat) dan siapa pula Mu’tadil (bersikap sederhana) pada tabaqat (generasi) itu.                                                                                            

i. Tabaqat pertama Syukbah dan Sufyan Al-Thauri. Syu’bah adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.                                                                                                                       

ii.Tabaqat kedua Yahya Bin Said Al-Qattan dan Abdurrahman Bin Mahdi. Maka Yahya adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.                                                                

iii.Tabaqat ketiga Yahya Bin Ma’in dan Ali Bin Al- Madini. Maka Yahya Bin Ma’in adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

iv.Tabaqat yang keempat Ibnu Abi Hatim dan Imam Bukhari. Ibnu Abi Hatim adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

Oleh demikian itu apabila didapati perselisihan di antara mereka maka hendaklah mengambil qaul yang sederhana atau pertengahan (متوسط) dan meninggalkan qaul yang tasyaddud. Syeik Abdul Haiyi Lakhnawi berkata kemudian daripada tabaqat yang empat ialah Ibnu Jauzi, Hafiz Saghani dan Ibnu Taimiyah dianggap mutasyaddid dan Hafiz Ibnu Hajar, Hafiz Zahabi, Hafiz Iraqi dan Hafiz Zaila’i dianggap mutawassit atau mu’tadil dan pendapat mereka ini akan diutamakan.      

  1. Meneliti dalil-dalil bagi dua pihak dan mengutamakan qaul yang mempunyai dalil yang kuat sedangkan kebolehan meneliti tidak ada pada setiap orang.

7)       Hadith-hadith yang ditashihkan oleh ulama’ hadith dan feqah yang muktabar lagi yang terdahulu itu tidak akan jadi dhaif  kerana mencelahi perawi daif  kemudian daripada mereka itu. Maka pentashihan hadith yang dibuat oleh fuqahak (Imam-Imam Mujtahid) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihannya yang dibuat oleh ulama’ hadith. Contohnya tersebut di dalam Sunan Tirmizi yang berbunyi:

حدثنا يحي بن موسى أخبرنا أبو معاوية أخبرنا خالد بن إياس عن صالح مولى التوأمة عن أبي هريرة قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم ينهض في الصلاة على صدور قدميه.

            Ertinya: “Adalah Nabi s.a.w bangun berdiri (qiyam) di dalam sembahyang diatas kedua   hujung jejari kakinya”. Hadith ini dhaif di sisi Imam Tirmizi kerana terdapat Khalid bin Iyaas yang mana beliau adalah perawi yang dhaif. Akan tetapi hadis ini dianggap sahih di sisi Imam Abu Hanifah kerana tidak didapati Khalid bin Iyaas tersebut di dalam sanadnya.

8)      Hadith dhaif tidak semestinya ditolak bulat-bulat kerana ianya boleh mencapai darjat hasan dan menjadi makbul sekiranya jalan periwayatannya berbilang-bilang sepertimana Mulla Ali Al-Qari berkata: “وتعدد الطرق يبلغ الحديث الضعيف إلى حد الحسن” bermaksud: “hadith boleh mencapai darjat hasan (hasan li ghairihi) dengan banyak jalan periwayatan”. Demikian juga tersebut di dalam شرح النخبة m/s 24, ((والضعيف أن تعددت طرقه أو تأيد بما يرجح قبوله فهو الحسن لغيره )) ertinya: “sekiranya hadith dhaif berbilang-bilang periwayatan atau dikuatkan dengan hadith yang terlebih kuat penerimaannya maka ia menjadi hasan li ghairihi”.

9)      حديث ضعيف مؤيد بالتعامل iaitu hadith dhaif  yang disokong oleh amalan sahabat dan tabi’in. Apabila amalan mereka itu bertepatan dengan hadith dhaif maka dengan sendiri hadith dhaif itu menjadi hadith yang layak diamalkan dan dibuat hujah. Sebagai contoh:

(هو الطهور ماؤه والحل ميتته، القاتل لا يرث، لا وصية لوارث)

Ertinya: “Ianya (air laut) adalah suci airnya dan halal bangkainya. Pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya. Tidak boleh berwasiat untuk orang yang menerima harta pusaka”, Hadith-Hadith ini diakui dhaif oleh kebanyakan muhaddithin walaupun begitu ianya boleh diterima untuk dijadikan dalil (قابل للإستدلال) kerana didapati ramai sahabat dan tabein beramal dengan hadith itu.

Telah berkata Ibnu Abdul Barri di dalam kitabnya الاستذكار ketika menghikayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa Imam Bukhari telah menghukum sahih Hadith Al-bahr (هو الطهور ماؤه والحل ميتته) sedangkan ahli hadith tidak mentashih sanad seperti ini tetapi hadith itu adalah sahih disisiku kerana ulama’ telah menerimanya dengan secara qabul (penerimaan berterusan). Sesetengah ulama’ menghukumkan kesahihan mengenai sesebuah hadith apabila ada penerimaan yang berterusan daripada orang ramai sekalipun sanadnya tidak sahih. Berkata Al-Ustaz Al-Isfirayini: “Dikenali kesahihan hadith apabila masyhur di sisi ulama’ hadith tanpa sebarang penafian daripada mereka itu”. Hadith yang diterima oleh ulama’ secara berterusan maka hadith itu termasuk di dalam hadith makbul sekalipun tidak memenuhi syarat sahih kerana ummah tidak berhimpun dalam perkara kesesatan. (وظيفة الحديث الضعيف: إمام محمد زكي إبراهيم: ص 27-28)

KESIMPULAN

  1. Menerima pakai hadith dhaif dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan dan menakutkan, soal adab, kisah tauladan, nasihat-nasihat dan seumpamanya adalah dibolehkan. Perkara ini disepakati oleh ulama’ Muhaddithin.
  2. Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama’ bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhaif.
  3. Penerimaan hadith dhaif dalam perkara-perkara terbabit adalah disyaratkan jangan terlampau kuat kedhaifannya dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih.
  4. Perlu mematuhi kaedah di sisi ulama’ hadith yang berlandaskan pentashihan dan pendhaifan hadith.
  5. Jangan mengambil sikap terlalu mudah menolak hadith dhaif sedangkan ulama’-ulama’ yang mu’tabar sudahpun mengambil pendirian dan sikap yang sederhana mengenai menerima dan beramal dengan hadith dhaif.

Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.

Sekian, wassalam..

 

Adakah Anda Mujtahid

Ust. HusinDisediakan oleh Ust. Husin bn. Abdul Kader 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله وكفى وسلام على عباده الذين اصطفى، أما بعد:

Alhamdulillah Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita pada menulis risalah ini, semuga kita sama-sama dapat mengambil menfaat dengannya.

            Pada masa kini umat Islam sering diganggu oleh pemikiran-pemikiran yang meragu-ragukan amalan-amalan harian kita. Ada pihak yang sanggup meracuni fikiran umat Islam sehingga mereka berani menentang pendapat-pendapat ulama mu’tabar masa silam. Mereka mengemukakan beraneka dalil sehiggakan umat Islam tidak dapat memahami dan melemahkan kekuatan beramal.

            Dengan adanya sikap mengkritik hukum-hukum khilaf di antara ulama, umat Islam tidak akan memperolehi pendirian tetap secara sederhana dan menyukarkan umat Islam mengelak dari fitnah, yang merunsingkan bagi pihak kami ialah, takut-takut mereka pandai-pandai menambah dan mengurangkan amalan-amalan Islam serta mengelirukan umat Islam dan mengeluarkan kata-kata yang bercanggah dengan kehendak Allah dan Rasulullah yang sebenar.

            Rasulullah s.a.w bersabda: ( ما ضل قوم بعد هدى، كانوا عليه الا اوتو الجدل )  riwayat ibnu majah. Maksudnya, mana-mana golongan yang tidak disesatkan setelah diberi petunjuk melainkan mereka diberi peluang untuk bertengkar.

            Sebenarnya masalah khilafiah dipertikai oleh imam-imam terhadap sesuatu amalan berdasarkan cara yang manakah patut diutamakan. Itu bukannya bercanggah pendapat mengenai sah atau tidak sah sesuatu amalan itu. Contohnya seorang imam berpendapat bahawa (رفع يدين) mengangkat kedua tangan semasa hendak ruku’ adalah lebih afdhal daripada tidak angkat tangan, sementara imam yang lain mengatakan bahawa tidak angkat tangan itu lebih baik daripada angkat tangan. Begitulah seterusnya:

1)      Membaca Amin kuat atau perlahan

2)      Membaca Bismillah dengan suara nyaring sebelum Fatihah atau membaca dalam hati

3)      Sujud sahwi dilaksanakan sebelum memberi salam atau selepas memberi salam sebelah kanan.

Jikalau anda mengerti bahawa membaca fatihah adalah wajib berdasarkan hadith:

( لا صلاة الا بفاتجة الكتاب ) bermaksud “tiadalah sembahyang melainkan dengan membaca fatihah” (tidak sah sembahyang tanpa membaca fatihah). Maka hendaklah anda beramal sesuai dengan hadith itu. Akan tetapi ijtihad (petikan atau fahaman daripada Al-Quran atau Al-Hadis) anda tidak boleh menjadi hujjah ke atas orang lain dan anda tidak boleh menyalahkan ijtihad orang lain kerana mereka juga mengambil dalil dengan hadith:

( من صلى خلف الامام فقراءة الامام له قراءة ) maksudnya “barangsiapa sembahyang di belakang imam maka bacaan oleh imam itu dianggap bacaannya juga”. Maksudnya ma’mum tidak perlu baca apa-apa di belakang imam.

            Jikalau anda menganggap ( menyuarakan ) di sini bahawa hadith yang menggalakkan membaca fatihah di belakang imam itu kukuh dan hadith yang mengharuskan tidak membaca fatihah itu lemah atau hadith yang direka dan seterusnya anda memberi fatwa mengenai batalnya sembahyang mereka yang tidak membaca fatihah di belakang imam, maka seolah-olah anda memberi gambaran mengenai tidak sahnya sembahyang sahabat, tabe’in dan imam-imam mujtahid yang beramal dengan hadis yang mengharuskan tidak membaca fatihah itu. Padahal tidak ada seorangpun berkata demikian itu pada abad pertama hijriah, sedangkan isu perselisihan pendapat mengenai membaca fatihah atau tidak di belakang imam itu telah wujud di kalangan mereka pada abad pertama lagi.

            Mungkin di sini anda sekalian akan menghadapi satu kemusykilan iaitu apabila mengkaji Al-Quran dan Al-Hadith, didapati perselisihan di antara:

1)      ayat sama ayat

2)      ayat dan hadith

3)      satu hadith sama hadith yang lain,

maka bagaimanakah cara yang tepat untuk beramal dengan Quran dan Sunnah. Saya ingin beritahu dua perkara sebagai asas jawapan itu, iaitu pertama mengenai tugas muhaddith dan kedua mengenai tugas mujtahid.

            Tugas muhaddith ialah semata-mata meriwayatkan sabdaan Rasulullah s.a.w, perbuatan Rasulullah s.a.w dan pengiktirafan Rasulullah tanpa mengemukakan:

1)      Yang mana nasikh(hukum yang tetap), yang mana mansukh(hukum yang dah dibatalkan).

2)      Yang mana hadith merupakan dasar utama, yang mana merupakan hadith pengecualian.

3)      Suruhan yang manakah disambut atau disokong beramal oleh sekumpulan besar sahabat dan tabi’in.

Maksudnya, perkara-perkara tersebut itu tidak diambil endah oleh muhaddith dan yang mengambil kira terhadap perkara-perkara itu adalah imam-imam mujtahid. Itulah tugas bagi seorang mujtahid. Oleh kerana itu pentashihan hadis yang dibuat oleh fuqaha’ ( iaitu imam-imam mujtahid ) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihan yang dibuat oleh ulama’ muhaddithin. Imam Al-A’amasy berkata: ( حديث يتداوله الفقهاء خير من حديث يتداوله الشيوخ ) maksudnya, hadith yang diterima pakai oleh fuqaha’ mujtahidin itu lebih baik daripada yang diterima pakai oleh ulama’ muhaddithin. Imam Tirmizi menukilkan dalam Kitab Hadith Tirmizi pada bab mandi mayat: “وكذلك قال الفقهاء وهم اعلم بمعاني الحديث”

(ترمذي باب غسل الميت: 1، ص 118)

            Dan demikian itulah berkata ahli-ahli feqah, pada hal mereka (فقهاء) itulah yang lebih memahami dengan makna maksud hadith. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa mujtahid lebih mengerti isi kandungan hadis daripada muhaddith. Sebagai menyokong pendapat Imam Tirmizi hendak diberitahu satu kisah yang berlaku di antara Imam A’amasy seorang muhaddis ( pakar riwayat hadis ) dan Imam Abu Hanifah seorang mujtahid ( pakar mengkaji Al-Quran dan Al-Hadith secara halus dan mendalam ).

            Pada suatu ketika Imam A’amasy ( muhaddith ) disoal mengenai beberapa hukum sedang Imam Abu Hanifah ( mujtahid ) ada di samping Imam A’amasy. Imam A;amasy meminta Imam Abu Hanifah menjawab, maka Imam Abu Hanifah pun terus menjawab soalan-soalan yang diaju itu. Sebaik saja selesai menjawab Imam A’amasy bertanya kepada Imam Abu Hanifah “dari sumber manakah engkau mengeluarkan hukum-hukum itu”. Imam Abu Hanifah berkata “daripada hadith-hadith yang saya terima riwayat daripada tuan”. Kemudian Imam Abu Hanifah pun mula membaca hadith-hadith yang ia menerima daripada Imam A’amasy. Imam A’amasy berkata: “hadith-hadith yang aku mengajar engkau dalam masa seratus hari itu engkau pula sekaligus mahu baca habis dalam satu majlis. Aku tidak tahu pun engkau akan mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith itu”.

            Begitu juga ada seorang Imam bernama Humaidi yang menjadi guru kepada Imam Bukhari dan yang mengambil (menerima) terlalu banyak riwayat hadith daripada Sufyan bin U’yainah (murid Imam Abu Hanifah). Oleh kerana Imam Humaidi terlalu alim dalam bidang hadith, Imam Syafie sendiri amat menghormatinya dan menerima juga riwayat hadith daripadanya. Walaupun demikian, Imam Humaidi terpaksa menerima ijtihad Imam Syafie kerana ia tidak mampu mengeluarkan hukum daripada hadith-hadith yang ia mengetahui itu.

            Peristiwa tersebut menggambarkan kepada kita bahawa:

 (1) Imam A’amasy hanya seorang muhaddith dan Imam Abu Hanifah adalah mujtahid yang menguasai bidang hadith.

 (2) Imam Humaidi hanya seorang muhaddith dan Imam Syafie adalah mujtahid yang menguasai bidang hadith.

            Kita perlu tahu bahawa imam-imam empat mazhab adalah imam-imam berkaliber, pandai lagi bijak yang menguasai (mempunyai) dua bidang ilmu serentak. Maksudnya mereka mampu menonjol diri sebagai muhaddith dan mujtahid.

            Apabila seorang mujtahid memikirkan tentang sesuatu hukum berdasarkan Quran, Sunnah, fatwa-fatwa sahabah dan Tabi’in termasuk amalan-amalan berterusan oleh umat Islam. Maka ia (mujtahid) berusaha bersungguh-sungguh untuk:

1)      Mencantum dan mengumpul di antara nas ( ayat atau hadith ) yang bercanggah.

2)      Mengutamakan salah satu di antara dua nas yang berlainan.

 

Dalam usaha sedemikian itu jikalau seseorang mujtahid meninggalkan (tidak beramal) mana-mana hadith, itu menunjukkan mujtahid mempunyai dalil (hadis) yang lebih kuat dari hadis itu. Oleh kerana itu:

1) Kita tidak boleh membuat tuduhan melulu bahawa mujtahid itu membiarkan hadith begitu sahaja. Imam-imam mujtahid yang diterima dan disambut baik di kalangan umat Islam itu tidak bersikap menyalahi sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w dengan sengaja, kerana mereka lebih mengerti bahawa mengikuti Quran dan Sunnah adalah wajib. Kalau begitu jika pendapat imam bercanggah dengan hadith sahih, mestilah ada sebab-sebab tertentu mengenai percanggahan itu.

2) Kita tidak boleh mencela mana-mana mujtahid apabila berlaku perselisihan di kalangan mereka itu pada menghukum sahih atau dhaif hadith. Mengambil dalil dengan sesuatu hadith itu layak menjadi dalil di sisinya. Oleh kerana itu mengemukakan qaul mujtahid yang lain dengan tujuan menonjolkan bahawa hadis itu tidak layak menjadi dalil, ini dikira tidak adil kerana qaul seorang mujtahid tidak menjadi hujah dalam bentuk menyalahkan mujtahid lain.

3) Seorang mujtahid tidak boleh dituduh meniggalkan hadith sahih dengan semata-mata mengambil dalil daripada hadith dhaif kerana ia mempunyai hujah yang kuat untuk memilih hadith dhaif. Dalam kitab jami’ Tirmizi terdapat dua buah hadith yang layak menjadi dalil dari segi mengambil kira sanadnya. Tetapi kedua-dua hadith itu tidak diamalkan oleh fuqaha’.

 

Hadithnya adalah:

” رواية عن ابن عباس قال: جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر وبين المغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر “

” رواية معاوية قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من شرب الخمر فاجلدوه فان عاد في الرابعة فاقتلوه “

Ertinya:

1) “Riwayat Ibnu Abbas yang berkata: Rasulullah s.a.w telah jamak solat zohor dengan solat asar dan solat maghrib dengan solat isyak di Madinah tanpa sebab ketakutan dan hujan”.

2) “Riwayat Mua’wiyah, berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: sesiapa meminum arak maka kamu sebatlah dia! Jika dia mengulangi lagi kali ke-empat maka bunuhlah dia!”

            Ijma’ Umat telah pun meninggalkan beramal dengan zahir hadith ini, kerana mereka mempunyai dalil yang lebih kuat daripadanya walaupun begitu mereka tidak digelar sebagai orang yang meninggalkan Sunnah (تارك السنه).

Imam Ibnu Taimiyah menukil dalam kitabnya ‘رفع الملام’ bahawa apabila anda menemui keadaan-keadaan seperti tersebut di atas, fahamilah imam itu mesti mempunyai tiga keuzuran (sebab-sebab) tersendiri mengenai meniggalkan (tidak beramal) hadith walaupun hadith itu hadith sahih.

Pertama: imam kurang yakin bahawa nabi tidak bersabda akan hadith itu. (Mungkin nabi tidak bersabda begitu).

Kedua: imam tidak menganggap bahawa sabdaan demikian itu menghendaki akan hukum itu. (Sabdaan Rasulullah s.a.w tidak mendorong kearah mengeluarkan hukum itu).

Ketiga: imam menganggap bahawa hukum yang dikeluarkan daripada hadith itu sudah dibatalkan (mansukh).

            Imam Ibnu Taimiyah membahagikan lagi sepuluh sebab berdasarkan tiga keuzuran tersebut tadi. Saya ingin kemukakan empat sebab yang mudah difahami bagi anda semua.

SEBAB PERTAMA: hadith tidak sampai di sisi imam, oleh kerana itu ia tidak ditaklifkan (dibebankan) untuk menjadi alim bagi hukum itu. Apabila imam menentukan hukum mengenai suatu kejadian berdasarkan zahir ayat atau sesuai dengan hadis yang lain atau menurut qias, maka keputusan hukum yamg ditetapkan oleh imam itu kadang-kadang menepati dengan hadith itu (iaitu hadith yang tidak sampai di sisinya) dan adakalanya bercanggah.

SEBAB KEDUA: kebanyakan hadith yang diterima pakai di sisi (محدثين متقدمين) tidak dapat diambil kira di sisi ((محدثين متأخرين kerana terdapat dalam sanad yang riwayat tidak dikenali atau kurang ingatan atau yang dituduh berbohong.

SEBAB KETIGA: seorang mujtahid menganggap dhaif terhadap suatu sanad hadith menurut ijihadnya tanpa memgambil kira sanad yang lain, sementara mujtahid yang lain pula menganggap sanad hadith itu sahih walaupun kajian mereka yang menganggap dhaif itu betul.

SEBAB KEEMPAT: mujtahid terlupa dengan hadith yang ia pernah terima dan sampai di sisinya. Pernah Saidina Umar terlupa hadith mengenai tayammum bagi orang junub, maka Ammar bin Yasir mengingatkannya.

            Segolongan masyarakat di zaman kita hari ini tersalah faham terhadap hadith. Mereka menyangka setiap hadith sahih dan hasan itu wajib diamalkan walaupun tidak dipegangi oleh para mujtahid. Perkara ini sebenarnya bukanlah seperti yang disangkakan. Sesungguhnya Imam Mujtahid mempunyai kaedah tersendiri menangani masalah ini lebih-lebih lagi apabila terdapat hadith-hadith yang berlawanan.

            As-Syeikh Muhaddis Hindi Syah Abdul Aziz bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi di dalam kitabnya العجالة النافعة ) ( mengulas dengan katanya: “sesungguhnya Imam mujtahid yang meneliti dalil-dalil bagi hukum-hukum syariat tatkala mereka melihat hadith-hadith Rasulullah s.a.w dan athar ( perkataan atau perbuatan ) sahabat dan tabe’in itu bersalah-salahan di antara satu sama lain, sedangkan ianya dasar atau sumber bagi segala hukum. Mereka berbeza pendapat dalam menangani percanggahan tersebut.

1)      Imam Malik

            Beliau memilih berpegang kepada amalan penduduk Madinah kerana Madinah adalah tempat tinggal Rasulullah s.a.w, khalifah-khalifahnya, anak-anak para sahabat, ahli keluarga Rasulullah s.a.w dan merupakan tempat penurunan wahyu. Maka penduduknya lebih mengetahui tentang pengertian wahyu. Oleh itu setiap hadith atau athar yang berlawanan dengan amalan mereka, maka pasti ianya dimansukhkan (dibatalkan hukum beramal) atau ditakwil atau ditakhsis (dikhususkan dengan sesuatu yang lain) atau tidak disebutkan cerita sebenar hadith atau athar tersebut. Justeru itu tidak boleh diambil kira dengannya.

 

قال ابن القيم: “من أصول مالك اتباع عمل اهل المدينة وإن خالف الحديث (بدائع الفوائد: ج 4، ص 23)

Ibnu Al-Qayyim (murid Ibnu Taimiyyah) berkata: di antara dasar-dasar Imam Malik ialah menuruti amalan penduduk Madinah walaupun amalan (mereka) itu bersalah-salahan akan hadith.

2)       Imam Syafi’e

Beliau berpegang kepada amalan penduduk Hijaz serta menggunakan penyelidikan terhadapnya. Beliau meletakkan sesetengah riwayat-riwayat yang berlawanan itu pada satu keaadaan dan sesetengah pula pada suasana yang lain dengan cara menyatukan riwayat-riwayat tersebut selama mana yang mampu. Kemudian beliau mengembara ke Mesir dan Iraq. Di sana beliau mendengar banyak riwayat-riwayat daripada orang-orang yang dipercayai (thiqah) di negeri-negeri itu. Lalu nyatalah di sisi beliau sesetengah riwayat terlebih kuat berbanding dengan amalan penduduk Hijaz. Lalu terbit di dalam mazhabnya dua Qaul (pendapat) iaitu Qaul Qadim (pendapat yang lama) dan Qaul Jadid (pendapat yang baru).

3)      Imam Ahmad bin Hambal

Beliau pula meletakkan setiap hadith mengikut zahirnya tetapi dengan cara mengkhususkan mengikut punca-punca datangnya hadith-hadith tersebut dengan cara menyatukan sebab hukum itu. Oleh yang demikian itu mazhabnya menyalahi qias dan berlawanan hukum dengan keadaan tiada yang membezakannya, itulah yang disandarkan mazhabnya kepada golongan zahiriah (puak yang berpegang kepada zahir nas-nas syarak).

4)      Imam Abu Hanifah (Nukman Bin Thabit)

Adapun pendapat Imam Abu Hanifah dan para pengikutnya adalah jelas iaitu apabila kita meneliti nescaya kita mendapati di dalam syariat ada dua bahagian hukum. Pertama: merupakan kaedah yang umum yang menjadi dasar bagi hukum-hukum seperti;

(1)kesalahan seseorang tidak ditanggung oleh orang lain.

(2)kemerdekaan tidak menerima fasakh.

(3) kesempurnaan jualan melalui ijab dan qabul.

Kedua: kejadian-kejadian yang merupakan juzuk (cabangan) dan sebab-sebab  tertentu seolah-olahnya menepati pengecualian terhadap kaedah-kaedah yang umum. Maka kewajipan seseorang mujtahid itu hendaklah ia memelihara kaedah yang umum dan meninggalkan selainnya kerana syariat itu pada hakikatnya merupakan kaedah-kaedah umum tersebut. Adapun hukum hakam yang bercanggah dengannya yang mana sebab-sebabnya dan ketentuanya tidak kita ketahui dengan yakin maka tidak boleh di ambil kira. Contohnya sesuatu jualan akan batal dengan adanya syarat-syarat yang fasid (rosak) adalah suatu kaedah umum. Adapun  apa yang berlaku didalam kisah jabir di mana beliau mensyaratkan di dalam penjualan unta di bawah kegunaannya sampai ke Madinah adalah suatu kisah yang tersendiri yang merupakan juzuk(cabangan) yang mana tidak boleh menyanggahi kaedah kaedah umum tersebut.   

 

HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE

اذا صح الحديث فهو مذهبي ertinya: Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku.

1)      Segelintir masyarakat tersalah faham terhadap perkataan imam-imam mujtahidin yang berbunyi: “Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku” dengan menganggap bahawa apabila menemui sesebuah hadith sahih yang bercanggah dengan pendapat imam, maka ditinggalkan pendapat imam tersebut, lantas beramal dengan hadith tersebut. Maksud sebenar yang dinukilkan dalam kitab syarah Ukud Rasmul Mufti bahawa sekiranya menemui hadith sahih mengenai mana-mana hukum yang tidak diputus oleh imam, maka hadith itu akan dibilang sebagai mazhab imam dan hukum itu terus ditambah dalam feqah imam tersebut. Ini kerana, jika imam itu masih hidup dan menemui hadith sahih sedemikian, tentulah ia akan mengambilnya untuk dijadikan sebagai dalil bagi pendapatnya serta mamasukkan dalam feqahnya.

2)      Di dalam kitab Al-majmuk ada menerangkan pengertian sebenar perkataan Imam Syafie r.m.h:

i-                    Tiadalah bermaksud bahawa seseorang yang melihat hadith sahih lantas ia berkata ini adalah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis.

ii-                  Tidak juga perkataan ini ditujukan kepada mereka ( mujtahid ) yang tidak sampai kepada darjat ijtihad yang mana apabila menemui hadith sahih terus beramal dengannya.

iii-                 Bahkan makna perkataan ini ditujukan kepada mereka yang sampai darjat ijtihad tetapi hendak beramal dengan hadith sahih yang ditemui ada beberapa syarat:

a)      Setelah ia (mujtahid) meneliti sekalian kitab Imam Syafie dan sekalian kitab ulama’ mazhab Syafie.

b)      Kuat pada sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadith sahih itu.

3)      Banyak hadith sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang ia mengetahui tetapi ia tidak beramal dengan zahir hadith itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang terlebih rajih daripadanya. Terkadang hadith itu mansukh (hadis yang dibatalkan hukum) atau ada hadith yang lain yang mentakhsiskan atau Imam Syafie telah menta’wil (mengambil makna yang lain selain daripada makna yang sebenar) hadith itu atau lainnya.

Ada setengah orang menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid) Imam Syafie iaitu Imam Muzani dan Imam Buwaiti ketika mereka mengemukakan pertanyaan “yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) atau Qaul Jadid (pendapat imam Syafie semasa di Mesir). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata اذا صح الحديث فهو مذهبي (maksudnya: pendapat yang manakah menepati dengan hadith sahih, itulah mazhabku). Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmuk Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk فصل كل مسئلة فيها قولان للشافعي رحمه الله قديم وجديد (ertinya: fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie r.h.m iaitu qaul qadim dan qaul jadid(.

 

Peringatan:

      Mazhab Syafie mempunyai ulama-ulama mujtahid tersendiri yang telah menjaga mazhab ini dengan berpandukan kaedah-kaedah Imam Syafie. Jika diandaikan bahawa Imam Syafie tidak menemui sesebuah hadith yang sahih untuk menerangkan sesuatu hukum, maka merekalah yang terlebih mampu dalam penyelidikannya tersebut.

      Di sini anda semua perlu tahu lagi satu perkara iaitu fuqaha’ mujtahid mempunyai beberapa peringkat atau lapisan.

Peringkat pertama: mujtahid mutlaq

      Peranan mereka ialah ijtihad (mengeluarkan hukum) dalam syariah. Seperti imam-imam empat mazhab dan (mujtahidin) yang mengemukakan cara yang sama dengan imam-imam yang empat itu seperti imam Safuan Sauri, Imam Auza’i dan sebagainya. Mereka (mujtahid mutlaq) menyediakan kaedah-kaedah yang merupakan dasar-dasar bagi ilmu feqah, kemudian berdasarkan kaedah-kaedah itu tanpa taqlid (menuruti pandangan orang lain kerana tidak ada kebolehan ijtihad) kepada sesiapa, mereka berijtihad melalui (adillah arba’ah) Quran, Hadith, Ijmak dan Qias pada hukum-hukum furuk.

Peringkat kedua: mujtahid fil mazhab

      Mereka mempunyai kekuatan ijtihad di bawah suluhan dasar-dasar feqah yang ditetapkan oleh imam yang empat seperti:

1)      Imam Buwaiti dan Imam Muzani dalam mazhab syafie

2)      Imam Abu Yusof dan Imam Mohammad dalam mazhab hanafi.

Peringkat ketiga: mujtahid fil masa’il (mujtahid fatwa)

      Mereka mampu mengeluarkan hukum melalui ijtihad sendiri pada hukum-hukum cabang di mana imam (mujtahid mutlaq) dan muridnya (mujtahid fil mazhab) masih belum mengeluarkan hukum mengenai sesuatu amalan itu seperti.

1)      Imam Nawawi dan Imam Rafe’i dalam mazhab Syafi’e

2)      Imam Tahawi dan Imam Sarkhasi dalam mazhab Hanafi.

       Peringkat ke-empat: ashabul takhrij

Mereka tidak dianugerahkan dengan kebolehan ijtihad tetapi mereka mampu menentukan satu kemungkinan di antara dua kemungkinan bagi qaul (pendapat) imam atau muridnya memandangkan (bersandar) dasar feqah imam.

1)      Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar Haitami dalam mazhab Syafi’e

2)      Imam Karkhi dan Jassas Razi dalam mazhab Hanafi. 

Peringkat kelima: ashabul tarjih

      Tugas mereka adalah mengutamakan satu riwayat atau satu pendapat di antara riwayat-riwayat atau pendapat-pendapat yang berlainan oleh imam-imam dalam mazhab. Mereka juga tidak mempunyai kebolehan ijtihad.

Peringkat ke-enam: ashabul tamyiz

      Mereka mampu membeza-bezakan antara pendapat imam-imam. Pendapat yang mana kuat, lemah atau lebih kuat dan sebagainya. Mereka juga bertaqlid pendapat imam.

      Dengan meneliti perkara-perkara tersebut dapat difahami bahawa betapa rumitnya ijtihad dari Al-Quran dan Al-Hadith, bukan senang dan mudah nak jadi mujtahid. Sesetengah mereka yang kurang waras, yang dapat menghafal beberapa buah hadith dan sempat belajar dua-tiga buah kitab hadith dan menganggap bahawa itu sahajalah hadith yang diterima daripada Rasulullah s.a.w dan terus menafikan atau menolak pandangan-pandangan ulama’ yang berdasarkan hadith-hadith yang lebih banyak daripada mereka itu. Yang mereka tidak tahu itu mereka menganggap langsung tidak wujud. Mereka umpama seekor ulat yang menyusup hidup di celah belahan sebutir batu. Batu itulah langit dan bumi bagi ulat itu. Begitulah dengan keadaan mujtahid moden pada masa kini.

      Saya merasa hairan juga dengan pengikut-pengikut mereka kerana mereka juga turut menolak dan mencaci imam-imam mu’tabar lagi bertaqwa hidup pada zaman hampir dengan zaman Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Sebaliknya mereka menyokong pula dengan mujtahid moden tidak bertaqwa hidup pada zaman hampir dengan zaman dajjal. Ulama’ cendikiawan dan mujtahid yang wujud pada zaman khairul kurun disingkir, dianggap lekeh, tidak berguna manakala mujtahid moden yang wujud pada zaman syarrul kurun pula disambut meriah dan dihormati.

      Daripada semua perkara yang sudah saya bentang itu saya tidak bermaksud bahawa pada masa kini tidak dibenarkan berijtihad dan wajib bertaqlid. Pintu ijtihad masih terbuka lagi. Kalaulah anda mempunyai kebolehan ijtihad silakan anda masuk gelanggang berijtihad, kerana (هم رجال ونحن رجال) mereka (mujtahidin) lelaki dan kami juga lelaki. Apa salah kami juga berijtihad seperti mereka. Tetapi yang menjadi lucunya ialah orang yang tahu memberi ubat panadol kepada orang demam berlagak menjadi doktor pakar. Ada juga sesetengah pihak bergaya bahawa seandainya ائمة اربعة hidup masa kini, ائمة اربعة juga wajib ikut pandangan mereka.

      Akhirnya saya mahu menasihati kepada anda semua:

1)      Jangan menghabiskan sia-sia usia kamu yang begitu berharga itu dalam kancah perselisihan dan pertengkaran yang tidak dapat mengaut keuntungan duniawi dan juga ukhrawi.

2)      Daripada anda menuruti jalan perselisihan dan perpecahan baik anda menuruti jalan persefahaman dan bersatu-padu supaya dapat keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Ingat! Perpecahan itu merupakan batu penghalang bagi membawa rahmat Allah.

3)      Anda perlu memahami diri bahawa dimanakah kedudukan anda sebenar? Sebagai mujtahidkah muhaddith ataupun sebagai mujtahid mutlaq atau mujtahid fil mazhab.

4)      Jangan terlalu menonjolkan diri sebagai mujtahid jika tidak sampai kepada darjat ijtihad dan hanya mempunyai ilmu yang sedikit.

5)      Perlulah anda semua mempelajari sikap menghormati pandangan orang lain dan janganlah berseronok mengkritik terhadap pandangan ulama’ mujtahidin dan muhaddithin yang mempunyai ilmu, amal, taqwa dan sikap amanah dengan ilmu yang dianugerah Allah s.w.t.

6)      Jangan pula terpengaruh dengan mereka yang berpura-pura membawa aliran mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah sedangkan mereka berpegang dengan aqidah tajsim dan tasybih yang menyalahi dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan jumhur muslimin.

      Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sidang pengarang:

Ust. Nik Nazimuddin b. Nik Ibrahim

Ust Fuad b. Abd Wahab

Ust. Nik Sahril b. Nik Ibrahim